Perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main apatah lagi apabila melibatkan nafkah yang suami perlu sediakan untuk isteri dan anak.
Pun begitu masih ada suami mengambil mudah soal tanggungjawab dan amanah dipikul.
Minggu ini saya kongsikan kisah Azzah, (bukan nama sebenar) yang berbapakan lelaki tidak bertanggungjawab dan culas memberi nafkah kepada keluarga.
Dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini, Azzah menulis dia tidak berniat membuka aib sesiapa apabila berkongsi cerita tentang bapanya sendiri.
Menceritakan latar belakang keluarga, tulis Azzah dia merupakan anak sulung daripada lima beradik dalam sebuah keluarga sederhana.
Ibunya, Mariam, (bukan nama sebenar) dahulunya seorang kerani, manakala bapanya, pelayan pejabat.
Bapa Azzah yang hanya dikenali sebagai Zakaria, (bukan nama sebenar) merupakan seorang lelaki bertanggungjawab dana tiada naluri belas kasihan.
“Bapa langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Ini terutamanya dalam soal menafkahi isteri dan anak-anak.
“Bapa juga mempunyai sikap panas baran yang sukar dikawal sehingga menyebabkan dia sering bertukar pekerjaan,” cerita Azzah.
Menurut Azzah, ibu dijodohkan dengan bapa melalui rakan sepejabatnya yang juga merupakan ibu saudara bapa.
Sepanjang dia dan adik-adik membesar, Azzah lihat bagaimana ibu bertungkus lumus bekerja siang malam untuk menyara keluarga.
Bagaimanapun, bapa yang merupakan ketua keluarga dan diamanah memberi nafkah kepada isteri serta anak-anak mengabaikan tanggungjawab tersebut.
Sejak mula mengahwini ibu, setahun berikutnya dia dilahirkan, sikap bapa tidak pernah berubah.
Bapa juga suka berhutang dan tidak pernah mahu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.
“Kami sekeluarga pernah hampir dibunuh selepas bapa melarikan diri kerana diburu along.
“Bapa hanya muncul semula selepas ibu berjaya melunaskan hutang tersebut dengan membuat pinjaman dengan majikannya,” tulisnya.
Jika sebelum ini, ibu bertanggungjawab sepenuhnya menanggung keluarga, kini tugas tersebut beralih kepada Azzah dan dua adiknya, Iza dan Akmal (bukan nama sebenar).
Ketiga-tiga mereka sudah tamat pengajian dan masing-masing bekerja.
Tulis Azzah dalam emelnya, ketika masih kecil, dia tidak memahami kehidupan berumahtangga.
“Namun selepas meningkat remaja, saya sedikit sebanyak memahami apa yang berlaku dalam rumah tangga ibu dan bapa.
“Sebagai anak sulung, saya rapat dengan ibu. Sedikit sebanyak ibu ada meluahkan perasaanya,” tulis Azzah.
Hari bertukar minggu, minggu berganti bulan, bulan memasuki tahun.
Selepas tamat pengajian di peringkat ijazah kira-kira lima tahun lalu, fokus utama Azzah adalah bekerja dan membantu keluarga.
“Alhamdulilah, berkat usaha dan doa ibu terutamanya, saya mendapat pekerjaan sesuai kelulusan di Cyberjaya. Dua tahun berikutnya, adik kedua saya turut tamat pengajian dan mendapat pekerjaan. Tahun lepas, adik ketiga menyusul.
“Azam kami mahu melihat ibu berehat dan melalui kehidupan yang tenang-tenang sahaja,” tulis Azzah.
Mereka tiga beradik turut mengambil alih tugas membiayai yuran pengajian dua adik yang masih menuntut di universiti.
Kata Azzah, sikap bapa yang kurang menunjukkan kasih-sayang, perhatian, sokongan dan pembelaan mahupun tanggungjawab terhadap anak-anak menyebabkan hubungan mereka renggang.
“Seingat saya, walaupun hanya makan tidur, makan tidur di rumah ketika itu, bapa tidak pernah menguruskan kami adik beradik. Segala-galanya terletak di bahu ibu,” tulis Azzah lagi.
Menurut ibu, bapa tidak pernah dididik dan dibiasakan untuk menjalankan tugas-tugas menguruskan hal berkaitan rumah tangga seperti membasuh pinggan, menyidai pakaian sewaktu membesar oleh ibunya.
Hal ini berkemungkinan segala tugas tersebut dilakukan oleh nenek. Mungkin juga apabila bapa mendirikan rumah tangga segalanya diletakkan sepenuhnya di atas bahu isteri.
Dalam emelnya lagi tulis Azzah, walaupun dia tahu ibu menahan sabar dengan sikap bapa sehingga ke hari ini, namun pada masa sama tetap menasihati anak-anak agar tidak membenci lelaki itu.
“Saya tahu ibu makan hati sudah bertahun-tahun lamanya dengan sikap bapa.
“Namun seingat saya ibu tidak pernah bergaduh besar dengan bapa, apalagi mendengar perkataan cerai keluar daripada mulutnya,’’ tulisnya lagi.
Kata Azzah pada Jun 2018, bapa dimasukkan ke hospital selepas dikesan mengalami komplikasi kencing manis.
Ibu dan Azzah serta adik-adik bergilir-gilir menjaga bapa.
Fikir Azzah, selepas kesihatannya merosot, bapa berubah, namun sebaliknya.
Selepas sedikit sihat, sikap panas baran bapa makin menjadi-jadi.
Kata Azzah, sejujurnya dia cukup mengagumi ibunya. Ini kerana dalam kesulitannya berdepan dengan suami yang sedemikian rupa, ibu berjaya mendidik mereka menjadi manusia.
Tulis Azzah lagi, walaupun banyak ujian dilalui ibu sepanjang hidup bersama bapa, ibu tidak pernah mengajar anak-anak membenci lelaki itu.
“Sehingga ke hari ini bapa tetap seperti orang asing kepada kami.
“Usahkan bersembang seperti orang lain, duduk bergurau senda jauh sekali. Bagaimanapun, kami tetap menghormatinya sebagai seorang bapa dan suami kepada ibu,” tulisnya.
Sesungguhnya, bapa adalah ketua dan nakhoda kapal yang memimpin keluarga dalam menentukan arah kapalnya berlayar sehingga ke destinasi rumah tangga yang diingini.
Kedudukan seorang bapa amat dimuliakan dalam Islam sebagaiman kedudukan seorang ibu sehingga diingatkan Allah dalam al-quran pada Surah al-Isra’ayat 23 bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.









