PETALING JAYA: Kempen `Siap, Sedia, Raya’ anjuran Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) berjaya memperoleh tempahan jualan sebanyak RM572 juta.
Sepanjang kempen berlangsung dari 15 April hingga 31 Mei lalu, syarikat itu berjaya memperoleh tempahan jualan bagi 662 unit hartanah dan rumah kediaman di 14 perbandaran miliknya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, rancangan pelancaran taktikal syarikat dan insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2021 yang dijalankan oleh kerajaan terbukti menjadi gabungan yang hebat untuk kempen tersebut.
Katanya, faktor sokongan lain seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan penghapusan 70 peratus margin had pembiayaan bagi harta kediaman ketiga turut menyumbang kepada kejayaan kempen berkenaan.
“Pencapaian ini adalah susulan daripada pengambilan jualan menggalakkan pada kadar lebih 90 peratus yang telah diperolehi syarikat sejak awal tahun ini.
“Strategi jualan dan rancangan pemasaran kami dalam menawarkan produk yang selaras dengan keperluan lokasi, serta yang paling penting, jualan pada titik harga yang tepat telah terbukti berkesan.
“Dengan lanjutan HOC yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, kami menantikan sambutan yang sama untuk pelancaran syarikat yang akan datang sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Azmir, berdasarkan trend pembelian pelanggan, syarikat meramalkan permintaan untuk produk jenis kediaman bertanah akan semakin meningkat dan Sime Darby Property berusaha untuk memenuhi dengan produk baharu dan sedia ada.
Pelancaran terbaharu Sime Darby Property iaitu hartanah kediaman berstatus pegangan bebas terbukti popular dalam kalangan pembeli rumah.
Antaranya, sebanyak 187 unit Elmina Green Four bernilai RM144 juta dan 32 unit Hevea Phase 2 bernilai RM67 juta telah terjual di City of Elmina, Shah Alam.
Projek Lyra 2 di Bandar Bukit Raja turut popular dalam kalangan bakal pembeli dengan 93 unit terjual dengan jumlah tempahan sebanyak RM68 juta.
Koridor Selatan pula popular dalam kalangan pembeli rumah dengan mencatatkan tempahan jualan bagi 18 unit bernilai RM25 juta di Planters’ Haven, Negeri Sembilan dan 19 unit Harmoni Permai di Bandar Universiti Pagoh, Johor turut ditempah semasa kempen dijalankan, katanya.
Kempen ‘Siap, Sedia, Raya’ menawarkan pembeli rumah sehingga RM10,000 tawaran Hari Raya di samping pakej jualan semasa untuk hartanah terpilih.
Tawaran itu termasuk faedah daripada ‘Your Instalments on Us’ sehingga 36 bulan di hartanah terpilih di samping kempen HOC kerajaan. – UTUSAN










