Berdosa kongsi kisah aib rumah tangga kepada khalayak

Berdosa kongsi kisah aib rumah tangga kepada khalayak

Fadzilah Kamsah (kanan) Rezki Perdani Sawai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALANYA diluahkan di media sosial termasuklah kisah pergaduhan membabitkan pasangan masing-masing.

Habis segala keburukan suami atau isteri didedahkan kepada umum di samping hal-hal peribadi dan mengaibkan orang lain termasuk diri sendiri.

Semua itu dilakukan bagi melepaskan geram dan kemarahan setiap kali bergaduh. Seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan, asal berbalah sahaja pasti ada status yang dimuat naik di Facebook, Instagram mahu pun TikTok.

Tidak cukup dengan membongkar aib, ada pula kalangan pasangan yang berterusan berperang dan saling membalas di media sosial hinggakan rakyat Malaysia turut diajak terlibat sama dalam drama rumah tangga mereka.

Sedangkan hal rumah tangga sepatutnya diselesaikan antara suami isteri dan bukan diceritakan satu Malaysia.

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah berkata, tindakan mendedahkan masalah rumah tangga yang memalukan kepada khalayak adalah berdosa dan hukumnya haram.

Katanya, tabiat itu jelas menampakkan kelemahan dan kejahilan individu, namun beliau mengakui, ada segelintir pasangan terutama isteri memilih jalan berkenaan bagi melegakan tekanan yang dialami.

“Saya faham apabila wanita terlampau tertekan dengan masalah rumah tangga dan segala usaha tidak berhasil, maka dia terpaksa mendedahkan di media sosial untuk mendapatkan pandangan serta sokongan netizen.

“Kalau perkongsian itu secara umum tidak ada masalah, tetapi jika menceritakan hal yang memalukan diri dan pasangan, hukumnya adalah berdosa dan boleh jadi isteri derhaka,” katanya ketika dihubungi Seri baru-baru ini.

Menurut Fadzilah, kebergantungan kepada gajet dan teknologi boleh menyebabkan hubungan pasangan suami isteri sama ada yang baharu mahupun sudah lama berkahwin, bertukar dingin.
Katanya, fungsi gajet adalah untuk mendekatkan yang jauh, dan bukannya menjauhkan pihak yang dekat.

Diet gajet, amal rutin kasih sayang

Amalan diet gajet dan rutin kasih sayang mampu memupuk kembali keharmonian dan kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga.

Fadzilah berkata, mana-mana pasangan perlu menetapkan undang-undang seperti melupakan seketika telefon pintar masing-masing ketika di rumah, sebaliknya meluangkan masa berkualiti itu dengan berbual atau membantu suami atau isteri.

Katanya, langkah kedua pula adalah mempraktikkan rutin kasih sayang bagi menghargai pasangan sekali gus memperkasakan rasa cinta.

“Cinta akan hilang kalau tidak dipupuk, oleh itu, sebutlah sayang dan peluk pasangan sebelum pergi kerja misalnya.

“Penyelesaian ketiga pula adalah kalau boleh buat semua aktiviti secara bersama termasuk kerja rumah, makan, bersolat dan aktiviti-aktiviti lain di samping bermaafan sebelum tidur, Insya-Allah rumah tangga yang dibina akan kekal bahagia,” katanya.

Media sosial bukan tempat luah perasaan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, media sosial bukan tempat untuk isteri meluahkan perasaan tanpa batasan.

Katanya, apatah lagi jika perkongsian itu ibarat membuka pekung di dada terutama mengenai masalah rumah tangga hingga hilang rasa malu.

Sedangkan, ujarnya, rasa malu merupakan perkara yang amat penting terutama sebagai perisai untuk menjaga aib diri, pasangan dan orang lain.

“Aib diri merupakan satu rahsia, ada orang yang berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan, tetapi Islam mengajar umatnya supaya menutup aib.

“Bahkan, Allah SWT juga Maha Pengasih, sebanyak mana pun dosa yang dilakukan, Allah tidak mendedahkannya. Oleh itu, janganlah kita sendiri pula yang mendedahkan keaiban kita,” katanya.

Rezki Perdani berkata, kemajuan teknologi media sosial mendorong individu berkongsi maklumat peribadi dalam talian secara rutin.

