Saya anak sulung dari lima adik-beradik dan belum berkahwin. Semua adik-beradik sudah bekerja dan berkahwin. Setiap kali mereka balik kampung, saya perlu membelanjakan sebahagian gaji dan simpanan untuk membeli barang keperluan harian sepanjang mereka di kampung atas alasan saya tiada tanggungan.
Tidak pernah bertanya apatah lagi menghulurkan wang untuk meringankan bebanan saya. Nak menegur, risau adik-adik terasa hati dan tak mahu balik kampung lagi.
-Cik Melur,
Terengganu
JAWAPAN
Adik beradik ibarat air yang dicincang tidak putus. Semua orang pasti sayangkan adik-beradik, bukan? Terutamanya anak pertama, mereka sanggup mengambil tanggungjawab selepas ketiadaan orang tua.
Mengalah, memendam rasa dan sanggup berkorban demi kebahagian ahli keluarga.
Menjawab persoalan saudari, saya yakin saudari seorang kakak yang baik dan sanggup berkorban untuk adik-beradik. Namun, bukan semua yang tahu menghargai pengorbanan seorang kakak.
Sekali sekala terasa juga seperti diambil kesempatan. Perasaan itu normal kerana saudari juga manusia biasa. Siapa tak sedih bila adik-beradik seolah-olah tiada commen sense terhadap saudari.
Demi memberi ruang dan keselesaan untuk adik-beradik, saudari sanggup menahan rasa dengan melayani mereka sebaik mungkin. Setiap apa yang dilakukan selama ini bukan untuk meraih simpati, namun ia pasti cukup membahagiakan jika mereka tahu menghargai dan bersama-sama bertanggungjawab apabila pulang ke kampung.
Oleh itu, saya sediakan tip untuk saudari lakukan apabila berhadapan dengan adik-beradik:
-Sayang dan hormat pada diri : Kekal tenang dan belajar untuk mengawal emosi agar tidak mudah terasa hati dengan sikap adik-beradik.
-Ajak adik beradik berbincang : Nyatakan kekangan yang dihadapi dan minta pandangan daripada mereka untuk sama-sama berkongsi dari segi kewangan. Cadangan pembahagian bajet secara berkongsi sepanjang mereka berada di kampung.
-Jangan takut minta bantuan : Elak melakukan semua perkara secara bersendirian. Contoh, minta bantuan adik-beradik membeli barangan basah dan kering,
-Perbincangan susulan dengan adik beradik : Pastikan setiap adik-beradik bertanggungjawab dan bersama-sama meringankan bebanan apabila berkumpul bersama. Ia bukan bebanan tetapi kebahagiaan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
-Berdoa : Banyakkan berdoa agar dieratkan hubungan dan ditambahkan rasa kasih sayang antara adik-beradik.










