Menjaga amanah sebagai bapa saudara kepada tiga beradik berstatus anak yatim bukan sesuatu yang mudah.
Tanggungjawab itu bukan sekadar menyediakan makan dan minum serta pendidikan tetapi menuntut kasih sayang pengorbanan dan kejujuran.
Namun, bukan semua yang diberi tanggungjawab itu mampu memikulnya dengan ikhlas.
Ada yang terlupa bahawa setiap amanah akan dipersoal dan setiap perbuatan baik atau buruk akan mendapat balasannya.
Minggu ini saya kongsikan kisah seorang bapa saudara yang sanggup menipu harta anak-anak saudaranya yang berstatus anak yatim.
Lelaki dikenali sebagai Zubir, yang(bukan nama sebenar) ketika itu berusia awal 40-an, diberi amanah besar menjaga tiga beradik yatim piatu berusia 8, 12 dan 15 tahun .
Sarifudin, Sarimah dan Danial merupakan anak kepada adik lelaki Zubir dan isteri yang meninggal dunia dalam satu kemalangan.
Namun, seiring waktu, amanah itu mula diabaikan.
Zubir yang kelihatannya bertanggungjawab, semakin hari semakin lupa diri.
Tanah pusaka yang menjadi satu-satu harta ditinggalkan bapa tiga beradik itu kini menjadi godaan besar kepada Zubir.
Ia selepas lelaki itu menerima banyak tawaran daripada pihak luar.
Dalam diam Zubir bertindak memalsukan dokumen berkaitan urusan tanah.
Kisah Zubir diceritakan sendiri oleh Sarimah kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.
Wanita berusia pertengahan 30-an itu mengakui, perkongsian kisah yang sudah dua tahun berlalu itu bukan bertujuan untuk membuka aib sesiapa.
Sebaliknya, sebagai pengajaran kepada semua di luar sana tentang pentingnya menjaga amanah terutama kepada anak-anak yatim.
“Sikap tamak bapa saudara yang sanggup menipu demi harta telah merosakkan kepercayaan kami,” ujarnya.
Menyingkap kisah sedih itu, kata Sarimah, bapanya, Munir, (bukan nama sebenar) meninggalkan sebidang tanah sebagai pusaka untuk mereka tiga beradik.
Sebahagian daripada tanah tersebut telah diusahakan oleh arwah bapa semasa hayatnya.
Sementara sebahagian lagi dimiliki bersama bapa saudara.
Pada mulanya, bapa saudara berjanji untuk membantu menguruskan pembahagian tanah pusaka tersebut.
Namun, tanpa pengetahuan mereka tiga beradik, bapa saudara dalam diam telah memalsukan dokumen.
Bapa saudara mereka juga telah memanfaatkan hubungan baiknya dengan beberapa pegawai tanah dan menggunakan helah untuk memindahkan nama pemilikan tanah kepada dirinya sendiri.
Dalam dokumen tersebut, bapa saudara mendakwa arwah adik kandungnya telah menukar nama pemilik tanah berkenaan kepadanya sebelum meninggal dunia.
“Ketika itu kami masih kecil dan kurang faham mengenai undang-undang pusaka. Kami hanya mengetahui perkara berkenaan apabila dewasa selepas bertemu dengan seorang kawan rapat arwah ayah,” ujarnya.
Meneruskan cerita, kata Sarimah, abang sulung mereka, Sarifudin mula menyelidik hal berkaitan tanah pusaka itu.
Apabila mereka cuba mendapatkan hak, bapa saudara memberi dalih dan pelbagai alasan.
Ini termasuk alasan dia telah banyak membantu keluarga mereka selepas kematian bapa.
Bukan setahun dua, abang Sarimah berusaha untuk mengumpulkan bukti selain cuba memujuk bapa saudara mereka, namun sia-sia.
Sarimah cuba mencadangkan mereka untuk membawa kes itu ke mahkamah, namun tidak dipersetujui Sarifudin.
“Abang enggan membawa perkara tersebut ke mahkamah dengan alasan tidak mahu memutuskan tali persaudaraan dengan satu-satu bapa saudara mereka yang tinggal.
“Bahkan, abang masih mengenang jasa lelaki yang selama ini bertanggungjawab menjaga kami tiga beradik selepas kematian ibu ayah,” ujar Sarimah.
Dalam tempoh bersabar itu juga, mereka mendapat tahu bapa saudara tanpa rasa bersalah telah menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga.
Paling menimbulkan kemarahan mereka adik beradik, apabila keluarga bapa saudara, menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi.
Ini termasuk membeli kereta mewah, makan angin ke luar negara dan melabur dalam perniagaan yang akhirnya menemui kegagalan.
“Abang membuka semula kes tersebut kira-kira dua tahun lalu selepas tidak sanggup melihat bapa saudara terus hanyut dalam godaan harta yang bukan miliknya.
“Dengan bantuan seorang rakan yang merupakan peguam, abang berjaya menemui bukti yang dokumen jual beli tanah berkenaan telah dipalsukan,” cerita Sarimah lagi.
Menurutnya, kes tersebut dibawa ke mahkamah.
Mahkamah akhirnya memutuskan tindakan bapa saudara selama ini memalsukan dokumen adalah salah di sisi undang-undang dan syariah.
Zubir diarahkan memulangkan semula hasil jualan tanah atau menggantikan nilai tanah tersebut kepada mereka.
“Ketika itu hanya Allah yang tahu bagaimana situasi kami. Pertelingkahan menjadi semakin tegang.
“Bapa saudara masih cuba mempertahankan dirinya dengan pelbagai alasan kononnya dia telah banyak berkorban untuk menjaga kami. Paling mengejutkan bapa saudara sanggup menghalau dan tidak lagi mengakui kami sebagai darah dagingnya,” ujarnya.
Walaupun kes itu memberi kesan kepada emosi, namun mereka tiga beradik tetap memilih untuk memaafkan bapa saudara.
Kisah yang dikongsikan ini memberi pengajaran besar kepada kita semua.
Bagi bapa saudara yang ikhlas, amanah menjaga anak yatim bukan sekadar tanggungjawab.
Sebaliknya ia adalah peluang untuk meraih pahala.
Namun bagi mereka yang dibutakan dengan harta duniawi, ia boleh menjadi beban dosa yang menghantui sepanjang hidup.
Sesungguhnya ada beberapa ayat al-Quran yang secara jelas menerangkan tentang kedudukan anak yatim.
“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabnya”.-(surah Al-Isra:34).










