Dalam perkahwinan, suami adalah orang penting dalam kehidupan isteri dan anak-anak.Tetapi tanggungjawab mereka tidak hanya terbatas kepada keluarganya sahaja.
Mereka tetap bertanggungjawab kepada ibu bapa sendiri, ibu bapa mentua dan saudara perempuan yang masih belum berkahwin.
Lebih-lebih lagi apabila bapa mereka yang selama ini menjadi tonggak keluarga telah meninggal dunia.
Maka, tanggungjawab secara tidak langsung beralih kepada anak lelaki.
Minggu ini saya kongsikan dilema seorang isteri, Ameera (bukan nama sebenar) apabila suami lebih mengutamakan adik beradik berbanding dirinya sebagai isteri dan anak-anak.
Melalui kiriman emelnya kepada saya baru-baru ini, Ameera menulis dia seorang isteri yang sudah 15 tahun berkahwin dengan Hisham (bukan nama sebenar).
Hisham merupakan anak lelaki sulung daripada empat beradik, dua lelaki dan seorang perempuan.
Hasil perkongsian hidup berpaksikan cinta, mereka dikurniakan tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun.
Ameera seorang guru, manakala Hisham pegawai di sebuah syarikat perbankan. Pada awal perkahwinan, kehidupan Ameera dan Hisham bahagia.
Tapi semakin lama usia perkahwinan, Ameera mula rasa perubahan dalam rumahtangga. Ameera sudah mula tawar hati dengan Hisham yang masih tidak pernah berubah dalam soal menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.
Di awal perkahwinan, mempunyai anak seorang, dua sehinggalah anak ketiga, Hisham tetap melebihkan adik beradik.
Ameera sering menegur suami tentang tanggungjawabnya kepada isteri dan anak-anak.
Tapi hampa. Setiap kali bercakap soal itu, Ameera akan dimarahi. Sampai satu tahap, Ameera dan Hisham pernah bergaduh besar. Namun Ameera mengambil pendekatan berdamai demi anak-anak.
Sejak awal perkahwinan, Ameera berusaha memahami tanggungjawab Hisham yang mengambil alih sebagai ketua keluarga selepas kematian bapa.
Dua adik lelakinya ketika itu masih bersekolah menengah, manakala adik bongsunya bersekolah rendah.
Ketika bapa mentua meninggal dunia, Ameera dan Hisham baru dua bulan mendirikan rumah tangga.
Sayangnya, sikap bertolak ansur Ameera diambil kesempatan oleh Hisham yang melepaskan tanggungjawab rumahtangga sepenuhnya kepada isteri.
Apa yang membuatkan Ameera terkilan, walaupun adik-adik Hisham sudah tamat belajar dan mempunyai pekerjaan serta mempunyai keluarga sendiri, kebergantungan hidup tetap kepada suami.
Dalam emelnya lagi, Ameera memberitahu dia mula memberanikan diri bertanyakan soal nafkah, duit belanja, makan minum kepada Hisham selepas berasakan suami tidak lagi perlu menanggung beban yuran pengajian adik-adiknya.
Namun jawapan mudah diberikan, Ameera bekerja dan mempunyai wang sendiri.
Tulis Ameera, dia bukan berkira mahupun mengungkit apa yang selama ini dikorbankan untuk keluarga sendiri.
Dia cuma mahu menuntut haknya sebagai isteri.
Bayangkan sejak berkahwin, makan minum, pakaian, sewa rumah, bil api dan air semua ditanggung Ameera.
Bahkan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan upah pengasuh segala-galanya diurus olehnya.
Suami ketika itu tetap memberi alasan tidak cukup wang kerana perlu menanggung ibu dan adik perempuan bongsu yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
Sebelum kahwin, suami cukup manjakan adik-adiknya terutama adik bongsunya.
Minta itu diberi dan keinginan apa sahaja dituruti.
Wang gaji suami untuk sampai ke cukup bulanpun berdikit, namun masih cuba untuk memenuhi permintaan adik-adiknya.
Paling tidak dilupakan Ameera, ketika dia sedang bertarung kesakitan mahu melahirkan anak kedua, pada masa sama adik lelaki Hisham ada majlis konvokesyen.
Bayangkan suami tetap bertegas mahu menghadiri majlis tersebut.
Dalam keadaan kesakitan itu Ameera terpaksa meminta pertolongan kakaknya untuk dibawa ke hospital.
Hari bertukar minggu, minggu menjengah bulan.
Bulan beralih tahun. Disangka Ameera selepas adik-adik suaminya mendapat pekerjaan dan bertemu jodoh masing-masing, maka berkuranglah tanggungjawab sebagai abang.
Ternyata sangkaan Ameera salah. Mereka tetap bergantung kepada suami. Suami pula menuruti sahaja dan tidak pernah menolak permintaan adik-adiknya.
Suami bukan sahaja terpaksa membantu adik-adiknya dari segi kewangan, bahkan tenaga dan masa juga dihulurkan tanpa berkira.
Bayangkan ketika dua adik lelaki suami ingin melangsungkan perkahwinan, Hisham sanggup bergolok gadai semata-mata untuk memastikan majlis perkahwinan mereka berlangsung meriah.
Setiap hujung minggu juga suami lebih mengutamakan urusan berkaitan adik beradiknya berbanding isteri dan anak-anak.
Paling tidak dilupakan pada satu hari suami cuba menyelesaikan isu adik perempuannya apabila lelaki yang dinikahi seorang kaki pukul.
Malang tidak berbau, dalam pergaduhan itu suami dipukul teruk sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital selama beberapa hari.
Apa yang mampu dilakukan Ameera ketika ini hanya berdoa agar suaminya berubah menjadi lebih prihatin dan bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.
Dia tidak pernah berniat memisahkan suami dan adik beradiknya, namun sebagai manusia biasa, adakalanya dia tewas dengan perasaannya sendiri.
Sesungguhnya, lelaki dicipta oleh Allah SWT sebagai pemimpin. Dibahu mereka terletak tugas dan tanggungjawab yang besar.
Di bahu mereka dibebani dengan amanah untuk dipikul iaitu memelihara wanita.
Wanita itu bukan sahaja ibu, isteri, bahkan kepada saudara perempuan dan anak perempuannya. Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari hartanya.” (An Nisa:34).










