Pernah ke barang keperluan sekolah turun? - Utusan Malaysia

Pernah ke barang keperluan sekolah turun?

NOR’ Aidah Zaharuddin, 30, memilih saiz kasut sekolah bersesuaian untuk dua anaknya, Nur Aliyaa Adrina Mohd. Azroy, 10, dan Noah Reza, 4, sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan 2023 di sebuah premis pakaian di Jalan Besar, Bandar Kajang. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya antara ratusan ribu ibu bapa yang aktif menconggak harga barangan keperluan sekolah setiap kali bila sesi persekolahan kembali di buka.

Dulu-dulu saya hanya menconggak dalam kepala. Mulai tahun ini, kena pakai calculator sebab kosnya makin tinggi. Kena berkira-kira mana yang perlu dibeli atau pakai yang lama sahaja.

Mujur, sebab saya tidak membiasakan anak-anak dengan trend. Apa juga cop barangan sekolah yang dibeli, anak dapat terima dengan hati terbuka.

Ada juga saya dengar rungutan ibu bapa yang anak-anaknya mahu jenama tertentu. Memenuhi minat anak, ada ibu bapa yang sanggup beli yang tiruan.

Kalau tidak melayan, ia tidak akan jadi sedemikian sebab yang mendidiknya adalah kita.

Ada juga ibu bapa yang sebenarnya lebih sudu dari kuah. Jenis suka menayang bila anaknya membeli jenama terkini. Yang begini pun ada juga.

Mujur kedua ialah suami juga jenis suka survey harga dan tunggu offer. Sanggup ke berapa kedai yang ada tawaran harga murah untuk kasut sekolah, atau beg sekolah dan keperluan yang lain. Dia juga selalu berpesan pada anak-anak, membeli perlu ada sekian bajet dan tidak boleh berlebih-lebihan.

Bukan kedekut, tetapi orang berniaga ligat memutar harga. Biarpun kini ada pilihan online, pengalaman membeli secara off line lebih menyeronokkan. Melihat anak-anak memilih keperluan sekolahnya adalah acara tahunan yang memberikan 1,001 pengalaman yang menyenangkan.

Bercakap mengenai keperluan sekolah, baru-baru ini Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyiasat isu kenaikan harga pakaian sekolah yang dikatakan naik sehingga 20 peratus.

Seperti biasa pemilik kedai mendakwa kenaikan berpunca daripada peningkatan kos bahan material dan pengangkutan daripada pihak pembekal.

Saya turut bertanya kepada kedai buku sekolah. Katanya memang berlaku kenaikan dalam 20 sen hingga 50 bagi produk buku dan alat tulis.

Kalau sudah naik, apa pilihan yang pengguna ada selain daripada menerimanya?.

Setakat mana rakyat boleh berjimat sebab anak-anak tubuhnya membesar, bukan statik di saiz S sahaja.

Begitupun saya melahirkan rasa seronok bila baru-baru ini singgah solat di sebuah masjid di Kuala Selangor, ada ruang menyediakan baju sekolah terpakai untuk diambil oleh sesiapa sahaja.

Biarpun terpakai tetapi masih dalam keadaan elok. Siap digantung dan bergosok cantik.

Inisiatif ini boleh diperluaskan ke masjid lain. Membudayakan gaya hidup kitar semula ini, jimat.

Ramai yang ada baju terpakai tetapi masih elok tetapi tidak tahu hendak di salurkan ke mana. Masjid anda bagaimana? Cumanya yang menjadi isu ialah bab pengurusan. Kalau ada kesungguhan, tak jadi masalah.

Kita kena berubah sebab ekonomi dunia tak menentu. Itu baru bab keperluan sekolah, bagaimana pula makanan di jual di kantin di sekolah?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya