Taman haiwan di kota batu

Taman haiwan di kota batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA hening pagi bertukar riuh-rendah dengan gelagat kanak-kanak memberi makan daun kering dan sayur kangkung kepada kura-kura Aldabra yang dibiarkan bergerak di atas jalan.

Spesies kedua terbesar di dunia yang berasal dari Aldabra Atoll, Lautan Hindi ini, benar-benar mencuri tumpuan kerana membuatkan pengunjung terasa dekat dengan haiwan herbivor ini.

Stesen tersebut turut menempatkan pelbagai jenis kura-kura seperti Elongated, Red Footed, Sulcata, Eastern Long Neck dan Labi-Labi Muncung Babi.

Menariknya, kura-kura Elongated yang merupakan spesies terancam di dunia ini, berjaya dibiakkan sebanyak 30 ekor di ladang tersebut sejak 2016.

Bagi yang ingin memperkenalkan haiwan secara dekat kepada anak-anak, Farm In The City yang terletak di Seri Kembangan, Selangor adalah lokasi pilihan tepat.

Pengunjung bebas memberi makan, bergambar dan menyentuh tempurung lebih 10 kura-kura gergasi yang ada di situ.

LADANG DALAM BANDAR

Suasana menghijau dan bunyi suara alam pula cukup menenangkan jiwa walaupun ladang ini terletak di kawasan bandar dan bersebelahan kondominium.

Pelbagai jenis haiwan dibahagikan kepada 10 stesen seperti Pet Village, Longkang Fishing, Reptile Cavern, Deer Land, Parrot Interaction dan Bird Aviary.

Seronok melihat keletah kanak-kanak yang cukup teruja memberi makan dan menyentuh haiwan terutamanya di zon yang menempatkan kambing, lembu mini dan alpaca yang memiliki leher jinjang.

Setapak melangkah ke ruangan ini, ternyata haiwan-haiwan yang dibebaskan berkeliaran sangat jinak dan suka mendekati pengunjung yang membawa potongan lobak merah serta daun-daun kering.

Ada pengunjung yang geli-geleman, malah terpaksa berlari kerana terkejut dengan kejinakan kambing biri-biri India dan kambing susu di zon ini.

Melewati ladang dalam bandar berkeluasan 2.8 hektar yang dihiasi dengan rumah kampung, tasik buatan dan pokok-pokok nan menghijau, benar-benar membangkitkan suasana ketenangan.

Seolah-olah seperti balik kampung, pengunjung akan menuruni anak tangga melawat kebun buah dan sayur-sayuran segar yang ditanam menggunakan kaedah tradisional dan bersifat DIY seperti ditanam dalam botol mineral, bekas plastik dan pasu kecil.

Lebih menarik perhatian, stesen ini dilengkapi sebuah perigi kecil yang pasti mengimbau nostalgia apabila pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman mengambil air perigi yang jernih dan bersih.

LEMUR EKOR GELANG

Meredah masuk ke Jungle Walk antara momen yang sangat mengujakan, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat burung merak mengembangkan ekornya serta bebas berkawan dengan ayam.

Zon sama turut menempatkan Lemur Ekor Gelang atau nama saintifiknya Lemur Catta yang mempunyai ekor panjang berbelang. Ia dikategorikan sebagai haiwan terancam kerana populasinya makin berkurangan.

Haiwan ini persis monyet yang suka bergayut-gayut di dahan pokok dan sentiasa menantikan pengunjung memberikan buah pisang yang siap dipotong.

Kunjungan ke ladang ini turut menambahkan ilmu pengetahuan tentang kehidupan fauna dengan staf terlatih yang akan memberikan penerangan di setiap stesen, selain suara latar di stesen tertentu yang menyalurkan info.

Farm In The City dimiliki Eureka Farm Sdn. Bhd., meraikan ulangtahun ke-11 tahun ini.

Dengan lebih 100 spesies haiwan berasal dari pelbagai negara di Eropah dan Asia Tenggara seperti tupai Himalaya, lembu Australia, pelbagai jenis burung dan ikan, anda pasti berasa seronok didakap suara alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya