Cinta dan perjuangan tenun Tengku Ampuan Pahang

Cinta dan perjuangan tenun Tengku Ampuan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah ke ruang pameran Tenun Pahang Diraja di Visitor Centre, Royal Selangor, mata terpukau melihat deretan baju kurung kain tenun moden, sarat dengan hiasan batu permata yang berkerlipan.

Sejumlah 25 pasang baju kurung beraneka warna berusia 20 tahun itu adalah koleksi milik peribadi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan puterinya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Paling mencuri perhatian adalah busana tenun berwarna kuning berhias motif flora berona perak yang digayakan oleh Tunku Azizah ketika pertabalan King Charles III di London pada tahun lalu.

Busana unik itu terkenal di persada dunia selepas diiktiraf oleh Harpers Bazaar sebagai antara lima pakaian yang digayakan oleh wanita pertama di dunia yang mendapat pujian media antarabangsa.

Selain itu, turut dipamerkan sepasang persalinan baju kurung  tenun putih yang dipakai oleh Tunku Azizah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin pada 2019.

Persalinan itu dianggap istimewa kerana tenunan khas itu adalah hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.

“Ada antara rekaan dan corak baju direka sendiri tetapi kebanyakannya dibuat oleh Datuk Rizalman Ibrahim kerana beliau memahami citarasa saya. Pada pameran ini, pengunjung boleh melihat hasil rekaannya mengikut fasa.

“Namun saya berpesan supaya meletakkan hiasan yang sederhana pada bahagian bawah baju dan lengan. Ini bagi memastikan keindahan hasil tenunan kekal terserlah dan tidak terlindung dengan hiasan ini,” titah Tunku Azizah dalam sidang akhbar sempena pameran berkenaan baru-baru ini.

Turut berangkat, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li.

Pengunjung pameran itu turut berpeluang melihat secara lebih dekat beberapa peralatan penting untuk menenun dan proses rumat yang dilakukan di sebalik seni tenunan Pahang.

Titah Tengku Ampuan Pahang, baginda sekeluarga sememangnya sentiasa memakai baju yang diperbuat daripada kain tenun Pahang kerana keunikan selain kecantikannya.

Malah, kain tenun juga diperbuat daripada benang sutera yang lembut, sesuai digayakan ke mana-mana majlis terutama acara rasmi atau sebaliknya.

Pada majlis itu, baginda tampil anggun dengan baju kurung tenun hijau bermotif bunga colek yang merupakan salah satu identiti Tenun Pahang Diraja, buatan daripada penjara bentong.

“Ketika ini terdapat kira-kira 400 pasang baju tenun dalam simpanan saya. Tapi bukanlah dibuat dalam masa semalaman, sebaliknya sudah dihimpun sejak beberapa tahun dulu. Saya pamerkan kerana mahu berkongsi keindahannya bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Kebanyakan baju-baju saya selain kain tenun, diberi kepada orang tetapi kain tenun tetap disimpan kerana setiap rekaan tersendiri dan cukup bernilai untuk dipamerkan kepada orang ramai kelak,” titahnya.

Tunku Azizah mengakui sebenarnya lebih menggemari warna merah jambu dan biru tetapi tidak kisah menggayakan pelbagai warna sekiranya busana berkenaan diperbuat daripada tenun.

Nilai tidak terkira

Kalau ditanya mengenai nilai setiap pakaian tenun dalam koleksi yang dipamerkan, Tunku Azizah menegaskan kain tenun sememangnya tiada nilainya.

“Hanya usaha untuk membuatnya, rekaan dan kualitinya, itulah nilainya kerana hendak menenun bukannya senang. Jadi, nilai baju-baju ini, pada saya adalah produk tenun itu sendiri.

“Bermula daripada proses awal membasuh benang, merancang rekaan termasuk mengira empat ribu benang yang akan ditenun bagi membentuk pelbagai corak seperti beragi, ikat, colek dan sebagainya,” titahnya.

Setiap pasang baju ada keunikan tersendiri. Ini kerana hasil rekaannya hanya satu. Walau ditenun sekali lagi, tidak akan dapat hasil yang sama dengan sebelumnya kerana setiap penenun berbeza sentuhannya.

Tambah baginda, ketika dalam proses tenunan, corak boleh bertukar mengikut kesesuaian daya kreativiti penenun walaupun pada awalnya sudah dirancang corak dan rekaan yang diingini.

“Walaupun ramai orang mengatakan tenun Pahang ini mahal, saya faham. Memang tidak dinafikan kerana pembuatannya rumit dan kualiti yang dihasilkan cukup menarik membuatkannya berada dalam kelas tersendiri.

