MASUK awal bulan ramai mengeluh gaji habis kerana membayar hutang dan pelbagai perbelanjaan lain.
Ada yang terpaksa ikat perut, menggunakan duit simpanan dan sampai satu tahap meminjam sana-sini kerana buntu dengan keadaan kewangan yang tidak stabil.
Situasi itu sekali gus menyebabkan azam menabung yang saban tahun dirancang rata-rata wanita dan surirumah di negara ini musnah begitu sahaja.
Namun, masih belum terlambat untuk kita memulakan amalan itu. Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ada kaedah menangani isu tabungan.
1. Adakah amalan menabung RM20 sehari, efektif sebagai tabungan?
Setiap kaedah menabung sama ada menyimpan RM20 sehari atau 10 peratus daripada gaji diterima setiap bulan atau lain-lain boleh menjadi satu pendekatan yang efektif bagi menggalakkan wanita atau surirumah membuat simpanan jika ia memenuhi beberapa syarat. Pertama, penyimpan mendisiplinkan diri menyimpan secara berterusan atau istiqamah dan tidak hangat-hangat tahi ayam.
Kedua, tidak mengambil duit simpanan tersebut dari semasa ke semasa untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.
Ketiga pula ialah menetapkan sasaran jumlah yang hendak disimpan dan tempoh menyimpan.
2. Jumlah munasabah simpan dalam situasi kenaikan kos barangan pada masa ini?
Jumlah tabungan bergantung kepada jumlah jangkaan kenaikan tambahan perbelanjaan isi rumah di dalam suasana kenaikan kadar inflasi.
Jika perbelanjaan isi rumah meningkat sebanyak RM50 sebulan, maka jumlah tabungan harus melebihi RM50 sebulan untuk memastikan bahawa jika harga barangan berterusan naik, isi rumah masih lagi mampu menampung kenaikan harga barangan dengan menggunakan wang simpanan tersebut.
3. Mana lebih baik, tabungan harian atau bulanan?
Bergantung kepada kekerapan individu menerima pendapatan sama ada sekali sebulan seperti gaji atau sentiasa mendapat wang belanja daripada suami (sebagai contoh) setiap minggu atau setiap kali pergi ke pasar. Kalau hanya mendapat wang melalui wang gaji, maka lebih sesuai membuat tabungan bulanan.
4. Tabungan konvensional atau digital yang praktikal?
Tabungan konvensional seperti dalam tabung tidak memberikan pulangan. Jika menabung dalam akaun simpanan di bank atau di Tabung Haji, setiap tahun kita akan mendapat dividen yang membolehkan simpanan bertambah.
Sekarang ini, teknologi melalui aplikasi membolehkan kita menabung secara maya atau elektronik dan ia memberikan kemudahan untuk kita menabung dan pada masa sama memberi pulangan atas tabungan tersebut.
5. Jenis-jenis tabungan dan jumlah yang perlu diperuntukkan?
Kita harus memperuntukkan tabungan untuk peristiwa kecemasan yang memerlukan jumlah wang banyak seperti kos perubatan (jika kita memilih untuk tidak pergi ke hospital atau klinik kerajaan); belanja perkahwinan sendiri atau anak; belanja pendidikan untuk anak; percutian ke destinasi impian dan apa-apa sahaja peristiwa kecemasan yang tidak dijangka. Seeloknya peruntukkan 10 peratus daripada pendapatan bulanan untuk keperluan ini.










