LABBAIKALLAHHUMMALABBAIK. Selamat menunaikan haji kepada duyufurrahman yang berpeluang menunaikan ibadah haji musim ini
Peluang melakukan Rukun Islam kelima ini seharusnya dilakukan sebaik mungkin. Laksanakan ia sehabis baik, kerana barangkali ia adalah haji terakhir kita.
Belum tentu ada rezeki kita menunaikannya lagi pada masa akan datang.
Bagi yang belum mendaftar haji, segeralah berbuat demikian. Masih ramai yang tidak cakna mengenai hal ini. Ada akaun Tabung Haji bukan jaminan dapat pergi, sebab ada permohonan dan prosedurnya. Tidak sukar, segala-galanya di hujung jari.
Di media-media sosial, ramai melahirkan rasa kegusaran daripada aspek keselesaan dalam melakukan ibadah dan bab membawa bekal makanan sesuai, sebab takut menu di Tanah Haram kurang menepati selera.
Mungkin dakwaan saya keterlaluan tetapi mengikut pengalaman, Tabung Haji menyediakan keperluan buat jemaah daripada Malaysia hampir cukup dan sempurna, hinggakan batu melontar pun di hantar sampai ke bilik kita.
Modal yang perlu kita ada dalam diri adalah syukur, dan sabar. Kembali kepada niat kehadiran kita untuk beribadah, bukannya atas tiket honey moon.
Saya suka menarik perhatian pasangan suami isteri yang menunaikan haji bersama-sama. Sama ada pasangan lama atau baharu, tidak banyak dibincangkan semasa kursus haji.
Agaknya sebab ia peribadi, tetapi kalau diambil ringan, impaknya boleh menjejaskan rasa selesa jemaah lain.
Elakkanlah duduk berdua-dua dan berborak lama di kaki lima bilik hotel sebab menganggu jemaah wanita lain yang perlu keluar atau masuk hotel.
Lainlah kalau di lobi, sebab ia lebih terbuka. Situasi di bilik hotel Madinah dan Mekah memanggil nama pasangan dengan pelbagai kod, pemandangan biasa yang saya sifatkan ‘boleh diterima’ sebab ada pintu.
Namun kalau di Arafah dan Mina premis kita adalah khemah. Usahlah sesuka hati menyelak khemah untuk mencari pasangan kita.
Ada jemaah terpaksa meninggikan suara bila ada seorang suami yang ‘sikit-sikit’ mencari isterinya di khemah. Sedangkan isterinya sedang beratur menunggu giliran ke tandas.
Kuncinya ialah sabar dan buat persediaan. Ciptalah kod, petanda atau set masa bertemu dengan lebih tertib kerana itu lebih beradab dan sopan.
Ia juga bagi mengelakkan jemaah lain terganggu dengan sikap kita. Seboleh-bolehnya di sini kurangkan mencari pasangan dan bercakap sia-sia, sebaliknya fokus berdoa dan mengaji dalam tempoh kritikal kita beramal ibadat.
Ibadat haji sangat istimewa kerana bukan semua orang bertuah dijemput Allah. Jangan seronok menerima jemputan secara kosong sebaliknya cipta sasaran beribadah sejak ada di Malaysia lagi selain jaga adab dan etika.
Patuhi nasihat Tabung Haji keluarkan dengan tidak berbuat sesuka hati, hanya sebab kita pergi dengan suami.
Selamat menuaikan haji, semoga mendapat haji yang mabrur.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia









