Tidak lengkap dekorasi ruang tamu jika tiada sofa. Walaupun ia dianggap sebagai satu keperluan namun sebenarnya perabot ini adalah salah satu elemen dekorasi yang penting bagi ruang utama di kediaman.
Pasti ramai yang buntu memilih sofa yang sesuai untuk kediaman memandangkan semakin banyak rekaan ditawarkan di pasaran.
Pemilihan sofa yang bersesuaian dengan konsep rekaan dalaman rumah sangat penting bagi membangkitkan suasana yang diidamkan.
Tidak kisahlah sama ada gaya klasik atau kontemporari, sofa adalah salah satu kunci utama untuk penataan gaya di ruang tamu.
Kebiasaannya, penggemar gaya klasik atau kontemporari sering memilih sofa berasaskan kayu dengan rona gelap atau neutral manakala penggemar dekorasi moden boleh memilih rekaan sofa yang lebih minimalis dengan rona lembut.
Rekaan khas
Namun, sofa daripada syarikat tempatan, Furniture and Choice Malaysia (FCM) ini sememangnya direka khas untuk penggemar gaya moden, kontemporari mahupun klasik.
Setiap rekaan sofa juga dihasilkan bagi memenuhi keinginan pelbagai pemilik kediaman.
Misalnya, koleksi Chatham sesuai dengan pengguna yang mahukan jenis empuk dan ‘dipeluk’ oleh sofa.
Ia mempunyai gaya kontemporari dan sensasi empuk lantas memberikan keselesaan kepada pemilik.
Gaya sofa Chesterfield dari abad pertengahan dengan rekaan tempat letak tangan dan hiasan butang yang elegan pula, menjadikan ia lebih selesa dengan kemasan baldu lembut.

Aneka gaya
Bagi yang mencari gaya lebih moden dan kemas, ada pilihan sofa dengan kusyen empuk.
Keanggunan reka bentuk kaki besi, menaikkan lagi seri sofa ini selain tambahan sedikit sentuhan classy pada ruang kediaman.
Pengasas Bersama FCM, Howard Obbard berkata, jenama itu menggabungkan gaya klasik British dengan bahan serta seni pertukangan tempatan yang berkualiti.
“Setelah hampir 20 tahun mengeksport perabot kami ke United Kingdom dan 25 tahun membekalkan perabot ke jenama terkenal global, kini tiba masanya membawa jenama ini kembali ke Malaysia untuk dinikmati oleh mereka yang kreatif dan bersedia melabur untuk rumah mereka.
“Kami sedia memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap perabot yang mempunyai ciri-ciri idaman iaitu premium, tahan lama, selesa dan paling penting, mampu milik,” katanya.
Ketahanan bahan
Bukan sekadar penyeri ruang, ketahanan sesebuah sofa juga perlu dipertimbangkan kerana harga sofa bukan murah.
Sudah tentu, pemilik ingin menggunakannya dalam jangka masa yang lama.
Kerangka dan bingkai sofa perlulah diteliti terlebih dahulu sama ada kukuh atau tidak sebelum membuat pembelian.
Di kilang seluas 600,000 kaki persegi milik jenama ini di Klang, bahan-bahan berkualiti tinggi yang diperolehi daripada sumber tempatan diubah menjadi karya perabot yang indah.
Sofa dihasilkan menggunakan kayu yang diperolehi secara mampan dari hutan yang diurus secara baik yang mematuhi piawaian Peraturan Kayu Kesatuan Eropah (EUTR) dan mengelak sebarang kayu dari rizab tanah, hutan hujan atau kawasan pembalakan baharu.










