Kecaman jadi pembakar semangat

Kecaman jadi pembakar semangat

MEMANDU kereta drift bukan sekadar hobi tetapi kerjaya buat Sharina Richie
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECIL-KECIL cili padi. Orangnya kecil, namun siapa sangka anak kelahiran Johor ini begitu tangkas di trek.

Setiap selekoh tajam ‘dilayan’ dengan mudah oleh pelumba drift ini.

Buktinya, walaupun baru setahun lebih berkecimpung dalam dunia seni automotif, Sharina Richie sudah mampu menempatkan nama sebagai Top 8 Women Drift Challenge Indonesia Pro Am Round 1 & 2.

Begitupun, akui bukan mudah mencipta nama dalam sukan lasak itu apatah lagi jika sering dipandang serong segelintir masyarakat termasuk lelaki.

Kedatangannya dalam dunia seni automotif dianggap sebagai pencabar lalu dirinya sentiasa menerima kecaman. Bukan dari belakang, namun secara terang-terangan dikhalayak ramai.

“Nama saya pernah disebut oleh orang yang memang ada nama dalam bidang ini ketika sesi siaran langsung di media sosial beliau. Saya pernah dikatakan perempuan bodoh tidak tahu minyak semi, fully dan sebagainya.

“Saya turut dituduh terlalu mencuba dengan membuka bengkel kereta. Tetapi, kecaman itulah yang menjadi antara faktor penolak untuk saya buktikan bahawa kehadiran saya dalam industri ini bukan saja-saja.

“Saya mahu ubah stigma mereka terhadap wanita dalam bidang sukan permotoran lasak. Saya mahu tunjuk mereka salah dengan buktikan kemampuan dalam bidang ini ,” katanya yang kini sudah membuka bengkel NST 24 Garage di Puchong, Selangor.

Mengenai pembabitan wanita dalam bidang ini sering disalaherti sebagai kurang bermoral dan sesuatu negatif, katanya ia adalah persepsi yang harus diperbetulkan.

Kehadirannya bersama beberapa lagi rakan drift wanita diharap dapat membuka mata orang ramai bahawa drifter wanita juga merupakan kerja profesional dan bukan seperti yang difikirkan.

“Saya tonjolkan diri saya dengan sebaiknya dan mahu mengangkat martabat wanita dalam sukan permotoran lasak ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan adanya saya di sini dan beberapa lagi drifter wanita lain, harapnya akan membuatkan lagi ramai wanita berminat dan tidak takut untuk sertai industri,” katanya yang sangat menjaga penampilan diri sebagai pempengaruh media sosial dalam bidang automotif.

Ketika ini beliau menggalas tanggungjawab menjadi duta beberapa jenama produk berkaitan automotif antaranya Goodyear dan Liqui Moly.

GEMARKAN CABARAN

Mengakui dirinya sukakan cabaran, wanita berusia 29 tahun ini tahu hanya dengan melakukan modifikasi kereta dan sukan drift yang mampu memberikan kepuasan kepada dirinya.

Graduan Ijazah Perniagaan Perdagangan dari Western Sydney University ini gemar mencari benda-benda baharu dalam hidup untuk meningkatkan adrenalin dirinya.

Sebab itu, daripada seorang penstrim permainan video di Facebook beliau bertukar 360 darjah kepada bidang sukan lasak tahun lalu.

“Selepas menamatkan pengajian, saya pulang ke Malaysia dan memulakan perniagaan produk penjagaan wajah.

“Namun, tidak lama selepas itu wabak Covid-19 melanda dan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan tidak dapat diteruskan.

“Sejak itu saya jadi penstrim permainan video dan dibayar oleh Facebook untuk bermain permainan video,” kongsinya.

55 KE 95 KG

Selama tempoh itu, disebabkan hanya bermain permainan video dan tidak aktif, beliau menjadi obesiti.

Daripada 55 kilogram (kg), beratnya melonjak naik sehingga 95kg sekaligus menjadikan beliau seorang gadis obesiti.

Ya, siapa sangka gadis manis dan bertubuh kecil molek ini pernah memiliki badan besar dengan berat hampir 100kg?

Namun, selepas tamat PKP, beliau tidak mengambil masa lama untuk kembali sihat. Sedar kesihatannya mungkin terganggu dengan berat badan sedemikian, beliau berazam menurunkan berat badan dalam masa tiga bulan.

Dalam masa sama beliau mencari sesuatu yang baharu untuk menjadikan beliau kekal aktif.

“Daripada situ saya mula minat untuk modifikasi dan restoration kereta. Saya cari dan beli kereta-kereta terpakai untuk dimodifikasi.

“Lama-lama saya jadi bosan dan saya fikir apa lagi yang boleh dibuat untuk mencabar diri. Jadi itu yang saya mula drift,” katanya yang kini mempunyai 11 koleksi jentera peribadi untuk kegunaan santai dan drift.

MOTIVASI TINGGI

Kalau dilihat berdasarkan tubuh genit dan rambutnya yang panjang mengurai, pasti tidak ramai menyangka beliau mampu mengendalikan jentera drift sementelah beliau tidak terlihat ‘kasar’.

Namun, gadis manis ini berkata, cabaran itulah adalah sesuatu yang dicari dalam hidup. Walaupun tahu sukar mengendalikan jentera itu yang begitu berbahang di dalamnya, namun rasa ingin tahu lebih ‘membakar’ dalam diri.

“Sebelum main drift saya banyak belajar sendiri dan kemudian bergaul dengan golongan yang memang dalamindustri.

“Saya sentiasa percaya setiap orang ada ilmu pengetahuan masing-masing yang boleh dikongsikan,” jelasnya.

Tambahnya, kebolehannya itu turut didorong oleh sikapnya yang bermotivasi tinggi.

Katanya, setiap perancangan atau keinginannya akan disertai dengan tempoh masa tiga bulan sahaja.

“Maksudnya, saya hendak buat apa-apa pun saya akan pastikan saya capai dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Tiga bulan itu adalah had masa saya dan setakat ini memang saya capai setiap yang saya target dalam tempoh itu,” jelasnya.

KEPERCAYAAN KELUARGA

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini mengikut jejak langkah bapanya yang memiliki bengkel kereta dan bermain trek.

Justeru, bapanya tidak sekalipun menghalang minat anak perempuannya itu.

Namun, sejak membuat keputusan melibatkan diri dalam bidang berkenaan, ia sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan ibunya.

Malah, beliau pernah berdepan detik cemas apabila enjin kereta terbakar ketika sedang beraksi di salah satu pertandingan.

“Masa itu saya cemas lihat bahagian depan kereta berasap. Dengan segera saya berlari tinggalkan kereta. Sepatutnya pemandu kena keluarkan alat pemadam api dari dalam kereta tetapi sebab panik sangat, saya lari.

“Tapi itu tidak padam semangat saya untuk terus kekal dalam bidang ini. Saya tahu ibu risau tapi dalam masa yang sama dia tahu minat saya,” katanya sambil ketawa kecil mengenangkan insiden itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN