PETALING JAYA: Berjaya Corporation Berhad (BCorp) mengumumkan pelan strategik tiga tahun yang menyasarkan untuk menjadikan konglomerat itu sebagai organisasi terinstitusi berprestasi tinggi menjelang 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Abdul Jalil Abdul Rasheed berkata, pelan itu akan mentransformasikan BCorp kepada kumpulan syarikat berasaskan pengguna dengan segmen perniagaan teras berfokus yang setiapnya diterajui oleh ketua sektor dengan pemantauan daripada beliau sendiri.
Kata beliau, lima segmen perniagaan tersebut melibatkan segmen runcit dengan fokus pemasaran pengguna dan pengedaran; makanan dan minuman (francais makanan dan perdagangan makanan); hartanah (pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan perumahan mampu milik); hospitaliti (hotel dan resort serta kelab rekreasi) serta perkhidmatan (pemainan video, alam sekitar, perkhidmatan digital dan teknologi kewangan).
“Proses ini akan mengoptimumkan sumber kami dengan lebih baik, meningkatkan sinergi dan kecekapan dalam kumpulan serta menambah baik pentadbiran korporat dan ketelusan.
“Ini akan mentransformasikan BCorp ke arah organisasi berprestasi tinggi dan merealisasikan nilai tersembunyi perniagaan kami,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya.
Menurut Abdul Jalil, proses penstrukturan semula kumpulan itu akan melibatkan potensi penggabungan dan pemerolehan (M&A), usaha sama (JV) dan penyenaraian lima hingga enam syarikat; pemberhentian pelaburan untuk tempoh dua hingga lima tahun dengan sasaran pulangan RM2 bilion hingga RM5 bilion dan sasaran hutang RM2.5 bilion untuk tiga tahun.
Pihaknya turut mengenal pasti 60 syarikat lengai (dormant) di bawah pengurusannya yang akan ditutup selepas melalui proses audit dan ketekunan wajar lain.
Kata beliau, usaha pemberhentian pelaburan yang dicadangkan masih dalam pemerhatiannya yang mana masih belum ada jumlah khusus syarikat terlibat dapat diberikan.
“Nombornya masih bergerak. Ada (perkara) yang mempengaruhi (jumlah) secara signifikan dan ada yang tidak. Maksudnya, ada syarikat yang jika kami jual, dapat memberikan pulangan wang yang banyak dan ada yang tidak memberikan pulangan besar tetapi boleh ‘membersihkan’ syarikat dengan cukup, mengurangkan sumber supaya kami boleh fokus kepada perkara lain.
“Dari segi sektor, terdapat sektor yang tidak bersinergi dengan baik untuk kumpulan, yang kami perlu lihat semula. Apa yang kami perlu jelas, (sektor) apa yang baik untuk kami selama ini dan di mana kami mempunyai kelebihan persaingan,” katanya. – UTUSAN