Ingin mencipta suasana yang pelbagai dalam satu kediaman mendorong pasangan suami isteri, Kamalrul Zulkipeli dan Mimie Nabila Ab. Fattah untuk menerapkan tema yang berbeza bagi setiap ruang.
Kata Mimie, konsep suai padan yang menjadi asas bagi penataan dalam rumah berkenaan membolehkannya untuk mencipta suasana ruang yang lebih tenang di ruang makan, manakala bahagian menonton pula lebih gelap.
“Contohnya di ruang makan, perabot dan perhiasan serba putih.

“Ruang menonton pula kami guna warna yang agak terang seperti hitam, kelabu dan oren bata,” katanya kepada Seri.
Konsep berkenaan dipilih untuk membangkitkan mood berbeza memandangkan warna disekeliling memberikan kesan terhadap mood seharian.
“Kelebihannya ialah kami tak cepat bosan dengan dekorasi rumah.
“Kami pun tak terikat dengan mana-mana konsep, sebaliknya bebas memilih sebarang jenis perhiasan, asalkan kena dengan tema warna ruang yang ada,” katanya.
Elemen penting dalam menaikkan seri bagi tema berbeza itu adalah pencahayaan.
Ia penting bagi memberi ilusi luas bagi ruangan terhad.
“Tumbuhan segar juga kami letak di setiap ruang untuk menyegarkan mata dan membersihkan udara.
“Saya melihat dekorasi sebagai salah satu cabang seni. Dalam seni tiada yang betul dan salah. Pilihlah apa-apa yang boleh membawa bahagia kepada kita. Setiap orang citarasanya berbeza. Yang penting, utamakan fungsi sebelum rupa,” akhirinya.










