WALAUPUN sudah hampir sedekad berlalu, mungkin masih ramai yang mengingati kisah tragis Gypsy Rose Blanchard, 33.
Kisah Gypsy yang menjadi mangsa penderaan semasa usia kanak-kanak dan didapati bersalah dalam komplot membunuh ibunya sembilan tahun lalu, pernah menghebohkan dunia sehingga dijadikan siri dokumentari.
Gypsy dibesarkan oleh ibunya, Dee Dee Blanchard yang sering mendakwa anaknya itu mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk cacat penglihatan, penyakit kronik pada saluran pernafasan dan leukemia.
Kehidupan kanak-kanak Gypsy banyak bergantung kepada ibunya dan kerusi roda, bahkan terpaksa melalui pelbagai pembedahan serta mengambil ubat-ubatan yang tidak diperlukan atas permintaan Dee Dee.
Malah, badan Gypsy juga terpaksa dimasukkan dengan tiub pemakanan kerana tidak boleh makan secara normal.
Walhal, Gypsy sebenarnya tidak mengalami masalah kesihatan seperti yang didakwa ibunya. Kepalanya botak kerana dicukur oleh Dee Dee, bahkan giginya mereput disebabkan ubat-ubatan.
Ujian perubatan sering menunjukkan keputusan yang tidak konklusif atau bercanggah dengan diagnosis Gypsy, tetapi Dee Dee akan berhenti berjumpa doktor yang meragui penyakit anaknya itu.
Apabila Gypsy sudah mampu bercakap, Dee Dee mengarahkannya supaya tidak memberikan maklumat temu janji mereka dan sentiasa menceritakan sejarah perubatan palsu anaknya.
Namun, dua beranak ini sering kali mendapat liputan media kerana orang ramai mengagumi kecekalan dan ketabahan Dee Dee menguruskan Gypsy ketika itu.
Pakar percaya, Dee Dee mempunyai penyakit mental yang dikenali sebagai sindrom Munchausen, menyebabkan beliau mereka-reka masalah kesihatan Gypsy untuk mendapat perhatian serta simpati.
TRAGEDI PEMBUNUHAN DEE DEE
Pada 2011, Gypsy yang berusia 19 tahun ketika itu berusaha melarikan diri daripada ibunya, namun berjaya dijejaki oleh Dee Dee.
Menurut Gypsy, Dee Dee memecahkan komputer dan mengikatnya pada katil selepas mereka pulang, selain turut dipukul serta tidak diberikan makan.
Beliau sekali lagi berusaha melarikan diri dan berkenalan dengan teman lelakinya, Nicholas Godejohn menerusi laman temu janji.
Gypsy menceritakan kisahnya kepada Godejohn dan meminta lelaki itu membunuh Dee Dee supaya mereka dapat bersama.
Pada Jun 2015, Godejohn datang ke rumah Gypsy dan menikam Dee Dee, sementara beliau menunggu di bilik air sambil menutup telinga.
Gypsy dan Godejohn kemudian melarikan diri ke Wisconsin sebelum ditemui oleh pihak polis.
Gadis itu terdahulu memuat naik hantaran Facebook yang dikongsi bersama ibunya, seolah-olah memberi bayangan untuk mayat wanita tersebut ditemukan.
DIPENJARA10 TAHUN
Selepas pembunuhan Dee Dee, ramai yang mengikuti kisah dua beranak ini terkejut dengan Gypsy yang sanggup bertindak sejauh itu terhadap ibunya.
Memandangkan beliau boleh berjalan, Gypsy sepatutnya sekadar mendedahkan pembohongan Dee Dee kepada khalayak ramai.
Namun, Gypsy dilatih untuk berfikir bahawa tiada siapa yang akan mempercayainya, maka pembunuhan itu dianggap jalan terbaik untuknya membuat pendedahan.
Akibat penderaan itu, Gypsy menghabiskan seluruh hidupnya dengan dikawal Dee Dee.
Pada 2016, Gypsy mengaku bersalah dan dijatuhi penjara 10 tahun, dan wanita tersebut kini dibebaskan awal dari penjara pada 28 Disember 2023.
Gypsy berkata, beliau lebih menikmati kehidupannya di penjara berbanding bersama dengan Dee Dee sebelum ini.
Dalam dua rancangan Lifetime, The Prison Confessions of Gypsy Rose Blanchard dan Gypsy Rose: Life After Lock Up, beliau turut mendedahkan bakal bergelar ibu tidak lama lagi.
Gypsy dan teman lelakinya, Ken Urker menjangkakan kelahiran bayi mereka pada Januari tahun depan.










