KELUASAN kediaman ini hanyalah sekitar 600 kaki persegi.
Namun, jika dilihat pada setiap ruangan yang ada, ia tampak selesa dan nyaman dengan tatarias berlatarbelakangkan rona lembut.
Langsir putih tinggi yang dipadankan dengan permaidani rona lembut menghiasi ruang utama kediaman milik Ayu Juhanna Shuib ini.
Beliau yang mesra disapa sebagai Hanna, berkata keseluruhan dekorasi kediaman jenis teres itu adalah bertemakan rumah ladang Scandinavian di mana ia mengetengahkan unsurunsur desa berasaskan barat.
Disebabkan itu, permainan rona putih dan unsur-unsur kayu menjadi elemen paling penting dalam melengkapkan tatarias pada setiap sudut.
“Sejujurnya kediaman ini tiada konsep yang jelas melainkan saya fokus dalam mengaplikasikan warna-warna neutral pada penataan dekorasi, perabot dan langsir.
“Ruang tamu dan ruang makan lebih menonjolkan konsep Scandinavian dengan permainan warna cerah seperti putih, krim dan coklat pada keseluruhan ruang. Selain itu, kertas dinding hitam pada ruang makan menaikkan warna pada bahagian dinding tumpu (feature wall).
“Keluasan rumah ini terhad, jadi tema ini sesuai dalam membuat ruang kelihatan luas dan lapang. Kebetulan saya pun peminat warna lembut,” katanya kepada Seri.

Unsur kedesaan dapat dilihat dengan jelas pada penataan di bahagian dapur dengan beberapa dulang tampi menghiasi bahagian dinding.
RONA GELAP UNTUK KELAINAN
Ada sedikit kelainan pada bahagian kabinet dapur yang diberi sentuhan rona gelap.
Begitu juga dengan bahagian sinki.
Rona gelap itu bagaimanapun dipadankan dengan permaidani dan beberapa perkakasan dapur yang berona coklat, memberikan sedikit kontra untuk membangkitkan suasana pada ruangan berkenaan.
“Saya akan pastikan warna sesuatu dekorasi atau perabot, warna yang senang disuai padan. Saiz juga di ambil kira. “Selain itu, penggunaan perabot berasaskan kayu, rotan yang ringkas dan tumbuhan hiasan melengkapkan dekorasi rumah ini,” katanya.

Bagi menyempurnakan setiap sudut rumah, Ayu Juhanna memilih tona neutral seperti putih, hitam, krim dan coklat untuk setiap sudut rumah kecuali bilik anak anak.
Dek kerana memilih palet rumah bercirikan cerah dan neutral, adalah suatu kewajipan untuk mencuci dan membersih dengan lebih kerap.
Namun Ayu Juhanna tiada masalah dengan rutin berkenaan, sebaliknya menjadikan kerja mengemas sebagai sesuatu yang menyeronokkan.











