Abang ketepikan keluarga selepas berkahwin - Utusan Malaysia

Abang ketepikan keluarga selepas berkahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dilahirkan dari rahim yang sama, bukan bermakna perhubungan tersusun cantik, erat dan seia sekata.

Ibarat setandan pisang, tak semuanya busuk dan bukan semuanya masak elok.

Ada yang mudah mengalah, kuat merajuk, cepat sentap, sentiasa berasa diri betul dan macam-macam lagi perangai.

Tetapi dalam kebanyakan kes, berebut harta menjadi punca putusnya ikatan persaudaraan.

Demi sebuah ego, ramai memilih untuk terus bermusuh dengan darah daging sendiri. Ada yang terus bermasam muka, bergaduh, bertikam lidah hingga sampai ke anak cucu.

Lebih menyedihkan, ketika meninggal dunia, langsung tak nampak batang hidung.

Kisah minggu ini juga tentang ikatan persaudaraan terlerai disebabkan harta.

Seorang abang yang cukup penyayang, bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap keluarga akhirnya kecundang dek kerana harta.

Sikapnya berubah selepas berkahwin dengan seorang wanita daripada latar belakang keluarga kaya dan berada.

Menurut Noreen (bukan nama sebenar), dia benar-benar terkilan dan tidak menyangka sikap abang sulungnya itu berubah 360 darjah selepas mendirikan rumahtangga.

Suhaimi (bukan nama sebenar) berubah jadi bongkak, sombong dan ego sehingga sanggup memutuskan hubungan silaturahim antara adik beradik.

“Ibu meninggal dunia selepas setahun abang berumahtangga. Selepas ibu tiada, abang membuang kami adik beradik,” luahnya dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini.

Menyambung cerita, wanita bujang berusia 35 tahun ini bercerita, sebaik tamat pengajian di peringkat ijazah abangnya bekerja di sebuah syarikat perbankan.

Semasa ibu masih ada, abang sudah menunjukkan sikap buruknya.

Abang jarang pulang ke rumah menziarahi ibu dan mereka adik beradik.

Wang belanja harian dan perbelanjaan adik-adik yang masih bersekolah juga sering terputus.

Pelbagai alasan diberi abang termasuk sibuk menguruskan perniagaan keluarga mentua yang baru sahaja diambil alih.

Ketika itu Noreen yang baru beberapa bulan bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta mengambil alih urusan perbelanjaan keluarga dan persekolahan adik-adik.

“Setiap kali saya cuba hubungi abang, seolah-olah saya jadi pengemis, abang sering mengelak.

“Saya faham abang sudah memiliki kehidupan sendiri dan lebih memberi tumpuan kepada keluarga sendiri berbanding adik beradik.

“Tetapi sikapnya itu tidak adil bagi ibu yang melahir dan membesarkan abang,” luahnya.

Kata Noreen, abangnya mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati, Maria (bukan nama sebenar).

Hubungan abang dan isterinya ibarat cinta dua darjat. Jika mahu dibandingkan latar belakang keluarga mereka, bagai langit dengan bumi.

Kakak iparnya berasal daripada keluarga usahawan di utara tanahair, manakala mereka hanya keluarga sederhana tinggal di perumahan bertingkat di tengah ibu kota.

Arwah bapa hanya buruh am di sebuah syarikat pembersihan. Ibu mereka pula suri rumah sepenuh masa. Mereka lima beradik. Dia anak kedua, selepas abang.

Sepengetahuan Noreen, awalnya, hubungan abang dan isteri tidak direstui kedua ibu bapa mentua.

Namun siapalah mereka untuk menidakkan jodoh.

Mereka diijabkabul dalam majlis yang diatur penuh gemilang.

Seminggu selepas majlis, abang membawa isteri pulang ke rumah mereka. Namun kata Noreen itulah kali pertama dan terakhir dia melihat pasangan itu menjejakkan kaki ke rumah mereka.

“Saya kesiankan ibu yang siang malam bertanyakan abang ketika itu. Namun abang langsung tidak menunjukkan rasa simpati dan kasihan belas kepada ibu.

“Paling tidak boleh diterima sepanjang ibu terlantar sakit, abang langsung tidak balik.

“Bahkan semasa ibu sudah disahkan meninggal dunia, abang masih sibuk dengan kerjanya dan hanya sampai di tanah perkuburan semasa jenazah ibu sedang dikebumikan,” luah Noreen sambil menahan sebak.

Kata Noreen, lima tahun lepas mereka sekeluarga terpaksa menahan malu apabila abang yang sepatutnya menjadi wali kepada adik perempuan mereka, Nina (bukan nama sebenar) tidak hadir semasa majlis akad nikah berlangsung.

Bagaimanapun proses nikah itu tetap diteruskan selepas digantikan dengan adik lelakinya, Azman (bukan nama sebenar).

Sejujurnya kata Noreen sehingga hari ini selepas 15 tahun dia tidak tahu apa yang menyebabkan abangnya sanggup membuang darah daging sendiri.

“Sebelum ini saya dengar khabar angin menyatakan, abang berubah kerana perjanjiannya dengan keluarga mentua. Jika mereka membenarkan abang berkahwin dengan anak mereka, abang perlu menjauhkan diri daripada keluarga sendiri.

“Jika benar, saya memang tak sangka bagaimana abang yang selama ini cukup terdidik dengan perkara salah dan benar, sanggup berbuat demikian,” ujarnya.

Noreen bagiamanapun tetap bersyukur kerana ketiga-tiga adiknya, Nina, Azman dan Atirah (bukan nama sebenar) masing-masing mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.

“Sebelum ibu meninggal dunia, dia sempat berpesan supaya kami tetap menjaga hubungan sesama adik beradik, tidak berpecah belah dan saling menyayangi,” katanya.

Saya cuba menebak perasaan Noreen sekiranya abang sulung mereka kembali kepada keluarga suatu hari nanti.

Dia terdiam sambil menghela nafas perlahan.

“Siapalah saya untuk menghukum abang. Andai abang terbuka hati untuk kembali, sebagai adik kami tetap akan menerimanya,” ujarnya penuh bermakna.

Tanggungjawab anak lelaki, bukan hanya pada dirinya sahaja, tetapi juga bertanggungjawab terhadap empat wanita iaitu, ibu, isteri, anak perempuan dan saudara perempuan.

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
Sesiapa yang ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umur, hendaknya dia menyambung silaturahim. (Riwayat al-Bukhari 5986 dan Muslim 2557).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya