TIADA yang lebih berharga dalam kehidupan seorang insan bergelar ibu melainkan anak-anaknya. Kasih sayang yang dicurahkan kepada malaikat kecil itu tiada tandingannya. Dialah ibu, dialah bapa.
Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan wanita ini dalam melaksanakan tanggungjawabnya memikul kedua-dua peranan tersebut.
Mas Hazirah Saifuddin, 34, membesarkan tiga cahaya mata seorang diri dengan berbekalkan kecekalan dan ketabahan hati.
Keteguhannya dalam mengharungi cabaran hidup membuktikan bahawa beliau adalah seorang wanita yang benar-benar luar biasa.
“Anak-anak adalah segalanya bagi saya. Tidak ada yang lebih bernilai dalam hidup saya melainkan tiga orang malaikat kecil ini.
“Tuhan anugerahkan tiga cahaya mata kepada saya. Merekalah yang menjadi sumber kekuatan saya selama ini. Siapa saya hari ini adalah kerana mereka. Anak-anak mengajar saya erti kehidupan sebenar,” katanya kepada Seri.

LIKU KEHIDUPAN
Memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bagi seorang wanita. Apatah lagi tatkala diduga dengan hal yang tidak pernah terjangkau dek akal.
Ketika putera sulungnya, Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff berusia lima tahun, Mas Hazirah menerima perkhabaran yang meluluhkan hatinya.
Mas Muhammad Luth disahkan menghidap Glioblastoma multiforme tahap 4 iaitu sejenis penyakit tumor otak agresif sekitar awal tahun lalu.
Ketika itu, hidupnya dirasakan berubah dalam sekelip mata.
Lebih menyedihkan apabila penyakit itu merupakan penyakit jarang jumpa dan tidak mempunyai penawar.
Kebahagiaan yang sebelum ini menghiasi hari-harinya bertukar menjadi cabaran yang tidak pernah dibayangkan.
“Sebagai ibu, saya amat terkesan dengan tragedi yang berlaku secara mengejut ke atas anak kesayangan saya itu.
“Pertama kali mendengar berita itu, saya tidak boleh menerima kenyataan kerana pada mata saya anak saya masih kuat.
“Hal itu menjadi sumber kekuatan dan beri saya semangat untuk terus berjuang mencari alternatif untuk menyembuhkan Luth. Berpegangkan kekuatan yang ada, saya nampak harapan pada anak saya,” jelasnya.
Pada saat itu, beliau bukan hanya seorang ibu malah juga ‘penyelidik’ yang bertungkus-lumus mencari apa jua cara untuk anaknya kembali sihat seperti dulu kala.
Rela meletakkan kehidupan peribadi dan kerjayanya di tepi, Mas memilih untuk menjadi seorang ‘ibu’ sepenuh masa buat Luth.
Bagi Mas Hazirah, keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji dilihat sebagai satu-satunya cara terbaik untuk memenuhi keperluan anaknya.
“Saya terpaksa berhenti bekerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Luth, mencari apa sahaja rawatan yang boleh pulihkannya.
“Setiap malam selepas menidurkan anak-anak, saya luangkan masa membuat penyelidikan mengenai penyakit Luth,” katanya.
Kesungguhan beliau jelas dilihat melalui pengorbanannya yang sanggup bersengkang mata demi menghubungi pakar perubatan dari luar negara yang berbeza zon masa.
SOKONGAN KELUARGA
Tidak dinafikan sokongan orang sekeliling menjadi pendorong untuk Mas Hazirah terus kuat menempuhi cabaran dan detik hitam dalam kehidupan.
Ibu bapa, adik-beradik dan sahabat handai adalah antara insan yang sentiasa berada di sisinya, memberikan sokongan sepanjang tempoh rawatan Luth.
Katanya, ia bukan sahaja membantu dari segi emosi tetapi juga memberikan suntikan semangat untuknya terus tabah menghadapi dugaan besar yang menimpa keluarga.
“Saya amat bersyukur kerana keluarga sentiasa ada untuk membantu, mereka adalah penyokong utama saya.
“Ketika saya hampir putus asa, mereka yang mengingatkan saya untuk terus kuat demi anak-anak.
“Saya tidak pernah berhenti berharap walaupun pada saat yang paling sukar. Anak-anak adalah pendorong dan alasan untuk saya terus bertahan sehingga ke hari ini,” ujarnya.
LUTH PERGI JUA
Selepas enam bulan disahkan mengalami penyakit jarang jumpa itu Mas Muhammad Luth akhirnya pergi jua.
Meskipun jasad anak syurga itu sudah tiada di sisi, kenangan bersama anak sulungnya itu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat Mas Hazirah dalam meneruskan kehidupan.
Sambil membesarkan dua lagi puterinya iaitu Mas Raeesa Laia dan Mas Raeesa Lallisa, keluarga kecil itu tetap meneruskan rutin yang dilakukan bersama ketika Mas Muhammad Luth masih ada.
Alunan zikir Hasbi Rabbi yang menjadi kegemaran anak syurga itu masih lagi dimainkan bagi mengisi kekosongan setelah putera kesayangan itu pulang ke negeri abadi.
BANTU KANAK-KANAK
Kehilangan putera sulung ketika usianya masih muda menjadi titik permulaan bagi Mas Hazirah untuk menubuhkan Yayasan Luth.
Menurutnya, yayasan itu diwujudkan sebagai platform untuk membantu kanak-kanak yang menghidapi Penyakit Jarang Jumpa (PJJ) di Malaysia bagi mendapatkan dana perubatan dengan segera.
Jelasnya, PJJ memerlukan kos perubatan yang sangat tinggi dan rawatan segera bagi menyelamatkan nyawa kanak kanak yang menghidap penyakit itu.
“Saya amat memahami perasaan ibu bapa yang terdesak memerlukan bantuan kewangan dalam masa yang singkat untuk membiayai kos perubatan dan menyelamatkan nyawa anak tersayang.
“Jadi saya mengambil inisiatif ini sebagai tanda penghormatan kepada arwah anak saya dan sebagai usaha untuk meringankan penderitaan keluarga lain yang mengalami nasib sama,” jelasnya.

Tambahnya, Yayasan Luth bukan sahaja membantu dari segi rawatan tetapi juga memberikan sokongan moral kepada keluarga yang memerlukan.
“Setiap langkah yang saya ambil dan segala yang usahakan diiringi oleh kenangan bersama arwah Luth yang akan sentiasa hidup dalam sanubari.
Bagi Mas Hazirah, setiap senyuman dan kebahagiaan yang dibawa kepada kanak-kanak yang dibantu melalui yayasan ini adalah lambang cinta tidak berbelah bahagi terhadap anaknya.










