Kasih terlerai di hujung usia, angkara orang ketiga - Utusan Malaysia

Kasih terlerai di hujung usia, angkara orang ketiga

TIDAK dapat dibayangkan hidup berpuluh tahun bersama, tetapi akhirnya dikhianati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSAMA dengan pasangan hingga ke akhir hayat sepertinya menjadi kisah cinta yang didam-idamkan kebanyakan orang.

Namun tiada sesiapapun yang dapat menjamin hidup kekal bahagia bersama pasangan.

Perpisahan boleh terjadi kerana kematian atau bercerai hidup.

Hakikatnya, perceraian tidak mengenal usia. Ada yang bercerai pada usia muda dan tempoh perkahwinan begitu singkat.

Namun tidak juga dinafikan kemungkinan perceraian terjadi ketika suami dan isteri berusia lanjut, pernikahan yang sudah berlangsung puluhan tahun.

Ada banyak sebab antaranya kemunculan orang ketiga, masalah kesihatan, perselisihan sejak sekian lama yang belum diselesaikan atau mungkin ada yang merasa tidak bahagia lagi hidup bersama pasangan.

Namun apapun alasan perceraian, akar mendasarinya tetap satu iaitu tidak ada lagi ikatan suci yang memberi pelbagai nikmati disertai amanah dan tanggungjawab antara keduanya.

Minggu ini saya kongsikan kisah Salleh dan Maimon (bukan nama sebenar), pasangan yang bercerai pada usia lanjut,

Pengalaman menyedihkan itu diceritakan kepada saya oleh anak bongsu pasangan itu sendiri, Aida (bukan nama sebenar) baru-baru ini.

Menurut Aida, bapanya bermain kayu tiga di belakang ibunya sejak lima tahun lalu, tetapi baru tahun lalu sampai ke pengetahuan mereka adik beradik.

Lebih menyedihkan perbuatan tersebut dilakukan bapa mereka berulang kali sehingga ibu keluar masuk masuk hospital.

Bapa Aida dipercayai menjalin hubungan cinta dengan seorang janda yang berkerja di pejabatnya.

Ibu tidak menyangka bapa tergamak berbuat demikian sedangkan lelaki itu telah berjanji sehidup semati dengannya.

Tidak dapat dibayangkan hidup berpuluh tahun bersama, melihat anak membesar, hadapi susah senang berdua dan akhirnya dikhianati.

Salleh dan Maimon, masing-masing berusia 59 tahun.

Maimon seorang suri rumah tangga, manakala Salleh seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan dan akan bersara pada tahun depan.

Daripada apa yang diceritakan ibu, rupa-rupanya bapa telah menjalinkan hubungan secara senyap dengan janda anak dua itu sejak hampir lima tahun.

Ketika mendapat tahu, ibu sangat-sangat kecewa. Pun begitu ibu hanya menahan sabar dengan perlakuan bapa.

Sejujurnya Aida dan adik beradik lain tidak tahu apa yang berlaku antara ibu dan bapa.

Dua abang dan kakak Aida masing-masing mempunyai keluarga sendiri dan tinggal berjauhan.

Aida ketika itu masih menuntut di tahun akhir di pusat pengajian tinggi.

Dua minggu sekali Aida akan pulang ke rumah untuk menghabiskan masa bersama kedua ibu bapanya.

Ibu tidak pernah menceritakan apa yang berlaku antaranya dan bapa sehinggalah pada satu hari ibu terlepas cakap mengenai pergolakan rumahtangga mereka.

Selama ini juga, anak-anak tidak dapat membaca apa yang berlaku antara ibu dan bapa mereka.

Setiap kali mereka sekeluarga berkumpul, ibu dan bapa bersikap seperti biasa .

Setelah mendapat tahu apa yang berlaku, Aida mengambil keputusan mengadakan pertemuan dengan dua abang dan kakaknya untuk mencari penyelesaian.

Pertemuan diatur tanpa bertangguh. Pada awalnya bapa cuba menafikan kecurangannya kepada ibu.

Namun setelah didesak, akhirnya bapa Aida mengaku dan berjanji akan memutuskan hubungannya dengan wanita itu.Tidak sampai sebulan, ibu jatuh sakit apabila mendapat tahu bapa masih menjalinkan hubungan dengan wanita itu.

Ibu dikejarkan ke hospital apabila jatuh pengsan berikutan bacaan darahnya terlalu tinggi.

Selepas pulang dari hospital, bapa melayan ibu seperti biasa dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ibu memaafkan sekali lagi perbuatan bapa dengan alasan masih mahu menyelamatkan rumahtangga yang sudah lama dibina.

Dan ibu juga mengatakan rasa sayang yang masih menebal kepada bapa walaupun sudah diduakan di belakangnya.

Maka, bapa diberi peluang sekali lagi untuk berubah demi membuktikan cinta kepada ibu masih ada.

Namun, selepas diberi peluang kedua, rupa-rupanya bapa masih belum insaf. Selang sebulan, bapa buat perangai lagi.

Kemuncak kepada kesabaran ibu apabila bapa dicekup berkhalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet.

Aida tidak tahu ketika itu, perlu lagikah ibu menerima semula suami dalam kehidupannya walau selepas berulang kali dikhianati.

Segalanya terpulang kepada ibu. Hanya ibu yang kenal siapa suaminya. Hanya ibu yang akan berdepan dengan lelaki itu untuk hari-hari yang mendatang.

Jika ibu yakin bapa akan berubah juga satu hari nanti, tiada salahnya ibu setia.

Pun begitu, tiada siapa yang dapat menolak takdir. Akhirnya pada penghujung Jun tahun lalu, bapa menceraikan ibu dengan talak satu.

Walaupun Aida dan adik beradik lain sukar untuk menerima perkara itu, namun siapalah mereka untuk menolak takdir.

Biarpun diduga dengan perpisahan di penghujung usia, ibu reda dengan ketentuanNya.

Aida yang baru beberapa bulan memulakan pekerjaan di sebuah syarikat swasta itu kini kembali tinggal bersama ibunya.

Fokus utama ibu ketika ini adalah untuk mendekati diri kepada Allah Taala.

Biarpun jodoh ibu dan bapa mereka menemui titik noktah, namun ibu tetap memaafkan bapa.

Ibu sering berpesan, walau apapun kesilapan yang dilakukan lelaki itu, dia tetap bapa yang perlu disayangi dan dihormati.

Islam tidak melarang terjadinya perceraian, tetapi Allah SWT tidak menyukainya. Islam menganjurkan pasangan suami isteri untuk mencari jalan keluar dan perceraian hanyalah sebagai jalan paling terakhir untuk menyelesaikan masalah.

Sebagaimana dalam surah al -Baqarah ayat 227 bermaksud:
Dan jika mereka berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×