Tak sampai seminggu kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Puluhan juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Dalam keseronokan merancang perjalanan balik kampung, ada insan lain yang gusar mengenainya.
Seorang pembaca Seri dalam kiriman emelnya mengadu resah dengan keadaan itu sebab ramai dalam kalangan pengguna jalan raya gemar membuang sampah sesuka hati.
“Sakit mata dan hati tengok sampah ditinggalkan pengguna jalan raya ini. Cuba letak diri di tempat saya.
“Rumah saya jadi buruk dengan pemandangan sampah. Baunya usah cakaplah. Kalau angin bertiup menghala ke rumah kami, sedikit sebanyak mesti terhidu juga. Gembira ya, buang sampah merata?,” luahnya.
Aduannya itu memang ada benarnya. Tahun lepas masa balik kampung melepasi lebuh raya, bersepah sampah dan sisa buangan oleh anak perantau yang ditinggalkan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.
Bukan setakat najis dan sisa makanan, beg-beg plastik, bantal mainan budak pun dibuang di tepi jalan.
Saya tertanya-tanya bagaimana ia berlaku sedemikian? Adakah pengguna kita tidak ada kesedaran sivik bila mana dalam perjalanan jauh menuju ke kampung halaman masing-masing atau kesesakan jalan raya menjadikan kita individu yang melepaskan tekanan dengan membuang sampah?
Gembirakah kita melakukan perkara yang salah?
Tidakkah terfikir yang sampah itu kelak akan membusuk dan memburukkan pemandangan?
Kita melakukan persiapan balik kampung cukup rapi, daripada kuih-muih dan pakaian hinggalah ke kenderaan mahu kelihatan sempurna.
Tetapi kita lupa membuat perancangan dalam mengelakkan ahli keluarga membuang sampah merata-rata.
Saya tidak fikir pihak konsensi atau majlis daerah wajar menyediakan tong sampah. Sebab ia hanya memakan kos.
Justeru, daripada mengeluarkan kos lebih baiklah setiap daripada kita tanpa mengira jantina, usahakan untuk membawa plastik sampah sendiri.
Bila sampai ke kampung atau bila saja jumpa tong sampah, buanglah di situ sebab sampah yang tidak dikendali dengan sempurna akan menjadi sasaran anjing dan monyet, menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk lagi.
Lebuh raya disediakan untuk kemudahan bersama. Hormati diri kita dan orang sekitar terutama ketika kita semua bergembira untuk pulang berhari raya, barulah seronok.
Saya mewakili Seri, mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia










