POPULAR betul biskut lembut atau soft cookies ini di media sosial, gara-gara seorang pengasas jenama makanan pemanis mulut yang mempromosikan biskut lembut jualannya yang dimakan bersama susu.
Bermula daripada situ, ramai yang mula terikut-ikut trend makan biskut ini yang dicelup bersama susu.
Nampak sungguh menyelerakan. Rupanya, ringkas sahaja bahan-bahan digunakan untuk membuat biskut tular ini.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk membeli, bolehlah mencuba resipi hasil perkongsian Nurul Ain Abdul Aziz ini.
Resipi ini menghasilkan biskut lembut yang rangup di luar namun lembut di dalam. Sesuai sangat dimakan bersama susu sejuk. Jom cuba.
BAHAN-BAHAN:
125 gram mentega yang dicairkan dan disejukkan
1/2 cawan gula perang
1/4 cawan gula kastor
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
225 gram tepung gandum
1/2 sudu kecil serbuk penaik
1/2 sudu kecil soda penaik
100 gram bar coklat susu
50 gram cip coklat
Kepingan garam laut
CARA-CARA:
Dalam bekas satukan mentega yang dicairkan, gula perang dan gula kastor. Kacau hingga sebati.
Masukkan telur dan esen vanila.
Setelah sebati, masukkan tepung gandum, soda penaik dan serbuk penaik.
Gaul semua bahan hingga sebati dan menjadi doh.
Setelah itu, masukkan kesemua coklat yang telah disediakan.
Gaul sebati dan rehatkan selama satu jam dalam peti sejuk.
Lepas sejukkan adunan, bentukkan bulat mengikut saiz kesukaan dan bakar dalam ketuhar pada suhu 180 darjah selsius selama 20 minit (api atas bawah).
Tunggu sehingga biskut sejuk dan taburkan kepingan garam.
Sedia dihidangkan.










