Nurul Syuhaida bersaing dengan diri sendiri - Utusan Malaysia

Nurul Syuhaida bersaing dengan diri sendiri

Dalam kalangan adik beradik, Nurul Syuhaida paling petah bercakap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadirannya dalam dunia televisyen bukan bersandar wajah cantik semata-mata, sebaliknya tahap profesionalisme dan semangat kewartawanan sejati.

Awalnya dia seorang pemalu tetapi dek kerana minat dalam dunia penyiaran, dia bertatih daripada bawah dan kini sudah lapan tahun menjadi sebahagian warga penyiaran Radio Televisyen Malaysa (RTM).

Di sebalik wajah manis ketika menyampaikan setiap patah laporan berita atau mengacara, nyata masih ada ruang untuk wanita kelahiran Muar, Johor ini berkongsi kisah.

Cabaran sebagai pengacara TV digalasnya dengan cekal walaupun diri ada kalanya tertekan untuk muncul terbaik dalam profesion yang sering disalah erti sebagai glamor atau berstatus selebriti.

Biarpun sibuk dengan tuntutan tugasan, Nurul Syuhaida Ariffin, 30 masih sempat mengisi ruang untuk sesi fotografi bersama Seri.

Tempoh sejam yang diberi untuk sesi fotografi dimanfaatkan sepenuhnya walaupun berhadapan dengan cabaran cuaca yang hujan ketika itu.

Benarlah, sikap profesionalnya banyak membantu memudahkan sesi temubual dan fotografi.

Teruja melihat aksinya yang nyata berbeza di sebalik wajah serius ketika berada dalam konti.

Mengenali lebih dekat Nurul Syuhaida yang juga wartawan penyiaran dan pengantara program di saluran RTM, beliau cukup sederhana dalam serba-serbi. Pada usia 30 tahun, Nurul Syuhaida boleh berbangga dengan portfolio dirinya.

Dalam tempoh lapan tahun bersama keluarga RTM, wanita yang sudah menemuramah ramai pemimpin dalam dan luar negara malah diamanah mengendalikan beberapa segmen utama termasuk lintas langsung istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Dalam tempoh lapan tahun bersama keluarga RTM, wanita yang sudah menemuramah ramai pemimpin dalam dan luar negara.

Baginya, setiap tanggungjawab yang digalas harus dilakukan sebaik mungkin.

“Saya beruntung kerana mendapat kepercayaan mengendalikan banyak segmen di RTM. Bidang ini ternyata menguji saya dalam menjalani kehidupan harian.

“Biarpun ramai menganggap profesion ini bergelumang dunia glamor, sebenarnya ia menuntut kita lebih berdisiplin serta perlu berkorban masa dan tenaga,” katanya yang tidak pernah bermimpi menjadi personaliti dunia penyiaran.

Menyertai keluarga RTM sejak bermula dengan program realiti RTM, Ikon Siarawan, wanita ini tidak pernah terlintas untuk memilih pekerjaan ketika itu.

Awalnya dia hanya sekadar hadir untuk memohon kerja kosong namun nasib menyebelahinya apabila dia diterima masuk ke RTM walaupun ketika itu hanyalah sebagai petugas separuh masa sahaja.

Tetapi tidak lama selepas itu, dia diterima sebagai staf sepenuh masa atas merit kecemerlangannya menerusi hasil kerja yang ditunjukkan sebagai seorang wartawan penyiaran.

“Dulu, kami sebagai wartawan memang harus peka dan sensitif terhadap semua perkara dan masing-masing tahu tugas yang telah diberikan.

“Malah, ketika itu juga tidak ramai yang berkhidmat dan menjadikan kami begitu rapat sehingga perhubungan kami seperti keluarga,” jelasnya.

Keluarga inspirasi Nurul Syuhaida
Kehidupan glamor di konti nyata berbeza dengan gaya hidup sebenar Nurul Syuhaida.

Jangan tidak tahu beliau sebenarnya meminati bidang sukan sejak di bangku sekolah menegah lagi.

Antara sukan yang menjadi kegemarannya ialah olahraga dan kini dia aktif dengan sukan tenis dan hiking.

“Masa belajar dulu saya tidak pernah terlibat dengan dunia penyiaran. Tapi masa itu saya dan keluarga minat menonton rancangan televisyen yang menampilkan pengacara wanita.

“Ibu saya sering bertanya sama ada saya ingin menjadi seperti pengacara dalam TV. Saya bersyukur kerana arwah bapa dan ibu saya sentiasa menyokong apa jua minat saya.

“Walaupun pada awalnya saya tidak terfikir menjadi pengacara,” kata anak sulung kepada empat adik-beradik ini.

Ditanya sama ada dia mewarisi bakat daripada keluarganya, Nurul Syuhaida memberitahu, arwah bapanya, Ariffin Hassan hanya pesara pegawai bank manakala ibunya hanya suri rumah.

Pun begitu, Nurul Syuhaida tidak menafikan dalam keluarga, dia paling petah bercakap walaupun dia tidak begitu apabila berhadapan orang ramai.

“Kami sekeluarga sangat rapat. Walaupun bidang saya ini sering dikaitkan dengan dunia glamor, ibu dan arwah bapa tidka pernah menghalang sebalinya merekalah yang mendorong kerjaya sekarang.

“Pun begitu, sepupu belah ibu berdarah seni dan dia sangat rapat dengan sepupu sebaya yang juga pelakon, Afifah Nasir. Saya banyak berkongsi pendapat dan melakukan aktiviti masa lapang bersama Afifah memandangkan kami sebaya,” ujarnya.

‘TV perlu bersaing dengan media sosial’
Nurul Syuhaida berkata, ketika ini stesen TV juga perlu bersaing dengan media sosial.

“Saluran atau program membabitkan perkongsian maklumat juga ada dalam laman sosial. Persaingan ini membuatkan setiap tenaga kerja termasuk penyampainya perlu lebih pantas dan berpengetahuan dalam berkongsi berita.

“Namun, apa yang ditakuti pada zaman sekarang adalah fitnah boleh berlaku secara berleluasa membabitkan perkongsian maklumat yang ada dan disebarkan menerusi media sosial,” katanya.

Namun, sebagai agensi berita nasional, mereka masih berpegang kepada garis panduan ditetapkan bagi memastikan apa sahaja perkongsian berita dibuat adalah sahih.

“Sebaiknya setiap maklumat diperoleh disahkan terlebih dulu, sebelum disebarkan mahupun dikongsi. Prosedur yang ada membolehkan umum lebih yakin dengan apa yang kami sebarkan,” katanya.

Nurul Syuhaida berkata, perubahan berlaku dalam teknologi perkongsian maklumat ini, membantu penyampai untuk turut mengikut arus semasa.

“Corak dan cara penyampaian perlu berubah. Selain yakin, mereka juga perlu lebih energetik supaya berita disampaikan itu dapat memberi impak kepada penonton,” katanya.

Ujarnya, pengacara juga tidak terlepas daripada gossip dunia selebriti.

Justeru, Nurul Syuhaida menganggap perkara itu asam garam dunia penyiaran kerana.

“Bagi yang ingin menceburi bidang penyiaran, anda perlu sentiasa bersedia. Jangan cepat panik dan jangan takut buat silap.

“Sebaliknya jika berlaku kesilapan, cuba perbaiki dari semasa ke semasa. Selain itu, sentiasa bertanya soalan dan jangan bergerak secara solo.

“Bekerja secara berkumpulan. Memang kita akan nampak wajah pengacara atau pembaca berita di hadapan kaca TV, tetapi di sebalik kami, ada pasukan lain yang bekerja. Kerja berkumpulan sangat penting untuk kita maju,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.