Katanya, bermula daripada luahan perasaan dan pendapat peribadi yang mendalam hinggalah kepada mendokumentasikan perincian kehidupan sehari-hari, pendedahan kendiri umum itu dikongsi dengan pelbagai khalayak.

Ujarnya, situasi itu sekaligus menyebabkan batas antara publisiti dan privasi sudah tidak jelas lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kalangan wanita terutama isteri agar berhati-hati ketika berkongsi maklumat peribadi di media sosial atau dalam acara sosial.

Menurutnya, golongan berkenaan perlu tahu masa yang sesuai untuk membuat pendedahan dan bagaimana harus memulakan tindakan itu.

“Sikap hormat-menghormati amat penting dalam membuat pendedahan diri atau berkongsi cerita. Jagalah aib diri dan juga orang lain,” katanya.

Wanita kuat tak heboh dalam media sosial
SELALU kita dengar orang berkata, jangan jaga tepi kain orang dan pada masa sama, kita pun tidak mahu dikata, kain orang sibuk nak jaga, kain sendiri koyak tak sedar.

Perbuatan suka menjaga tepi kain orang ini sangat dibenci dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi ia melibatkan hal rumah tangga orang lain. Malu betul kalau dituduh menjadi penyibuk.

Tetapi itulah, apabila ada yang dengan sendirinya mendedahkan hal-hal tepi kainnya untuk diketahui ramai, bercerita tentang masalah dalam rumah tangga, bergaduh dengan suami atau ipar duai, mertua dan adik beradik di media sosial, tentu banyak persepsi dan perkara buruk yang timbul berbanding yang baik-baik.

Makanya, orang sekeliling yang tak tahu, tak mahu tahu dan tak suka ambil tahu pun bagaikan ‘dijemput’ pula untuk membaca atau mendengar hal-hal yang sepatutnya diselesaikan dalam keluarga mereka sendiri.

Dalam Isu Seri kali ini, kita menyentuh tentang kecenderungan sesetengah pasangan yang menjadikan media sosial sebagai tempat mengadu masalah perkahwinan. Banyak luahan perasaan sedih atau berapi-api ini dibuat di media sosial yang selalunya dilakukan oleh wanita. Tetapi apabila ditegur, ada pula yang kata tidak melalui situasi itu, bolehlah kata jangan buka aib sesiapa atau bersabar.

Pada saya, kuatnya seorang wanita bukan mencurahkan segala masalah peribadinya di media sosial untuk menarik simpati dan perhatian. Ini lebih memperlihatkan lagi kecelaruan diri sendiri walaupun mempamerkan wajah tenang dan gembira.

Ramai saja berdepan dengan masalah rumah tangga tetapi memilih untuk keluar sendiri daripada kemelut itu tanpa heboh-heboh di media sosial. Ramai juga wanita sudah berjaya melalui fasa kemusnahan dalam rumah tangga tetapi dia bangun perlahan-lahan tanpa menunjukkan sedikit pun kocakan remuk redam hatinya di media sosial.

Mengawal emosi yang membuak-buak adalah ujian besar bagi sesetengah orang dan pada masa sama keinginan untuk menarik perhatian dan sokongan ramai untuk kelihatan kuat dan menang juga satu ujian.

Media sosial sudah banyak mengambil tempat dalam urusan perhubungan, menyebarkan berita dan meniaga. Janganlah menjadikan ia tempat untuk bergaduh, bersoal jawab dan menarik penyokong untuk masalah peribadi yang tak perlu membabitkan orang luar.

Dalam agama Islam bercerita tentang masalah rumah tangga, keburukan dan kekurangan pasangan secara terbuka adalah haram apatah lagi yang boleh menarik ramai orang mengumpat, menghina dan mencela dalam media sosial. Tetapi itulah, bila ada yang mengingatkan tentang hukum berkenaan, kalau orang itu bukan ustaz atau ustazah, dikata pula tak memahami isu sebenar.

Cukuplah dengan ramai wanita yang suka terkinja-kinja, memalukan diri sendiri di media sosial dengan menjadi attention seeker. Tak akanlah masalah rumah tangga sendiri, yang paling sulit itu pun mahu dijadikan pula drama tontonan umum.

Wanita yang kuat tidak mencanang kekuatan, kesabaran dan kecekalannya. Hanya Tuhan dan orang yang terdekat dengannya saja yang tahu. Itu bezanya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.