Dulu 'di awan biru' kini di padang golf - Utusan Malaysia

Dulu ‘di awan biru’ kini di padang golf

MARRY PUSPA JULU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dahulu dia mempersiapkan diri mengenakan pakaian seragam, bersolek agar kelihatan manis dan cantik kerana perlu melayan pelanggan ketika bertugas di ‘awan biru’ bersama syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

Kini, rutin yang sama juga dilakukannya – memakai pakaian yang kemas dan bersolek untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan, namun kali ini bukan di ‘awan biru’ tetapi di padang golf yang menghijau.

Itulah rutin kehidupan bekas pramugari, Marry Puspa Julu, 25, yang kini bergelar kedi sambilan di Kelab Golf Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Memang tidak terlintas di fikiran saya untuk jadi kedi sewaktu bekerja sebagai pramugari dahulu. Tetapi inilah realiti kehidupan saya kini. Kalau dahulu sentiasa berhawa dingin, tetapi sekarang terpaksa berpanas dan hujan,” katanya memulakan bicara ketika ditemu bual Utusan Malaysia di Kelab Golf UPM.

Meneruskan ceritanya, Marry yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, selepas diberhentikan kerja Ogos lalu selepas lebih dua tahun berkhidmat sebagai pramugari MAS, dia mengalami tekanan perasaan kerana hilang mata pencarian secara tiba-tiba.

SERTAI RATU CANTIK

Hampir sebulan berstatus penganggur, wanita berbangsa Iban Bidayuh itu yang pernah menyertai pertandingan Miss Malaysia Earth Glamour Look 2016, Sarawak Earth Queen 2016 dan Miss China Asean Etiquette Smiling Star 2018 bagaimanapun pantas bangkit daripada kemurungan dan tekanan.

Tidak mahu terus diulit kemurungan, Marry sedaya upaya cuba menyesuaikan diri dengan perubahan rutin kehidupan baru walaupun hampir mengalami tekanan perasaan selepas diberhentikan.

“Memang saya akui tertekan selepas kehilangan kerja dan pendapatan kerana dalam keluarga hanya saya yang bekerja dan perlu menanggung ibu dan adik-adik. Tambahan pula ayah sudah tiada.

“Tetapi kini saya bangkit dengan semangat baharu. Langkah pertama saya mencuba nasib berniaga secara dalam talian sebelum bertemu dengan kerjaya sebagai kedi melalui aplikasi mencari kerja jobstreet.

 

Kerja kedi tidak jauh berbeza dengan tugas pramugari.

PENDAPATAN LUMAYAN

“Buat masa sekarang, saya hanya menjadi kedi sambilan pada Sabtu dan Ahad. Hari-hari lain saya beri tumpuan kepada perniagaan online seperti menjual emas, popia dan laksa Sarawak,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Bagaimanapun, Marry memberitahu, pendapatan lumayan yang diperoleh hasil khidmat sebagai kedi sehingga adakala mencecah RM500 sehari menyebabkan dia mempertimbangkan hasrat untuk bekerja sepenuh masa.

Marry mengakui pada peringkat awal dia teragak-agak menjadi kedi berikutan kerjaya itu sering dikaitkan dengan elemen negatif. Namun dia mencabar diri untuk merasainya terlebih dahulu daripada terus membuat andaian sendiri.

“Bekerja sebagai kedi tidak seperti apa yang diperkatakan. Ia memerlukan individu memiliki kecerdasan dan kemampuan dalam menganalisis pukulan pemain golf selain perlu belajar tentang ilmu atau etika golf.

“Saya kira kita tidak boleh memberikan tanggapan negatif kerana kebanyakannya tidak seperti apa yang diperkatakan jika kita pandai jaga diri,” katanya.

Mengenai bayaran gaji, Marry menjelaskan ia dibayar secara harian, selain memperoleh tip daripada pemain. Kerjaya kedi dengan pramugari tidaklah begitu banyak perbezaan.

Katanya, jika dahulu dia hanya berkhidmat apabila diperlukan sahaja tetapi sebagai kedi, ia memerlukan pemerhatian kepada pemain setiap masa.

“Saya dah lama inginkan pekerjaan seperti ini, bukan hanya tangga gaji yang lumayan malah saya gemar untuk belajar pelbagai teknik bermain golf yang tidak semua orang berpeluang merasainya,” katanya.

 

MARRY (tengah) dan dua lagi rakan wanita yang bekerja sebagai kedi di Kelab Golf UPM, Serdang.

Katanya, walaupun baru bekerja kira-kira tiga bulan, dia yakin untuk kekal bekerja sebagai kedi buat masa ini dan tanggapan negatif yang diberikan itu bukan menjadi masalah baginya.

“Saya tidak kisah jika orang pandang serong sedangkan saya tahu pekerjaan ini tidak seperti apa yang mereka fikirkan,” katanya.

Ditanya adakah dia akan kembali dalam dunia penerbangan, Marry menegaskan, tidak buat masa sekarang sehinggalah penularan Covid-19 pulih.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×