Siapa sangka yang pada awalnya hanya sekadar membeli bekas Tupperware untuk mengisi susu tepung anak, kini, Noriah Ibrahim memiliki hampir kesemua koleksi balang dan bekas daripada jenama itu.
Sebut sahaja warna apa dan koleksi apa pasti ada tersusun indah di almari di kediamannya.
Sekali imbas, almari di bahagian dapurnya itu sudah kelihatan seperti sebuah kedai hiasan rumah yang menjual balang dan bekas.
Kata Noriah, koleksi yang dikumpul sejak tahun 2013 itu terdiri daripada beberapa set hidangan raya, set bekas biskut raya, set botol air, set bekal dan pelbagai lagi yang berbeza warnanya mengikut tahun.
“Selain itu, saya juga suka mengumpul koleksi Tupperware yang bercorak, koleksi terhad dan rare dari pelbagai negara.
“Kebanyakkan koleksi ini adalah percuma. Saya hanya tambah yang mana perlu untuk melengkapkan set warnanya sahaja,” katanya yang juga merupakan stockist untuk jenama berkenaan bersama suami.
Tambahnya, sebelum itu, dia tidak pernah memiliki koleksi balang jenama berkenaan kerana beranggapan semua bekas plastik adalah ‘tupperware’ kerana sudah dibiasakan dengan panggilan berkenaan.
“Setelah saya kenal jenama ini baharulah saya dapat membezakannya dengan bekas plastik lain. Selepas menggunakannya, barulah saya betul-betul jatuh cinta dengan kualiti dan kelebihan bekasnya berbanding jenama yang lain.
“Sejak dari situ juga, saya mula mendaftar sebagai ahli untuk membeli dengan harga yang jauh lebih jimat,” ulasnya lanjut.
Sebahagian daripada diri
Melihat koleksi pelbagai jenis dan warna tersusun indah memberikan nilai sentimental tersendiri kepada wanita asal Kelantan ini.
Sejujurnya, katanya rasa syukur, tenang, teruja dan lebih bersemangat setiap kali melihat koleksi-koleksi berkenaan.
“Pada saya, Tupperware ini adalah sebahagian daripada diri saya.
“Melalui jenama ini, boleh dikatakan seluruh kehidupan saya sekeluarga berubah menjadi lebih baik terutamanya dari segi kewangan dan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya yang kini sudah tujuh tahun berniaga bekas berkenaan.
Setelah mencapai beberapa kejayaan besar pada tiga tahun pertama bersama perniagaan itu, dia ditawarkan untuk membuka Stokis Tupperware Brands di Temerloh, Pahang.
Pada tahun 2017, secara rasminya dia juga telah mendapat gelaran baharu, Presidential Director Termuda dan Terpantas kerana kecemerlangannya dalam penjualan.
Tak semua pakai
Ditanya adakah ia digunakan secara harian atau koleksi semata-mata, Noriah berkata, tidak semuanya digunakan secara harian.
“Tetapi kebanyakan peralatan memasak seperti periuk, senduk, papan pemotong, chopper, penyagat, penapis air, set hidangan, set penyimpanan dan macam-macam lagi sudah ditukarkan kepada produk jenama berkenaan.
“Untuk koleksi set hidangan sahaja, saya ada lebih kurang sembilan warna yang biasanya digunakan secara bergilir-gilir setiap kali ada majlis jamuan dan hari raya.
“Bermula dengan warna hijau muda, pink, merah, hijau emerald, biru gelap, peach, biru turquoise, ungu, dan terbaru pink magenta,” ulasnya lanjut.
Dari segi penjagaan pula, katanya tiada masalah kerana kebanyakan produk jenama berkenaan direka untuk menjimatkan ruang, mudah disusun, berinovasi dan sistematik selain cantik.
Mengulas mengenai jenama berkenaan yang dikatakan sudah menghentikan operasi, kata Noriah ia adalah tidak benar.
Jenama berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan ia masih merupakan lubuk rezekinya sekeluarga.










