Bekas pesakit kanser tabah diuji suami curang - Utusan Malaysia

Bekas pesakit kanser tabah diuji suami curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada rumahtangga yang tidak diuji. Pasti ada pasang surut dan asam garamnya. Ini termasuklah ujian apabila salah seorang pasangan masing-masing, sama ada suami atau isteri jatuh sakit.

Alangkah bertuah, apabila suami sakit, ada isteri yang setia menjaga.

Begitu juga sebaliknya, suami masih setia, susah senang bersama tidak kira isteri berada dalam keadaan apa sekalipun.

Berbeza dengan apa dilalui Murni (bukan nama sebenar) setelah pulih dari kesakitan panjang akibat kanser, dia diuji pula dengan suami curang.

Namun semua itu tidak menghalangnya untuk terus bangkit meneruskan kehidupan.

Murni yang saya temui dalam majlis perjumpaan bekas pesakit kanser sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di Selangor baru-baru ini berkata, kehidupannya berubah sebaik dikesan menghidap penyakit itu lebih sedekad lalu.

Penyakit yang ditanggung itu bukan sahaja memberi kesan kepada kerjaya, bahkan rumahtangga.

“Paling tidak saya sangka, suami yang dahulunya berjanji sehidup semati, susah senang bersama meninggalkan saya sendirian pada akhirnya,” ujarnya.

Bercerita lanjut, kata Murni penyakitnya itu mula dikesan selepas dia menjalani ujian saringan awal yang mendapati ketulan pada payudara kirinya 10 tahun lalu.

Paling mengganggu perasaan, dia mendapat berita itu hanya selepas dua minggu anak lelaki tunggal berusia lima tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Rasa sedih sukar digambarkan dengan kata-kata, malah Murni hampir putus asa untuk hidup ketika itu.

Tambahnya, bukan mudah untuk mana-mana wanita menerima hakikat apabila disahkan menghidap kanser payudara.

“Alhamdulilah, dengan sokongan moral diiringi kata-kata semangat dari bekas suami ketika itu membantu saya bangkit melawan penyakit,” ceritanya lagi.

Menurut Murni, dia memang tidak menyangka menghidap kanser yang paling ditakuti wanita itu.

Diikutkan dia tiada sejarah atau latar belakang keluarga yang mempunyai kanser.

Tambahan pula dia seorang yang aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ujar Murni, kesedihannya ketika itu hanya Allah yang tahu.

Namun bekas suami, Amirul (bukan nama sebenar) sentiasa ada disisi dan masih terkenang saat lelaki dicintainya itu menangis sebaik dia sedar daripada koma selama dua hari ketika menerima rawatan hospital.

Bercerita lanjut bagaimana kanser itu dikesan, Murni berkata pada awalnya, rasa biji pada atas payudara kirinya disangka ketulan biasa.
Atas nasihat pakar sakit puan, dia menjalani ujian biopsi, iaitu prosedur perubatan ringkas di mana sampel tisu payudara diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian.

Kata Murni, bohong jika perasaannya tidak sedih selepas mengetahui tentang penyakit yang dihidapi.

Namun katanya, sejak awal dikesan menghidap kanser dia sudah menanamkan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku .
Ini termasuk kematian dan kehilangan orang tersayang.

“Selain perlu kuat dan berjuang demi menjaga kesihatan diri dan masa depan andai apa-apa berlaku antara kami.

“Ini kerana saya pun tidak tahu sejauh mana tahap setia dan sabar seorang lelaki bergelar suami untuk terus bersama saya,” luah anak kelahiran Muar, Johor itu.

Mencungkil rahsia, kata Murni orang ketiga punca utama keruntuhan rumah tangga mereka.

Kata Murni, rahsia suami ada hubungan dengan wanita lain terbongkar selepas dia terserempak dengan pasangan itu di sebuah pusat beli belah.
Walaupun sedih dan terkejut dengan pengakuan bekas suami, Murni berusaha menghadapinya dengan tenang.

Berdasarkan pengakuannya, mereka sudah berkawan selama empat tahun dan merancang untuk berkahwin.

Enggan terus membiarkan mereka hidup tanpa ikatan, Murni mengizinkan bekas suami berkahwin lagi.

Namun lain pula penerimaan di pihak lagi satu apabila enggan hidup bermadu.

Wanita itu mendesak agar bekas suami memilih salah seorang antara mereka.

Awalnya bekas suami berat membuat keputusan.

Ibarat di sana sayang, di sini kasih.

Setelah dipertimbangkan daripada pelbagai perkara, dia memutuskan untuk berkahwin dengan kekasihnya dan melepaskan Murni dengan talak satu.

“Saya reda dan melihat apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah Taala serta ada hikmah di sebaliknya,” ujarnya.

Kata Murni lagi, dia lebih melihat kebaikan berbanding keburukan bekas suami.

Selama dia sakit sehinggalah sembuh, bekas suami telah banyak berkorban.

Ini termasuk mengetepikan haknya untuk mendapatkan layanan yang sempurna daripada seorang isteri.

Apa yang penting kata Murni, sekurang-kurangnya bekas suami tidak menyakiti hatinya yang sedang bertarung dengan sakit kanser ketika itu.

Berkongsi pengalaman kata wanita tabah ini, dia lebih memilih untuk bersikap positif dan terus mendampingi kumpulan sokongan yang sentiasa memberikan semangat semasa dan selepas mengharungi penyakit tersebut.

Wanita yang sehingga hari ini masih sendirian itu berkata, sokongan daripada keluarga dan orang terdekat amat penting kepada pejuang kanser payudara sepertinya.

“Suami adalah individu paling hampir dan perlu memberi sokongan kepada isteri. Bukan menghina atau meninggalkan isteri kerana sudah tiada payudara,” ujarnya lagi.

Bertepatan dengan bulan Oktober sebagai bulan Kesedaran Kanser Payudara, Murni kini aktif terlibat dengan pelbagai aktiviti dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara kalangan masyarakat terutama wanita.

Hakikatnya, dalam perkahwinan bukan semuanya manis dan indah, tetapi penuh denan ranjau dan duri.

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT bermaksud:
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.(Surah Al-Mulk:2)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya