Bahana asap rokok kepada kanak-kanak

Bahana asap rokok kepada kanak-kanak

Muhammad Redzwan S. Rashid Ali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ramai tidak mengendahkan larangan merokok di tempat awam khususnya di premis makanan dan kedai kopi meskipun ia dikuatkuasakan sejak Januari 2019. Malangnya, masih ramai perokok tegar tanpa segan silu menyalakan api rokok dan menghembus asap rokok tanpa memikirkan perbuatan mereka itu boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang sekeliling mereka.

Kanak-kanak dikategorikan sebagai perokok pasif. Ini kerana mereka menyedut asap rokok disebarkan perokok.

Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Pernafasan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, berkata perokok pasif adalah mereka yang tidak merokok namun terdedah dek asap rokok.

Mereka menghidu asap rokok apabila terdapat perokok aktif menghembuskan asap secara terbuka.

“Perokok pasif dan perokok ketiga menanggung bahaya kerana mereka menyedut lebih banyak toksin dalam asap yang terbebas daripada pembakaran rokok. Seperti yang kita tahu, kebanyakan rokok terdapat penapis yang menghalang perokok aktif daripada menyedut toksin tertentu.

“Mereka menyedut asap sisa pembakaran hujung rokok yang mempunyai kandungan agen penyebab kanser (carcinogens) yang lebih tinggi. Asap rokok yang dihembus mempunyai partikel lebih halus daripada yang terkandung dalam asap rokok disedut perokok aktif. Partikel halus ini lebih mudah diserap ke dalam paru-paru, permukaan kulit dan salur darah,” katanya kepada Seri.

Risiko kesihatan bagi perokok pasif sama seperti perokok tegar.

“Perokok pasif mudah mendapat asma atau lelah, risiko mendapat jangkitan paru-paru, pertumbuhan paru-paru terganggu, masalah pembelajaran terbantut dan sindrom kematian mengejut bayi,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya perlu mengelakkan diri daripada menjadi perokok pasif.

“Perokok, jangan membawa pulang saki baki asap rokok ke rumah dan tidak menyebabkan keluarga kita menjadi perokok pasif. Elakkan daripada melalui kawasan yang penuh dengan asap-asap rokok.

“Dengan kata lain, jangan duduk berdekatan dengan perokok. Sekadar menutup hidung tidak mencukupi kerana biarpun kita mencuba untuk mengelakkan asap daripada memasuki udara pernafasan kita, asap rokok tersebut masih boleh melekat pada baju kita. Misalnya, sekiranya anda berada di stesen bas, dan tiba-tiba seorang perokok sedang menghisap rokok di sebelah anda, teruslah beredar dari situ. Lebih elok jika kita beredar pada saat ketika perokok belum lagi menyalakan rokok,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menjaga kebersihan tangan dan badan.

“Bersihkan diri sebaik sahaja tiba di rumah.

“Kita tidak pasti sekiranya kita ada tersentuh atau sudah berada di kawasan yang pernah dilalui perokok. Jadi, cara terbaik adalah membasuh tangan sejurus pulang di rumah dan menyalin pakaian terlebih dahulu, sebelum menyentuh anak-anak kita atau membuat kerja-kerja yang lain di rumah.

“Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan saki-baki asap dan bahan rokok yang telah melekat pada badan dan pakaian kita. Ia sekali gus dapat mengurangkan pendedahan bahan rokok kepada ahli keluarga dan mengurangkan jumlah perokok ketiga setelah tiba di rumah,” jelasnya.

Perokok tegar bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka kepada bahaya penyakit tertentu akibat merokok, tetapi kemungkinan kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda anak-anak mereka.

Kesan:

  • Mata kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok secara kerap akan mudah berair dan lebih kerap berkedip.
  • Kerosakan otak dan mental di mana pada jangka masa panjang membawa kepada tumor otak.
  • Saluran pernafasan juga akan merosot dan berlaku gejala pernafasan kronik seperti batuk, kahak, asma/ lelah, dan jangkitan paru-paru.
  • Jangkitan di telinga.
  • Peningkatan risiko penyakit jantung.
  • Melecur atau terbakar dalam kebakaran yang berpunca daripada bara rokok.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.