Ketagih hidup mewah Amira jadi 'pelacur berijazah' - Utusan Malaysia

Ketagih hidup mewah Amira jadi ‘pelacur berijazah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cabaran kehidupan seorang pelajar institusi pengajian tinggi hari ini cukup hebat. Selain berdepan dengan tekanan untuk menamatkan pengajian, para pelajar perlu memikirkan kos pengajian yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

Itu belum termasuk kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya.

Ramai yang memilih melakukan kerja sambilan seperti bekerja di restoran makanan segera, stesen minyak, kedai makan dan sebagainya.

Namun disebalik kerja sambilan yang ‘biasa-biasa’ itu ada segelintirnya memilih untuk bekerja sambilan sebagai pelacur sambilan atau Call Girl.

Minggu ini saya kongsikan kisah Amira (bukan nama sebenar) yang pernah menjadi Call Girl semasa menuntut di salah sebuah universiti lebih dua dekad lalu.

Kisah Amira dikongsikan sendiri olehnya melalui kiriman emel kepada saya dua minggu lepas.

Dalam emelnya, Amira menafikan perkongsiannya itu untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya lebih kepada memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

Amira yang kini berusia pertengahan 40-an itu turut menyatakan kesediaannya untuk berkongsi kisah itu kerana isu pelajar IPT ‘terpaksa’ melacur bukan hanya berlaku kalangan mahasiswa pada zamannya, tetapi masih berlaku pada hari ini.

Lebih-lebih lagi kos sara hidup tinggi selain keghairahan untuk hidup mewah.

Menceritakan secara ringkas punca dia terjebak dalam masalah sosial itu kerana desakan hidup.

Kedua ibu bapanya berpisah. Disebabkan dibelenggu kemiskinan lantaran bapa meninggalkan ibu dan Amira serta dua adik yang masih kecil tanpa nafkah.

Pekerjaan sambilan yang dilakukan itu menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat tanpa perlu bekerja keras.

Hanya perlu melayan dan mengikut kehendak serta kemahuan nafsu lelaki hidung belang.

Selain Amira, ada beberapa lagi rakannya yang terlibat dalam kegiatan itu.

Melayan, menghiburkan serta bermesra dengan pelanggan merupakan tugas utama mereka.

Pegang-pegang dan raba-raba bukanlah perkara aneh kepadanya. Pun begitu, secara jujur Amira mengakui sepanjang melakukan kegiatan itu selama tiga tahun semasa masih bergelar mahasiswa dia tidak pernah ditiduri mana-mana pelanggan.

Sehinggalah dia bertemu dengan Nazmi, (bukan nama sebenar) juga salah seorang pelanggannya.

Pun begitu dia tidak menafikan ada antara rakan-rakannya yang telah bersara dan menjalankan kehidupan biasa setelah mempunyai pekerjaan dan berumahtangga.

Berbeza dengan Amira. Dia ketagih kerana mudah mendapat wang sehingga dia terus terjebak dalam kegiatan itu walaupun sudah tamat pengajian.

Bertemu jodoh dengan Nazmi, namun perkahwinan mereka hanya bertahan lapan bulan. Ini kerana Nazmi sering mengungkit pekerjaannya sebelum ini.

Disebabkan limpahan wang yang mampu diraih dengan mudah membuatkan Amira rela terus menjadi pelacur dengan melayan lelaki kaya hingga ke ranjang.

Setahun selepas itu Amira berkenalan pula dengan Zack (bukan nama sebenar).

Bagaimanapun, hubungan mereka putus selepas lelaki itu melanjutkan pengajian di luar negara atas desakan keluarga.

Amira yang seperti ketagih seks dan dahagakan kasih sayang kemudiannya bertaut kasih pula dengan Razak (bukan nama sebenar).

Pun begitu, hubungan Amira dan Razak hanya sekadar untuk melempiaskan nafsu masing-masing dan bukan kerana cinta atau rasa tanggungjawab.

Razak juga seorang lelaki yang datangnya dari keluarga kaya dan Amira dimewahkan dengan wang ringgit dan barangan berjenama.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Razak maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada satu malam.

Sejak ketiadaan Razak, Amira mula memburu lelaki kaya dan berhidung belang tanpa mengira usia.

Amira tidak perlu bekerja seperti rakan-rakan lain. Dia hanya perlu menghubungi mana-mana lelaki menawarkan khidmatnya. Hampir dua tahun Amira meneruskan kegiatan tidak bermoral itu.

Kadang kala, terbit juga penyesalan di hatinya. Namun bila melihat kemewahan yang sedang dinikmati, dia lupa diri.

Tidak lama kemudian, Amira berkenalan pula dengan Noh, (bukan nama sebenar), lelaki berusia pertengahan 50-an yang juga suami dan bapa kepada dua anak itu.

Amira benar-benar jatuh cinta dengan lelaki yang layak dipanggil bapa itu.

Lelaki itu juga mengajar erti kasih sayang, malah sering menasihati Amira agar kembali ke pangkal jalan.

Hampir enam bulan mengenali hati budi, Noh melamar Amira. Walaupun tidak direstui keluarga, Noh tetap dengan keputusan tanpa meninggalkan isteri pertama.

Sebulan kemudian mereka berkahwin tanpa restu keluarga Noh. Perkahwinan tanpa restu, akhirnya Noh terpaksa menceraikan Amira dengan talak satu selepas melahirkan anak mereka.

Menerusi kiriman emel tersebut, Amira mengakui walaupun bercerai, Noh tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak mereka iaitu, Sofia (bukan nama sebenar).

Sebagai ibu, jauh di sudut hatinya mahu melihat Sofia membesar sebagai anak yang dilimpahi kasih sayang ibu dan bapa.

Dalam masa sama, dia mahu menguburkan kisah silamnya.

Selepas diijab kabul bersama Noh, Amira sudah menanam azam untuk bertaubat.

Walaupun jodoh dengan lelaki itu tidak panjang, dia tetap istiqomah untuk menjadi seorang yang lebih baik dan sentiasa berdoa agar Allah menerima taubatnya. Sebagaimana Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri. (Al-Baqarah: 222).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×