Beraya boleh, buat konten jangan’

‘Beraya boleh, buat konten jangan’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TABIAT segelintir individu sama ada sedar, tidak sedar atau sengaja ‘mencemarkan’ Aidilfitri dengan berkongsi video-video yang kononnya trend di media sosial ini bukan saya saja menegurnya.

Malah ramai bijak pandai yang mengulas mengenai sumbangnya perkongsian itu.

Keterlaluan mahu ikut trendlah, kononnya, hingga ketepikan aspek salah atau sensitif mengikut hukum agama.

Banyak video menayangkan aksi berlebihan dan tidak manis dilakukan khususnya dalam kalangan warga emas seperti ibu bapa dan datuk nenek kita.

Saya katakan tidak manis sebab dalam satu video yang dikongsi, wanita separuh abad yang saya kenali itu, sangat menjaga auratnya bila terserempak di pusat beli belah atau berjumpa pada acara keraian.

Tetapi dek kerana anaknya suka mengikut trend di media sosial, gelagatnya yang sedang melatah sewaktu melayan tetamu dimuat naik ke akaun media sosial.

Memang tak manislah, lebih-lebih lagi yang memberikan komen, ramai yang meletakkan ikon tergelak besar.

Saya rasa agak ralat sebab wanita yang amat menjaga auratnya itu, didedahkan sebagai hiburan oleh anak-anaknya, memang membuka aib.

Barangkali dia pun tak tahu yang dirinya menjadi bahan dan tontonan ramai. Itu belum lagi aksi menari yang menggerak-gerakkan anggota badan.

Kalau saya duduk di tempat wanita berkenaan, memang saya tidak benarkan ia berlaku. Kepada wanita itu apakan daya, bak kata orang sekarang, terlajak perahu boleh berundur, terlajak video buruk padahnya.

Dunia di hujung jari ini menjadikan kita manusia yang tidak tahu menyimpan rahsia dan tidak tahu menghormati privasi orang lain.

Kalau bersama teman-teman, memang saya akan ingatkan mereka untuk tidak berkongsi video atau gambar. Bukan perasan tetapi sebab saya tidak berminat untuk memberitahu satu dunia mengenai aktiviti dan keberadaan saya.

Kalau semua nak dikongsi, apa nilai murni yang nak kita simpan pada diri sendiri?

Namun kalau sudah namanya orang media, kadangkala ada juga yang ‘terkongsi’.

Dalam situasi ‘terkongsi’ ini ada juga sisi baiknya apabila ia sebagai ingatan untuk sentiasa menjaga perilaku termasuk menjaga adab berpakaian dan tertib bila berada di sesebuah acara.

Bergambar dan ambil video hanya apabila perlu dan dalam ruang lingkup kerja sahaja.

Seorang kenalan baru-baru ini menjemput saya ke rumah baharunya yang mewah, sekali dengan membuat open house. Ramai instafamous hadir, namun tidak seorang pun berkongsi di media sosial masing-masing.

Saya bertanya kepada kenalan saya ini dan katanya, dari awal hadirin dipesan, ‘beraya boleh, buat konten jangan’.

Bagus juga memberi ingatan sebegini sebab ada dalam kalangan kita yang lebih suka melayan telefon, merakam gambar dan video berbanding berborak dengan tetamu yang hadir.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN