Turki, Malaysia bekerjasama bangun industri aeroangkasa - Utusan Malaysia

Turki, Malaysia bekerjasama bangun industri aeroangkasa

TEMEL Kotil menyampaikan cenderamata kepada Mohammad Azmin Ali sambil disaksikan oleh Merve Kavakci pada majlis perasmian pejabat Turkish Aerospace di Cyberjaya, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Turkish Aerospace telah memilih Malaysia sebagai pangkalannya di Asia Tenggara apabila syarikat aeroangkasa Turki itu secara rasmi telah membuka pejabatnya di Cyberjaya dan sekali gus akan bekerjasama dengan negara ini dalam membangunkan industri tersebut.

Pejabat yang terletak di Kampus Cyberview Futurise itu adalah pejabat kejuruteraan dan reka bentuk pertama syarikat itu di rantau ini.

Serentak dengan itu juga Turkish Aerospace akan meneruskan pelaburan dan kerjasamanya di Malaysia untuk pembangunan teknologi generasi baharu, khususnya dalam bidang pertahanan
dan penerbangan.

Sebagai salah satu syarikat terkemuka dalam industri penerbangan global, ia telah meluaskan lagi jangkauannya dengan menubuhkan lebih daripada 10 pejabat teknologi seluruh dunia.

Dalam kerjasama ini, jurutera Turki dan Malaysia akan bekerja di pejabat baharu untuk menjalankan kajian bersama dalam pelbagai bidang termasuk kenderaan udara tanpa pemandu, jurulatih jet, projek helikopter, dan program pemodenan untuk penerbangan global ekosistem.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohammad Azmin Ali ketika berucap merasmikan pejabat itu berkata, pembukaan pejabat reka bentuk dan kejuruteraan Turkish Aerospace yang pertama di Malaysia itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam pembangunan industri berkenaan.

“Turki adalah antara negara yang pesat berkembang dalam teknologi pertahanan dan aeroangkasa serta telah mendahului dunia Islam lain,” katanya.

Menteri Kanan itu juga berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki juga terus berkembang dan semakin kukuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Prof. Temel Kotil pula berkata, dengan jurutera tempatan yang akan bekerja di syarikat itu ia akan membantu mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan membolehkan mereka melakukan kajian untuk memajukan projek bersama dalam bidang penerbangan, angkasa dan pertahanan.

“Kami menyasarkan untuk melebarkan pengalaman kami dalam bidang ini dalam rangka kerjasama dengan Malaysia dan untuk mengukuhkan industri penerbangan global terutama di rantau anda.

“Saya berharap dengan pembukaan pejabat di Malaysia ini akan memberi manfaat dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Duta Turki ke Malaysia, Dr. Merve Kavakcı juga berharap agar kehadiran Turkish Aerospace secara fizikal di Malaysia akan memberi manfaat bersama terutama dalam hubungan antara kedua-dua negara.

“Kami mempunyai hubungan perdagangan dan politik yang kuat dengan Malaysia dan sudah tentu kami mahu meningkatkan lagi melalui kerjasama baharu ini dalam bidang pertahanan ini.

“Malaysia adalah rakan strategik dan perdagangan kami yang terbesar di Asia Tenggara. Pembukaan pejabat (Turkish Aerospace) hari ini menandakan bahawa syarikat Turki yakin dengan kekuatan, kestabilan dan kemakmuran Malaysia,” katanya.

Sehingga Jun 2021, sejumlah 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah diluluskan di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM510.4 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN