Menyiasat aduan kes pembalak merogol gadis Penan di Sarawak dan meninjau Felda Sahabat di Lahad Datu selepas diserang pengganas Filipina, antara pengalaman tidak dapat dilupakan Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.
Ketika itu, beliau yang bertugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), diminta mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengetuai delegasi menyiasat kes rogol berkenaan.
“Saya pergi ke Penan, Sarawak dan tinggal di sana selama seminggu bersama NGO, doktor dan ketua-ketua agensi (Pendaftaran dan Pendidikan) untuk buat siasatan. Kami dapat melihat kehidupan orang Penan dan info dari masyarakat setempat mengenai kes yang disiasat.
“Pengalaman lain tidak dapat saya lupakan, apabila meninjau Felda Sahabat 9 di Lahad Datu yang terbabit dengan serangan pengganas Filipina sehingga mengorbankan perwira kita, “ katanya kepada Seri.
Tambah beliau, ketika itu perasaan takut diserang hendap memang menghantuinya tetapi sebagai pegawai kerajaan beliau perlu kuat.
“Pergerakan kami dikawal ketat oleh pasukan khas yang lengkap bersenjata. Masa ke laut di Semporna, kami dibawa ke sebuah restoran di atas laut. Saya dapati ramai pasukan khas yang berkawal di situ.
“Tapi saya hairan mengapa muncung senjata dihalakan ke bawah. Ada polis beritahu, pengganas boleh menyerang dari bawah. Saya pun apalagi, melompat sebab terkejut,” katanya.
Noorul Ainur berkhidmat selama 38 tahun dalam sektor awam dan pernah memegang jawatan KSU di tiga kementerian termasuk KPWKM sejak 2010 hingga 2014, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), 2014 hingga 2016 dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2016 sehingga 2018.
Katanya setiap kementerian memberikan cabaran berbeza tetapi KPWKM paling meninggalkan kesan kerana skop tugasan cukup luas, membabitkan pelbagi lapisan masyarakat.
“Sebagai KSU, saya tidak duduk saja di pejabat. Sebaliknya sering turun padang melawat kawasan. Saya pernah meredah banjir dengan menaiki bot, naik jip sampai bergegar jip dan naik lori polis.
“Bila kenang balik, itulah yang membentuk saya sekarang. Saya dapat pengalaman dan belajar dari pengalaman itu. Rasa lebih yakin, dapat mengenali kakitangan sekeliling saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Semua jadi dengan sokongan suami
Kalau ada sokongan suami, semua jadi, kata Noorul Ainur.
Beliau bertuah kerana suaminya, Datuk Noharuddin Nordin sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepadanya untuk berjaya dalam kerjaya.
“Dalam konteks kejayaan wanita dalam kerjaya, paling utama adalah sokongan suami. Kalau ada sokongan, semua akan jadi.
“Kedua, norma budaya kita yang wanita tidak seharusnya lebih berjaya daripada suami perlu dihapuskan. Budaya ini menghalang wanita ke depan sebab takut dengan orang sekeliling. Begitupun saya kira semua terpulang kepada wanita. Mereka kena berani,” katanya.
Berdasarkan pandangan itu, beliau mencipta akronim V.O.I.C.E sebagai formula untuk wanita maju.
V mewakili suara untuk membuat keputusan. O (Ownership) pula pemilikan ke atas kejayaan sendiri, C (Champion) pula mewakili sikap mampu menangani pelbagai isu atau agenda semasa dengan berkolaborasi pelbagai pihak dan E pula terus berusaha memperkasa (Empower) wanita lain.
Formula itu diperkenalkan sampai ke luar negara bagi menerangkan kepentingan wanita bersuara.
“Bila wanita ada suara dia akan berdikari, boleh membuat keputusan sama ada dalam keluarga, rumah, komuniti dan organisasi, Jadi amat penting bagi wanita untuk berani bersuara.
“Kita juga perlu didik orang lelaki. Kita jangan sisihkan mereka sebaliknya jadikan mereka champion, bersama kita. Kita kena rasionalkan, mengapa wanita perlu dalam membuat keputusan,” katanya.
Tetap aktif lepas bersara
Biarpun sudah bersara sejak 2018, Noorul Ainur tetap aktif dengan memegang pelbagai jawatan dalam sektor swasta dan organisasi bertaraf antarabangsa.
Antaranya sebagai Pengerusi University College Yayasan Pahang, Malaysia, ProfessorJeffrey Sachs Center of Sustainable Development, Sunway University.
Di peringkat antarabangsa, beliau menjawat jawatan Majlis Penasihat, Asian Development Bank Institute.
“Lepas pencen orang muda jangan bagi ibu bapa jaga cucu. Saya ada dua cucu lelaki tetapi mereka tinggal di California, Amerika. Setiap kali ada kelapangan waktu, saya pergi melawat.
“Tapi itu tidak menghalang saya daripada bergerak ke bab baharu dalam hidup saya. Di sana, saya masih buat sesi zooming, rangkaian kerja dengan orang di negara lain seperti di Afrika, Sweden, Amerik Syarikat dan Denmark,” katanya sambil menyapu pipi dengan pemerah pipi.
Noorul Ainur mengakui lebih gemar menyolek wajahnya sendiri berbanding mengupah mekap artis. Malah beliau mengakui belajar bermekap menerusi Tiktok.
Beliau yang sememangnya mudah mesra, sempat menunjukkan tips menyapu pemerah pipi dipelajari dari media sosial itu.
“Walaupun sudah pencen, wanita kena jaga diri. Bagi saya penampilan sangat penting. Kalau nak nampak awet muda, rahsianya benda kecil-kecil jangan jadikan isu. Bagi saya tiada yang dapat diselesaikan kecuali kematian,” katanya.
Tambah beliau, ketawa sangat penting bagi menerbitkan aura positif dalam diri seseorang.
Walaupun sebenarnya ada aura positif dan negatif dalam badan, beliau menasihatkan supaya membuang semua elemen negatif dalam diri kita.
Mental perlu kuat, terutamanya bagi pesara. Masukkan pemikiran positif dalam diri kita dan isi masa dengan aktiviti menggembirakan.
“Jika suka bunga, kita tanam bunga. Sekurang-kurangnya kita ada aktiviti yang hendak dilakukan. Jadi, tidaklah bermakna kita hanya menunggu mati,” katanya yang gemar mengisi masa terluang dengan membuat aksesori menggunakan batu beraneka warna dari negara seperti Myanmar dan Vietnam.
Mengambil gambar bila keluar negara juga antara kesukaan Noorul Ainur.
“Saya boleh tunjuk gambar-gambar itu kepada pelajar saya bila mengajar,” katanya.
Ibu pempengaruh anak
Dibesarkan oleh ibu bapa yang berkerjaya sebagai guru, Noorul Ainur berkata, kedua ibu bapanya sangat mementingkan pendidikan.
Bapanya, Allahyarham Mohd. Nur Osman guru besar yang pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong.
Sebelum bersara, Allahyarham memegang jawatan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Bentong.
Manakala ibunya, Allahyarhamah Siti Aisyah Sulaiman, mantan Penolong Pengetua Sekolah Rendah Tuanku Fatimah, Bentong.
“Mak masuk Maktab Perguruan Durian Daun Melaka masa umur 15 tahun saja. Dia wanita pertama yang ada lesen memandu di Bentong dan seorang yang sangat berdikari.
“Ibu aktif dalam Persatuan Institut Wanita (WI) yang menjalankan aktiviti menjahit dan memasak.
“Pada saya, ibu memainkan peranan menjadikan saya dan dua lagi adik-beradik perempuan lebih vokal.
“Ibu pempengaruh dalam hidup saya sebagai wanita berani,” katanya.










