Fadhlina kongsi pengalaman anak didera pengasuh ketika jadi peguam

Fadhlina kongsi pengalaman anak didera pengasuh ketika jadi peguam

FADHLINA Sidek (empat dari kiri) ketika menghadiri Himpunan Gala Pesona Kasih Madani di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek hari ini berkongsi pengalamannya sebagai ibu bekerjaya dalam membesarkan enam orang anak termasuk seorang daripada mereka yang pernah didera oleh pengasuh sebelum ini.

Menurut Fadhlina, ketika itu, beliau masih bekerja sebagai seorang peguam, namun, tidak mampu melakukan apa-apa kerana kekangan jadual kerja yang sangat padat.

“Anak kedua saya didera oleh pengasuh. Ya, didera, dirotan di kaki dan ketika itu saya memang rasa sangat-sangat bersalah, sebab sebagai seorang ibu yang bekerja dan peguam pula ketika itu, maka, jadual saya ketat dan saya tiada pilihan selain menghantar anak ke jagaan pengasuh.

“Pengalaman itu kemudian membuatkan saya merasakan bahawa (kerjaya) pengasuh ini mesti mempunyai satu komitmen, atau yang kita panggil sebagai peluang dan tanggungjawab (yang penting) dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Gala Pesona Kasih Madani anjuran Merdeka Centre dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi Yayasan Sime Darby di sini, hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, anak keempatnya pula meninggal dunia akibat Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS) sekali gus menyebabkan beliau trauma sehingga terpaksa memilih sama ada mahu terus bekerja atau berhenti dan menjaga anak-anak sepenuh masa.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata, beliau bertuah kerana menerima sokongan daripada keluarganya yang besar termasuk adik-beradiknya yang banyak membantu dirinya mengharungi waktu-waktu sukar itu sambil meneruskan kerjayanya sehingga berjaya menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan ketika ini.

“Pengalaman ini bagi saya memperlihatkan betapa pentingnya untuk membangunkan ekosistem penjagaan kanak-kanak yang lebih menyeluruh supaya ibu bekerja mempunyai keyakinan bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat dan mendapat penjagaan sewajarnya,” ujar beliau.

Justeru, Fadhlina berkata, beliau amat menyokong pelaksanaan program seperti Kasih Madani yang bermatlamat memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di negara ini dengan memperkasa serta meningkatkan keupayaan pengasuh berasaskan rumah dan komuniti.

“Saya juga sudah maklum kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan meminta agar program ini dimasukkan dalam bajet (belanjawan) tahun depan supaya lebih ramai (golongan ibu bekerjaya) mendapat manfaatnya,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×