Mia lupa diri lepas naik pangkat - Utusan Malaysia

Mia lupa diri lepas naik pangkat

Dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus. Sejak itu Mia semakin sibuk dan sering pulang lewat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cabaran seorang wanita pada hari ini sangat besar dan berat.Mereka sama-sama bertanggungjawab mencari rezeki dan antara penyumbang pendapatan keluarga.

Namun begitu, dalam mencapai keseimbangan lebih-lebih lagi dalam tuntutan sebagai pekerja dan juga tanggungjawab kepada keluarga bukan sesuatu yang mudah.

Sekiranya tidak ditangani dengan baik, kesannya akan mencetuskan tekanan emosi, keletihan mental dan fizikal, produktiviti dan pergolakan rumah tangga.

Minggu ini saya ceritakan kisah Mia (bukan nama sebenar) seorang isteri yang diuji dengan istiraj dalam pelbagai nikmat kejayaan dan pangkat.

Namun semua itu tidak menjadikan dia hambaNya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada Allah SWT.

Dia juga menjadi isteri yang tidak taat dan derhaka kepada suami sedangkan pada awalnya bersemangat untuk menjadi isteri mithali.

Mia dan Zainal (bukan nama sebenar) berkahwin pada tahun 2006 dan dikurniakan tiga cahayamata berusia 6, 11 dan 15 tahun.

Di awal perkahwinan, Mia mengakui dirinya seorang yang lemah lembut dan patuh terhadap suami.

Pun begitu, segala-galanya berubah selepas dia dinaikkan pangkat ke jawatan lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Dia berubah 100 peratus dari segi sikap dan tingkah laku terhadap suaminya.

Kegagalannya untuk menghayati dan mengamalkan ajaran termasuk tanggungjawab sebagai isteri menyebabkan dia hilang rasa hormat kepada suami sendiri.

Dia mula lupa diri dan lebih berasa hebat dan lebih baik daripada suaminya.

Dan disebabkan itu dia mula sombong dan segala tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak diserahkan kepada suami.

Mengimbas kembali detik pertemuan bersama suami, kira-kira 16 tahun lalu, kedua-duanya jatuh cinta ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan seorang kenalan.

Pada awalnya, Zainal enggan meneruskan perhubungan lebih serius memandangkan Mia berjawatan dan bergaji lebih tinggi daripadanya.

Zainal hanya seorang kerani di sebuah firma guaman , manakala Mia ketika itu pegawai di sebuah syarikat perbankan.

Bagaimanapun Mia tetap berkeras mahu meneruskan hubungan hingga ke jenjang pelamin dengan Zainal dan berjanji untuk susah senang bersama.

Selepas mencapai kesepakatan kedua-dua keluarga, pasangan ini diijabkabul dalam satu majlis sederhana tetapi meriah.

Awal perkahwinan, Mia dan Zainal begitu bahagia, lebih-lebih lagi selepas setahun berumahtangga mereka dikurniakan anak sulung, Azad (bukan nama sebenar).

Rezeki anak. Selepas habis berpantang dan kembali bertugas, Mia menerima khabar gembira.

Dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus. Sejak itu Mia semakin sibuk dan sering pulang lewat.

Segala urusan rumahtangga diserahkan kepada Zainal sepenuhnya termasuk soal menguruskan anak kecil mereka.

Disebabkan kesibukan itu juga Mia merancang untuk mendapatkan anak seterusnya hanya selepas Azad berusia tiga tahun.

Selepas melahirkan anak kedua mereka, Ainul (bukan nama sebenar), Mia menerima khabar gembira lagi.

Kali ini dia dinaikkan pangkat sebagai pengurus kanan.

Ketika ini rumah tangga pasangan ini mulai bergolak apabila Mia semakin tidak dapat mengimbangi antara tanggungjawab hakikat sebagai ibu, isteri dan tuntutan sebagai pekerja.

Sikap Mia juga berubah. Dia semakin cuba mengawal pergerakan Zainal.

Zainal tidak lagi dibenarkan untuk keluar bersosial atau melepak bersama kawan-kawan.

Setiap kali ingin keluar, Mia akan menyoal siasat ke mana , dengan siapa dan atas urusan apa.

Bukan itu sahaja, Mia bertanggungjawab mengawal duit gaji Zainal, keluar masuk dan perbelanjaan.

Tugasnya sebagai ketua yang mengarah arah anak buah kadang kala dibawa ke rumah ketika berdepan dengan suami.

Dan apa yang lebih teruk, Zainal seolah-olah bagai kerbau dicucuk hidung, terpaksa mengikut arahan Mia.

Takdir Allah siapa yang tahu. Sehinggalah ketika dia berdepan kesulitan melahirkan Maya, anak ketiganya.

Mia disahkan koma selama enam bulan. Zainallah yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan Mia sepanjang tempoh itu.

Selepas tersedar daripada koma, Mia mula insaf atas perbuatan dan layanan buruk terhadap suaminya.

Mengakhiri perbualan lewat petang itu, Mia sempat menitip pesan selain daripada tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah, isteri juga perlu faham tanggungjawab dalam memelihara maruah diri dan keluarga serta taat kepada suami.

Isteri wajib taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Jadi isteri yang baik bukannya susah tetapi hanya perlu terapkan dalam diri suami adalah lelaki yang perlu dihormati.

Jangan anggap diri terlalu besar sehingga lupa di mata letaknya kedudukan seorang isteri.

Mia mengakui cabaran hidup berumah tangga sangat kuat. Setiap perkahwinan dibina ada ujian yang mendatang.

Tiada salahnya jika isteri bergaji besar dan berjawatan tinggi, namun yang penting setiap suami isteri haruslah menjaga peranan dan tanggungajwab masing-masing sebagai suami isteri.

Mia mengakui kini lebih berhati-hati dalam pertuturan dan perbuatan.

Dia insaf dengan segala tingkah laku yang dilakukan kepada suami selama ini dan enggan menjadi isteri derhaka. Dalam perkahwinan, kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap pasangan mereka dan rumah tangga.

Mengabaikan boleh menyebabkan akibat yang buruk di dunia dan diakhirat.

Ini kerana kunci untuk memasuki syurga bagi isteri terletak pada keredaaan suaminya.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, bermaksud:
Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti saya akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya. (Riwayat al-Tarmizi: 1159).
Hadis ini jelas menunjukkan kedudukan suami serta tanggungajawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri ke atas suaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya