IKAN berwarna-warni yang menawan, sesuai dijadikan sebagai hiasan bagi si pencinta hidupan akuatik.
Coraknya yang berbeza bagi setiap jenis juga memberikan pilihan bagi mereka yang sukakan kepelbagaian.
Pemilik Marang Guppy House, Mohamad Akmal Hakimy Juzaimy, 26 berkata, hidupan tersebut mempunyai jenis yang banyak menjadikan corak dan warnanya pelbagai untuk dipilih.
Katanya, ia menjadikan ikan air tawar itu unik dan sesuai untuk dijadikan hiasan selain mendapat permintaan tinggi walaupun sukar diperoleh di negara ini.

“Walaupun saiznya kecil, tapi ikan gupi ini unik dan mempunyai pelbagai warna. Warna-warnanya pula sangat menyerlah dan cantik dijadikan sebagai hiasan.
“Antara keunikan ikan ini juga adalah perutnya yang lut sinar yang kita boleh nampak,” katanya kepada Seri.
Saiznya yang kecil semestinya tidak menjadi kayu ukur kepada nilai yang boleh diletakkan kerana keunikan pada warna dan coraknya.
Bagi ikan dengan saiz antara 2 hingga 7 sentimeter, harga jualan adalah bermula RM50 dan boleh mencecah RM300 bagi sepasang ikan (jantan dan betina).
Menurut Akmal, harga tersebut banyak bergantung kepada jenis dan keunikan pada corak serta warna ikan.
Katanya, ia juga bergantung kepada proses kitaran hidup sesetengah jenis yang memerlukan pemerhatian bertahun-tahun kerana kecacatan yang dialami.
“Kalau macam jenis metal gold short body glass belly ribbon, disebabkan badannya yang pendek berbanding biasa, dia jadi mahal sebab lebih unik.
“Sebenarnya, asal sebab ikan cacat tapi sebab distabilkan kecacatan itu, nilai dia jadi lain sebab proses yang memakan masa,” katanya.
SESUAI UNTUK PERMULAAN
Daripada pelbagai jenis ikan yang boleh dijadikan hiasan, ikan gupi adalah antara hidupan akuatik sesuai bagi mereka yang baru menjinakkan diri dalam penjagaan akuatik.
Haiwan yang memerlukan penjagaan rapi ini boleh dijadikan sebagai proses pembelajaran buat yang baru bermula sebelum meneruskan dengan ikan hiasan lain.
Kata Akmal, ikan gupi yang sensitif pada suhu air dapat memberikan pembelajaran kepada pemain industri baharu dalam mengenali cara penjagaan haiwan akua itu.
“Sangat sesuai untuk para pemula yang ingin mencuba bermain ikan hiasan, kerana daripada ikan gupi kita dapat belajar cara yang betul.
“Sebab gupi hybrid sangat sensitif pada air dengan kandungan klorin yang tinggi,” katanya.
Antara rutin diperlukan ketika menjaga ikan ini adalah pembersihan tangki seperti penyedutan najis dan penukaran air sebanyak 30 peratus setiap hari serta mencuci tangki sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

Bagi suhu air pula, ikan gupi perlu berada pada suhu sekitar 27 sehingga 29 darjah celcius.
“Untuk tangki, saiz bergantung kepada kuantiti ikan. Biasanya satu atau dua kaki dengan perhiasan pokok air seperti horwort, hydrillia dan kiambang.
“Kalau keperluan lain macam penguji pH, media untuk kawal suhu air, antiklorin dan photosynthetic bacteria,” katanya.







