“SEBENARNYA sudah lama teringin bela ayam sebelum saya ambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) di sebuah syarikat swasta. Tapi masa itu, arwah ibu cakap ayam ini kotor, suka berak keliling rumah.
“Saya pula memang suka dengar bunyi ayam berkokok. Barulah rasa duduk di kampung. Sudah penat dengar bunyi hiruk-pikuk semasa zaman bekerja di Kuala Lumpur.”
Itu pengakuan jujur Khairunnisa Sulaiman,55, yang masanya kini banyak diisi dengan menternak ayam di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang.
Baginya, ayam adalah sahabat akrab. Beliau juga akan pastikan haiwan berkenaan mendapat penjagaan rapi lantaran banyak hasil yang dapat diraih daripada ternakan itu.
Berbanding kerjaya dahulu sebagai penulis, beliau kini lebih menikmati masanya, lantaran menternak ayam tidak menuntut masa terlalu lama.
“Selepas bagi ayam makan pada setiap pagi dan petang, saya boleh buat aktiviti lain pula. Selalunya, saya akan kutip telur ayam di sebelah petang.
“Kalau dapat hasil telur yang banyak, saya iklankan dalam WhatsApp. Hasil jualan itu mencukupi untuk saya membeli dedak ayam,” ujarnya.
REBAN BUAT SENDIRI
Mengulas mengenai aspek penjagaan, Khairunnisa berkata, reban perlu berada dalam keadaan kering kerana kelembapan boleh mengundang pelbagai penyakit. Pada waktu malam pula, lampu perlu dipasang bagi mengelakkan nyamuk.
Beliau turut memasang pagar di keliling reban bagi memastikan ayam belaannya itu berada dalam keadaan selamat.
“Kelebihan pagar ayam ini adalah menggunakan pukat pertanian. Jadi, ia tak merayau sebab nak elak diserang haiwan pemangsa lain seperti biawak, ular dan burung helang.
“Kos makanan pula, sebulan saya akan membelanjakan dalam RM100 ke RM200 untk beli dedak seguni dalam 50 kilogram (kg) dengan enam kg jagung kasar. Kadang-kadang bagi ketum ayam, daun-daun pokok dan rumput yang dikumpul selepas dimesin,” katanya.
PUNCA MINAT
Minat membela ayam terdetik sejak bulan Julai, tahun lalu.
Ketika itu, katanya, beliau sedang mencari kedai menjual dedak ikan.
Tidak semena-mena, beliau terjumpa kedai menjual ayam kacuk dan mula menyatakan minat terhadap pemilik kedai.
“Masa itulah saya mula bersembang dengan tauke kedai tentang ayam.
“Ayam kacuk biasa dijual di restoran ayam kampung. Ayam ini cepat membesar, dalam tempoh dua bulan boleh mencecah 1.5 kg.
“Akhirnya saya beli 50 ekor ayam kacuk, 15 Lohmann Brown yang merupakan baka ayam penelur (hasilkan telur coklat), tiga Leghorn White (telur putih) dan tiga ayam kampung arab.
“Ikutkan sekarang hanya tinggal 28 ekor selepas dua daripadanya sudah disembelih semasa Hari Raya bagi menjamu kawan-kawan datang ke rumah,” katanya.
Berkongsi pengalaman ketika membeli anak ayam, katanya, ia perlu diletakkan dalam brooder dengan lampu panas bagi mengelakkan kesejukan dan risiko mati.
“Ayam lain saya tetas sendiri menggunakan inkubator. Kalau mahu pengeluaran telur maksimum, dapatkanlah baka ayam daripada pembekal dipercayai,” katanya.
Dalam 30 ayam yang dibela, sudah pasti ada yang memiliki perwatakan lain daripada lain.
Kongsi Khairunnisa, ‘Jalak’ ialah satu-satunya ayam jantan dari baka kampung Arab yang paling brutal.
“Jalak pernah tendang ayam lain, nyawa-nyawa ikan dibuatnya,” katanya tertawa berkongsi cerita.










