Isteri diuji suami berbapakan kaki judi - Utusan Malaysia

Isteri diuji suami berbapakan kaki judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jodoh itu rahsia Allah. Seteguh mana kita setia, bertahun lama kita menunggu dan sebaik mana kita merancang, jika bukan dengan izin Allah ia tidak akan berlaku, begitu juga sebaliknya.

Demikian juga dengan kisah Adila, (bukan nama sebenar) yang pada awalnya berusaha mengelakkan daripada Zamarul, (bukan nama sebenar) menjadi jodohnya.

Bukan kerana rupa paras atau harta, tetapi disebabkan latar belakang Zamarul yang berbapakan seorang tahi judi dan kaki perempuan.

Menceritakan kisah cintanya itu, dia meminta untuk berpisah kerana ketika itu ketakutannya melebihi perasaan cinta terhadap lelaki itu.

Namun siapalah dia untuk menolak takdir.

Selepas tujuh tahun membawa haluan masing-masing, mereka bertemu kembali.

Awalnya, Adila cuba menahan diri untuk jatuh cinta sekali lagi dengan Zamarul, namun tidak berjaya.

Sikap dan layanan Zamarul terhadap Adila tidak pernah berubah.

Hanya kurang empat bulan menyemai kembali cinta, mereka sepakat untuk disatukan dengan ikatan sah.

Awal perkahwinan mereka sangat bahagia.

Namun memasuki bulan ketiga, Adila dapat merasakan ada sesuatu disembunyikan suami.

Namun suami tetap mengunci mulut.

Sehinggalah pada suatu hari pintu rumah mereka disimbah cat merah.

Tidak lama kemudian suami menerima panggilan ugutan daripada lelaki tidak dikenali.

Menurut Adila, selepas kejadian itu, suami lebih banyak mendiamkan diri.

Selepas didesak berulang kali, barulah suami menceritakan perkara sebenar.

“Saya benar-benar terkejut ketika itu. Rupa-rupanya suami dikejar along selepas bapa membuat pinjaman kerana berjudi gagal melunaskan bayaran.

“Lebih mengecewakan itu bukanlah pertama kali suami terpaksa menanggung hutang bapa, tetapi sudah masuk kali ketiga,” cerita Adila.

Selepas berbincang dengan suami, Adila setuju mendahulukan wang simpanannya berjumlah RM30,000 untuk membayar hutang bapa mentuanya.

“Dalam hal ini saya tidak salahkan suami. Dia hanya menjadi mangsa keadaan apabila terpaksa menanggung beban hutang yang dibuat bapa sendiri.

“Tidak adil untuk suami, sekiranya saya melakukan tindakan sama tujuh tahun lalu, meminta untuk berpisah hanya disebabkan perbuatan bapanya,” ujar Adila lagi.

Adila berkata, ketika ini suami masih menanggung hutang bapa sebanyak RM400,000 yang dipinjam daripada along lima tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu juga bapa mentua langsung tidak pernah kasihan anaknya.

Sebaliknya masih meneruskan tabiat lamanya tanpa mahu ambil tahu bebanan ditanggung anak menantu.

Berkongsi cerita sepanjang hidup berumahtangga selama lima tahun, Adila mengakui Zamarul tidak pernah mengabaikan tanggungajwab terhadapnya dan anak mereka, Mimi (bukan nama sebenar) yang berusia empat tahun.

Sebagai seorang isteri dia memahami beban kewangan yang ditanggung suami.

Separuh gaji suami terpaksa diperuntukkan membayar pinjaman bulanan kepada pihak bank.

Ini kerana semasa melunaskan hutang bapanya dengan along pada kali pertama sebanyak RM100,000 suami terpaksa membuat pinjaman.

Disebabkan itu dia tidak terlalu berkira dari segi kewangan untuk urusan melibatkan pembayaran bil utiliti, makan minum serta pengasuh anak.

“Sebagai isteri saya perlu ada di samping suami di saat susah dan senangnya.

“Saya bersyukur dikurniakan suami yang sangat penyayang dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Menceritakan kisah bapa mentuanya, menurut Adila sejak muda lelaki itu memang suka berjudi.

Katanya, itulah salah satu sebab kenapa dia memutuskan hubungan dengan Zamarul ketika mereka sama-sama menuntut di universiti.

Bapa mentua yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus di salah sebuah syarikat perbankan mengambil keputusan berhenti dan terjun ke bidang perniagaan.

Awalnya, perniagaan bapa mentua sangat baik.

Tetapi semuanya ditarik sedikit demi sedikit bila bapa mentua gelap mata dengan duit.

Bapa mentua tidak hanya suka berjudi tetapi kaki perempuan.

Disebabkan itu juga, ibu Zamarul diceraikan.

Ketika itu Zamarul baru sahaja tamat tingkatan lima dan berjaya meneruskan pengajian di salah sebuah universiti di utara tanahair.

Manakala adik bongsunya, Munirah diletakkan di bawah jagaan ibu di kampung.

Ketika di universiti jugalah Adila dan Zamarul saling mengenali dan jatuh cinta.

Zamarul langsung tidak berselindung tentang latar belakang keluarga termasuk perihal bapanya.

Selepas tamat pengajian, Zamarul mendapat pekerjaan sesuai kelayakan. Ketika itu perniagaan bapa terus jatuh. Dia ditipu banyak kali.

Namun masih meneruskan tabiat lamanya suka berjudi dan kaki perempuan.

Setiap kali ingin berjudi, bapa mentua minta duit pada suami.

Jika tidak diberi, bapa mentua terus mengungkit-ungkit pengorbanannya yang selama ini membesar dan memberi pendidikan kepada suami sehingga berjaya.

“Saya sentiasa berdoa agar Allah kuatkan saya dan suami melalui ujian ini dan bapa akan berubah suatu hari nanti. Saya percaya dengan jodoh ditetapkan Allah Taala adalah yang terbaik buat saya.

“Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku,” ujarnya mengakhiri perbualan tengahari itu.

Firman Allah SWT:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu dapat bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar Rum: 21).

Fitrah saling melengkapi Allah SWT menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain, ibarat antara siang dan malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×