fbpx

22 Mei 2022, 2:54 pm

  TERKINI

Istimewa jangek kulit kerbau

Sungguh lembut gulai tunjang di sini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pak cik saya, yang memba­ngunkan jenama Sari Ratu Prima pernah cakap, sesiapa yang tak menggemari masakan Padang dan makanan Minang, orang itu boleh disembahyangkan,” kata Deddy Marizon secara seloroh kepada Mingguan Malaysia.
Deddy, 54 ialah Pengurus Besar Operasi di restoran Sari Ratu Prima, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang merupakan jenama besar dalam arena masakan Padang di negara ini.
“Kami antara katerer utama kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur, dan sering mendapat jemputan membekalkan mereka dengan masakan khas Padang.
“Sari Ratu Prima juga sering mendapat sambutan dalam kalangan diplomat Indonesia yang hadir ke Malaysia, dari Atase sehinggalah ke Pak Menteri,” jelasnya.

RAHSIA AIR TANGAN
Tak lokek berkongsi pengalaman, dia berkat, kekuatan utama restoran terletak pada teknik memasak, selain kepelbagaian rempah ratus khas Padang.
“Bak kata orang Minang, masakan Minang ini walaupun bumbunya sama antara satu restoran dengan yang lain, tapi air tangan masing-masing berbeza, lain tangan lain rasanya.
“Di sini, kepala masak kami (ketua cef) ialah saudara saya sendiri, jadi kami tak khuatir kerana masing-masing ada tanggungjawab memelihara legasi restoran yang diikat melalui pertalian saudara,” katanya.
Ceritanya lagi, kekuatan di sini adalah menu laku keras termasuk gulai kikil, ayam pop, ‘ikan terbang’, aneka rendang dan adakala gulai otak serta babat.
“Pertama sekali, bahan mentah haruslah segar. Setiap pagi saya mendapatkan bekalan dari pembekal tempatan. Lagi satu, ayam di sini gunakan ayam kampung tulen, bukan ayam pencen mahupun ayam dara.
“Ini kerana untuk masakan Minang, kami menggulai dengan api besar dalam periuk besar, jadi kalau guna selain ayam kampung tulen, isi akan hancur dan rasa gulai tak sedap,” terangnya.

HIDANGAN PERIUK TANAH
Katanya, Sari Ratu Prima yang pertama menghidangkan makanan Minang dalam periuk tanah liat (clay pot), sekali gus memberi identiti kepada jenama itu.
“Dari Bukit Tinggi di Indonesia sampailah ke Kuala Lumpur, kami yang pertama menghidangkan gulai Minang dalam periuk tanah liat. Ini kerana, kami perhatikan orang Malaysia gemar makan hidangan panas-panas dalam periuk sebegini, maka dari situ timbul ilham menggunakannya,” jelasnya.
Sesuai dengan sifat bangsa Melayu yang sangat meraikan tetamu, kehadiran krew Mingguan Malaysia disambut dengan puluhan pinggan lauk-pauk aneka jenis dan berwarna-warni.
Antara yang paling memukau adalah gulai tunjang. Dihidang dalam periuk tanah liat, ia memberi sensasi rasa yang lain macam enaknya.
“Tunjang atau disebut kikil, adalah bahagian urat keting lembu. Di sini, ia direbus sampai benar-benar empuk, iaitu lebih enam jam. Sebab itu, kelembutannya sampai tak perlu dikunyah,” katanya.

AYAM POP, JANGEK
GORENG DISADUR KUAH
Namun, semua menu itu tak tertanding dengan keenakan ayam pop di sini. Menurut Deddy, sejarah menu ini terletak pada nama hidangan.
“Ia bermula di Jakarta, apabila hidangan ayam direbus dalam air rebusan yang kaya rempah ratus, kemudian digoreng jeluk dalam tempoh tertentu. Kemahiran ini menghasilkan hidangan ayam luar biasa enaknya.
“Apabila ia jadi sohor, maka orang di sana panggilnya ‘ayam popular’. Tapi mahu disingkatkan lagi, akhirnya jadilah ‘ayam pop’,” katanya.
Selain itu, jika berkunjung ke sini, jangan lupa memesan hidangan luar biasa iaitu jangek goreng yang disadur kuah asam pedas atau kuah gulai Minang.
Istimewanya hidangan jangek atau kulit di sini menggunakan kulit kerbau berbanding kulit lembu. Bahagian itu digoreng rangup sampai kembang seperti belon, kemudian dibungkus siap-siap. Pelanggan yang ingin memesannya disarankan meminta pelayan menyediakan kuah untuk hidangan tersebut.
“Kalau makan jangek sahaja, ia sering melekat di tekak dan nanti rasa kurang selesa. Jadi, disyorkan agar letak kuah untuk melembutkannya, dan rasa kuah yang meresap dalam jangek itu nescaya akan melazatkan lagi hidangan. Makan pula dengan nasi panas, sekali rasa pasti hendak lagi,” kata­nya.

Restoran
Sari Ratu Prima
Konsep: Masakan autentik Padang dan Minangkabau
Alamat: 1-7, Centrio Pantai No, 1, Jalan Pantai Murni, Pantai Hillpark, Kuala Lumpur
Menu laku keras: Jangek kulit kerbau disadur kuah, ayam pop, rendang daging, dendeng batokok, gulai tunjang
Telefon: 03-2242 4823

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI