Adik takut kahwin, trauma perceraian kakak - Utusan Malaysia

Adik takut kahwin, trauma perceraian kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kegem­biraan seseorang dalam menuju bahtera perkahwinan, ada segelintir daripadanya takut berkahwin.

Ini berlaku kerana tanggapan negatif terhadap institusi perkahwinan.

Keadaan ini boleh berlaku sekiranya seseorang itu pernah mengalami trauma seperti perceraian ibu bapa atau melihat orang terdekat yang gagal mem­pertahankan rumah tangga mereka.

“Mengapa jodoh saya lambat?’’ tanya Jenny (bukan nama sebenar) dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini.

Saya terdiam. Wanita yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 32 pada pertengahan September depan itu seolah-olah cuba menagih jawaban.

“Saya tidak tahu. Tetapi yang pasti, itu juga satu kebaikan. Jodoh itu takdir ditentukan Allah di alam rahim lagi,” jelas saya.
Jenny mengangguk perlahan sambil tersenyum lebar.

“Saya percaya ajal, maut, jodoh pertemuan itu di tangan Allah. Bukan tidak ada lelaki yang mendekati dan melamar untuk ke peringkat lebih serius, namun buat masa sekarang saya belum sedia,” katanya berterus terang.

Menyambung cerita, kata Jenny, ini disebabkan dia masih trauma dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga kakaknya.

Perkahwinan selama hampir lima tahun atas dasar cinta itu gagal dipertahankan akibat tiada persefahaman.

“Sebelum kahwin bekas abang ipar janji macam-macam dengan kakak dan ibu. Lepas kahwin lain pula jadinya.

“Bekas suami kakak terlalu kuat mengongkong termasuk tidak dibenarkan berjumpa ibu sendiri,” ujarnya.

Menurut Lenny dia tidak berniat membuka aib darah daging sendiri, sebaliknya lebih kepada memberi pengajaran kepada wanita dan isteri di luar sana.

Menurut Lenny, ketika mula-mula berkahwin, bekas abang ipar, Razali (bukan nama sebenar) baik-baik sahaja.

Dua bulan selepas itu, dia mula tunjuk belang.

Semua pergerakan kakak dikongkong.

Segala wang gaji kakak diuruskan oleh suaminya.

“Bukan itu sahaja, kakak juga terpaksa menanggung hutang yang dibuat bekas suami semasa bujang.

“Paling menyedihkan, setiap kali kakak ingin memberi ibu wang, kakak terpaksa menyerahkannya secara sorok-sorok,” ujar Jenny lagi.

Disebabkan abang ipar terlalu kuat mengongkong, ia memberi tekanan kepada kakak.

Abang ipar seolah-olah tidak percaya kepada isteri sendiri.

Disebabkan itu, kakak sudah mula menipu bagi mengelakkan pergaduhan dengan suami.

Ianya tidak kira dalam apa jua situasi terutama ketika menziarahi ibu.

Lama kelamaan, kakak mula jemu dengan bekas suami.

“Menurut cerita kakak dia mula rasa tidak selesa. Ini kerana buat itu tak boleh, buat ini tak boleh,” tambahnya lagi.

Namun kakaknya hanya mampu memendam rasa.

Bertahan demi dua anak mereka yang masih kecil berusia dua dan empat tahun.

Katanya, dia tahu kakak sedih dan tertekan walaupun luaran kakak nampak baik-baik sahaja.

Mana tidaknya, suami menggunakan hukum dan prinsip Islam sebagai ketua keluarga, tetapi dengan tafsiran sendiri yang tidak bertepatan dengan nilai agama, sekali gus berlawanan dengan ajaran syarak.

Kata Jenny, abang iparnya beranggapan ibu bapa isteri tidak lagi menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan.

“Situasi itu membuatkan kakak tersepit dan akhirnya mengalami tekanan emosi dek tersepit antara arahan suami dan kebajikan ibu yang sudah tua,” sambung Jenny lagi.

Kata Jenny, dia dan kakak sangat rapat sejak kecil hingga masing-masing meningkat dewasa.

Mereka hanya dua beradik. Usia mereka juga tidak jauh berbeza. Hanya dua tahun sahaja. Kakak kini berusia 34 tahun, manakala dirinya 32 tahun.

Hubungan mereka menjadi lebih akrab selepas kematian bapa lebih kurang sedekad lalu.

Selepas itu ibulah yang bersusah membesarkan mereka dua beradik sehingga masing-masing berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Ibu terlalu banyak berkorban untuk kakak. Sebab itu kakak berusaha untuk balik menziarahi ibu secara senyap-senyap walaupun tidak dibenarkan oleh suaminya,” ujar Jenny lagi.

Menyambung cerita, sebaik tamat tingkatan lima, kakaknya menyambung pengajian di salah sebuah universiti awam di utara tanahair.

Sebaik tamat pengajian sehingga ke peringkat ijazah. Selang beberapa bulan dia ditawarkan pekerjaan di salah sebuah syarikat perbankan di Kuala Lumpur.

Setahun bekerja, kakak bertemu dengan Razali, (bukan nama sebenar), seorang guru di salah sebuah sekolah agama.

Selepas mengenali hati budi masing-masing, mereka mendirikan rumah tangga dengan persetujuan keluarga.

Kata Jenny, dia sempat menumpang di rumah kakaknya sementara menunggu panggilan kerja selepas tamat pengajian.

“Semasa menumpang tinggal di rumah kakak selama hampir dua bulan, abang ipar tidak menunjukkan sikap yang pelik-pelik terhadap kakak.

“Kakak nampak gembira dengan layanan suami terhadapnya. Sebab itu saya agak terkejut apabila akak meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini,” menurut Jenny lagi.

Sejujurnya kata Jenny dia sedih dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga kakaknya.

“Sebelum ini kakak seorang yang sangat ceria, suka bergurau. Berbeza selepas berumahtangga, kakak lebih banyak mendiamkan diri,” ujarnya.
Akhirnya kakak sah bercerai pada pertengahan Jun tahun lalu.

Kata Jenny, dia bersyukur kakaknya kini lebih gembira dengan kehidupan sekarang.

Sesungguhnya tujuan utama perkahwinan dalam Islam adalah menjalankan perintah Allah. Ini sesuai dengan ayat al-Quran bermaksud:

Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahi.(An-Nur ayat 32).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya