'Tiada istilah terlambat atau terlalu tua untuk berjaya' - Utusan Malaysia

‘Tiada istilah terlambat atau terlalu tua untuk berjaya’

Padzilah Enda Sulaiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KEPADA semua wanita, usah biar mana-mana pihak memberitahu masa kemuncak anda sudah berlalu.”

Ucapan penuh inspirasi pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, ketika dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di pentas Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) baru-baru ini, menyampaikan mesejnya cukup jelas.

Sesiapa sahaja termasuk surirumah berpeluang mencipta kejayaan asalkan berusaha keras kerana usia bukan penghalang untuk seseorang mengejar impian.

Suntikan semangat dilaungkan itu, mengingatkan saya kepada pengasas telekung Siti Khadijah (SK), Padzilah Enda Sulaiman, 60.

Siapa sangka daripada surirumah sepenuh masa, wanita yang ‘biasa-biasa’ tanpa pengalaman kerja mahupun berpendidikan tinggi ini mampu keluar daripada kepompong dan bergelar usahawan pada angka usia 46 tahun.

Biarpun agak ‘lewat’ tetapi ibu kepada enam anak lelaki itu nekad menceburi bidang yang asing baginya demi membantu suami, Aminuddin Mohd. Nasir, 63, menyara keluarga.

Kemahiran menjahit dipelajari sejak remaja dimanfaatkan untuk menghasilkan inovasi rekaan telekung premium hingga muncul sebagai perintis produk pakaian ibadah berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertama di Malaysia.

Hasil kerja keras Padzilah membolehkan barangan itu kini menjadi sebahagian keutamaan wanita setanding dengan baju, tudung dan beg tangan sekali gus membuka dimensi baharu dalam perniagaan telekung.

Metamorfosisnya selama hampir 15 tahun itu berbaloi apabila produk jenamanya SK dikenali di peringkat antarabangsa dengan pembukaan 49 butik di seluruh Malaysia.

Misi gembirakan wanita tercapai

Berpegang kepada prinsip buat sehabis baik, Padzilah memberitahu misi untuk menggembirakan wanita menerusi pemakaian telekung yang selesa kini tercapai.

“Apa yang saya fikir, rasa dan bayangkan, Alhamdulillah sudah menjadi kenyataan. Sebut sahaja telekung, orang terus ingat SK.

“Ya betul, sebelum ini telekung bukan keutamaan dan diletakkan di kedudukan rendah tetapi persepsi itu berubah. Wanita masa kini tidak kisah melaburkan duit demi keselesaan dan kepuasan,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Menceritakan penglibatannya, Padzilah
mengakui laluan membina empayar perniagaan, lancar dan tidak terlalu berliku kerana ketika itu tiada persaingan bagi produk telekung premium.

Katanya, sebelum telekung, niat asal adalah mahu menjual tudung kerana terpengaruh dengan kerancakan jualan barangan itu, namun dibantah seorang rakan yang mencadangkannya menghasilkan telekung.

“Saya terpanggil untuk membantu ekonomi keluarga selepas perniagaan suami gagal dan dia disenaraikan muflis, ketika itu anak-anak masih bersekolah.

“Kalangan kawan-kawan tahu saya sering mengubah suai telekung yang dibeli sama ada untuk mengetatkan atau melonggarkannya, jadi kenapa tidak saya keluarkan produk telekung yang terbaik.

“Dengan modal RM10,000, saya menyiapkan 200 helai telekung untuk dijual kepada agensi pelancongan yang membawa jemaah haji dan umrah, namun tiba-tiba syarikat itu berubah fikiran dan segala penat lelah saya bersengkang-mata selama enam bulan gagal sekelip mata,” katanya.

Padzilah buntu bagaimana mahu memasarkan telekung mahal pada masa itu dan terpaksa memohon bantuan rakan yang merupakan wartawan akhbar ini bagi mempromosikan produknya.

Katanya, sejak kisahnya disiarkan di Utusan Malaysia, bertalu-talu pesanan diterima dan tanpa disangka mencetuskan fenomena, malah dapat mendidik masyarakat tentang keperluan telekung premium demi keselesaan.

Dalam pada itu, beliau sedar kewujudan banyak produk tiruan SK di pasaran, namun menganggapnya sebagai motivasi untuk terus menghasilkan rekaan terbaik.

“Bagi saya ia satu kebanggaan kerana menggambarkan produk kita bagus lalu ditiru, tetapi dalam masa sama memberi cabaran kuat untuk mempertahankan kedudukan di hadapan dan kekal juara dalam arena ini,” katanya.

Legasi SK diteruskan enam anak

Sebelum menutupkan mata buat selamanya di negeri abadi, Padzilah lega kerana legasi perniagaannya sudah diwarisi generasi kedua.

Kesemua enam anaknya kini memegang portfolio masing-masing dalam syarikat Siti Khadijah Holding Sdn. Bhd.

Anak sulung, Mohammad Muzammil Aminuddin, 39, merupakan Ketua Pegawai Sumber Manusia manakala Mohammad Munzir, 38, pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; Mohammad Muhaimin, 35, (Ketua Pegawai Perancangan Strategik); Mohammad Mukhlis, 30 (Ketua SK) diikuti Muhammad Musyrif, 27, dan Muhammad Muddaththir, 25.

Katanya, lima daripada mereka mempunyai latar belakang sebagai jurutera dan sanggup mengorbankan kerjaya masing-masing demi mengembangkan syarikat titik peluh ibu bapa.

“Terlalu banyak nikmat Allah pada saya dan suami termasuk diberikan anak-anak untuk membantu menyambung asas perniagaan yang dibina.

“Walaupun ada keluarga di luar sana bergaduh dan dengki-mendengki dalam perniagaan tetapi menjadi rezeki saya kerana anak-anak lelaki tidak bersikap demikian,” katanya.

Padzilah berkata, terpulang kepada anak-anaknya untuk mengemudi SK ke peringkat lebih tinggi termasuk menawarkan saham terbitan awam (IPO) kepada yang berminat di masa hadapan.

Bantu ekonomi masyarakat

Menurut Padzilah, agenda perjuangannya kini sudah berubah dan jika dahulu tumpuan adalah untuk membangunkan ekonomi keluarga, namun kini fokusnya terarah kepada ekonomi masyarakat.

Katanya, menerusi perniagaan yang diusahakan itu, 700 rakyat tempatan diambil bekerja dengan 200 daripadanya merupakan tukang jahit manakala bakinya ialah petugas di barisan hadapan termasuk pengurus dan pembantu butik.

“Tipulah jika tidak penat, tetapi saya sentiasa ingatkan diri agar jangan cepat mengalah kerana memikirkan periuk nasi pekerja.

“Ada kakitangan kita yang merupakan ibu tunggal dan graduan universiti, peluang yang diberikan ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Padzilah berkata, 11 lagi butik dijangka dibuka sehingga akhir tahun ini antaranya di Sabah, Sarawak, Johor, Kelantan dan Selangor selain mengukuhkan kedudukan di Indonesia.

Katanya, sasaran lain yang mahu dicapai ialah untuk mewujudkan ekosistem francais di samping melahirkan 2,000 usahawan dropship.

Perkenal modul keluarga kepada kakitangan

Kebimbangan terhadap isu keruntuhan dan kemelut rumah tangga yang makin berleluasa kini memberi ilham buat Padzilah untuk memperkenalkan modul kekeluargaan dalam kalangan 300 pekerjanya, tidak lama lagi.

Katanya, menerusi kursus secara percuma itu, kakitangan akan didedahkan dengan ilmu pengurusan kasih sayang, emosi dan kewangan.

Ujarnya, jenama SK bukan sekadar menjadi contoh dalam dunia perniagaan tetapi juga dalam aspek keluarga.

“Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dalam soal hubungan suami isteri di samping ipar duai dan anak menantu kerana bagi saya jika pekerja bahagia di rumah, maka kebahagiaan itu akan turut dibawa ke tempat kerja.

“Sekiranya ada guru bisnes, kenapa tidak dibuat pembaharuan dengan menampilkan guru rumah tangga pula kerana tanggungjawab membangunkan institusi kekeluargaan bukan mudah dan memerlukan panduan serta bimbingan,” katanya.

Padzilah berkata, kebahagiaan itu perlu sentiasa dicipta terutama bagi perkahwinan yang melebihi lima tahun agar hubungan setiap pasangan kekal manis di sebalik ujian yang membadai.

Malah, beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan kursus itu kepada pihak luar jika ada permintaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.