SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan yang masih bersekolah di tingkatan dua menjadi mangsa rogol teman lelakinya bersama tiga individu lain dalam kejadian di Sungai Layar, akhir bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi, 30 April lalu ketika remaja itu mengikuti teman lelakinya berusia 20 tahun menaiki motosikal.
Menurutnya, mangsa diambil suspek di rumahnya di Pendang untuk ke Sungai Petani sebelum dibawa ke sebuah rumah di Sungai Layar.
“Ketika sampai di rumah itu mangsa mendapati terdapat tiga lelaki lain berada dalam kediaman itu sebelum dia dirogol secara bergilir-gilir di dalam sebuah bilik. Dia kemudian dihantar balik ke rumahnya keesokan harinya,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Wan Azharuddin, kejadian hanya terbongkar selepas mangsa didesak oleh ahli keluarganya sebelum laporan polis dibuat di Balai Sungai Petani, hari ini.
“Berdasarkan laporan, polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berusia 19 hingga 20 tahun di sekitar Sungai Petani. Suspek berusia 20 tahun memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala dua lelaki berumur 19 tahun tiada sebarang rekod,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas sementara ketiga-tiga suspek itu dalam proses reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan.
“Mangsa kini ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. -UTUSAN