“Baju yang saya pakai ditenun satu hari dapat tiga inci sahaja. Kalau kerja sampai malam, dapat enam inci. Sama ada ia menggunakan benang sutera atau kapas, prosesnya tetap rumit,” titahnya.

Kain tenun bercorak teknik ikat dan corak beragi itu mungkin lebih mahal sedikit kerana bagi menghasilkannya, penenun perlu banyak mengira. Ini berbeza dengan corak belang-belang horizontal atau vertikal, ia lebih mudah sedikit pembuatannya.

Tunku Azizah melahirkan rasa kesal kerana sekarang ramai yang membeli kain songket dan tenun daripada India, yang diperbuat daripada mesin.

Harganya memang lebih murah tetapi nilainya sudah hilang. Mesin mampu membuat seribu meter kain tetapi tidak boleh menghasilkan dua atau tiga corak dengan teknik seperti ikatan berganda, loseng, paku dan gigi belalang.

“Mesin tidak boleh lawan tekstil yang diperbuat dengan tangan menggunakan alat tradisional. Saya tidak setuju dengan mesin terutama kalau harganya sama dengan buatan tangan yang kualitinya jauh lebih tinggi.

“Kalau tidak mahir dalam kain tenun, kita tidak boleh membezakan kain itu diperbuat daripada mesin atau tangan. Sebaiknya hentikan membeli songket dan tenun luar bagi merangsang industri kraf kita,” titahnya.

Teknik tenunan dua wajah

Minat mendalam pada tenun Pahang Diraja mendorong Tunku Azizah untuk berkongsi keindahan koleksinya menerusi pameran di samping kemahiran menenun.

Sejak 21 tahun menjenamakan semula tenun Pahang Diraja, ia sudah menghasilkan beraneka reka bentuk serta warna baharu.

Sejak 2007, bengkel menenun dilancarkan bagi memberi peluang kepada penghuni penjara Penor dan Bentong untuk mempelajari teknik menenun bermula dengan dua penenun sahaja.

“Sekarang kita ajar mereka cara memilih warna supaya kekal sama dalam setiap produk. Contohnya mungkin hari ini hijau, jadi hendak mendapatkan warna yang sama, ajar teknik mengadun warna.

“Terbaharu, mereka berjaya menghasilkan kain samping tenun dua wajah. Kalau dilihat ia hanya satu samping saja tetapi di bahagian dalamnya ada corak berbeza. Jadi, boleh dipakai bahagian luar dan dalam,” titahnya.

Mereka juga diajar bagaimana mahu membuka bengkel dan diberi latihan enam bulan lagi bersama pengusaha kain tenun.

Tunku Azizah turut menyeru mereka yang berminat untuk mempelajari seni tenun yang ditawarkan di Institut Kemahiran Tenun Diraja Pahang.

Bagi menggalakkan lebih ramai penenun di masa akan datang, pelajar hanya perlu membayar RM400 sahaja dan diberi duit poket sebanyak RM300 sebulan selain penyediaan penginapan dan makan.

“Ada empat semester semuanya. Bila tamat pengajian mereka akan dapat sijil Institut Kraf Negara.  Kita hendak menggalakkan kraf warisan kerana sudah tidak ramai lagi yang menenun kini.

“Di Pekan, Pahang, mungkin ada 60 atau 70 penenun manakala di penjara ada lebih 200 orang. Tanpa penjara kita mati. Saya juga bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan seni ini berterusan,” titahnya.

Tunku Azizah bertitah, usaha nendanya, Tuanku Ampuan Besar Meriam dari Johor bagi menghidupkan kembali tenun Pahang selepas berkahwin dengam Sultan Mahmud, Pahang.

Justeru, baginda berharap generasi muda hari ini mengambil tahu tentang warisan nenek moyang bagi memastikan ia tidak pupus.

“Generasi muda perlu mengenali kraf, bukan sahaja tenun, tetapi songket, batik di samping tembikar, tembaga atau perak,” titahnya.

Setakat ini, baginda berpuas hati kerana tenun sudah berada di persada dunia tetapi masih banyak lagi yang perlu dilalui dan dilaksanakan.

Sementara itu, Datuk Yong berkata, kerjasama menganjurkan pameran itu adalah bagi menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung mengenai keindahan seni tekstil negara.

“Sebelum ini Royal Selangor sering mengangkat karya dari barat seperti watak-watak Marvel si samping mencari inspirasi baharu menerusi muzium barat dan budaya pop.

“Namun, kami lupa, Malaysia bukan saja memiliki kraf unik tetapi pelbagai lagi cerita menarik yang semakin dilupakan oleh orang ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×