SETIAP usahawan sudah pasti mahukan landasan yang terbaik dalam memperkukuh dan melonjakkan lagi potensi perniagaan. Selain memastikan pengurusan operasi, produk dan khidmat yang berkualiti, setiap perniagaan juga perlu menjaga kepentingan pelanggan melalui elemen pemasaran dan promosi yang efektif agar dapat terus bersaing dan berkembang maju.
Namun, perubahan norma gaya hidup disebabkan krisis pandemik ini telah memberi implikasi terhadap peralihan budaya pasaran dan menyaksikan kenaikan penggunaan aplikasi digital sebagai medium pilihan dalam kadar yang drastik. Ia secara tidak langsung telah memaksa segenap sektor perniagaan untuk menilai kembali keberkesanan strategi yang
telah dirancang.
Atas faktor tersebut, kepentingan memiliki pangkalan data pelanggan menjadi keperluan bagi memastikan komunikasi dan perhubungan bersama pelanggan dan prospek pasaran dapat terus diperkukuh demi kelangsungan perniagaan dalam cabaran persekitaran ekonomi yang masih tidak menentu ini.
Terdapat beberapa cara dalam membina pangkalan data pelanggan. Antara maklumat asas pelanggan yang diperlukan adalah nama, nombor telefon dan alamat termasuk e-mel. Empat asas ini dapat membantu dalam membina perhubungan dan komunikasi pemasaran yang kos efektif.
TAWARAN DAN PROMOSI ISTIMEWA
Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat pelanggan. Antara yang menjadi pilihan bagi kebanyakan perniagaan adalah dengan menawarkan keahlian kepada pelanggan untuk mendapatkan diskaun atau mata ganjaran bagi setiap pembelian, promosi baucar diskaun bermusim atau menganjurkan peraduan atau cabutan bertuah kepada pelanggan.
Melalui tawaran seperti ini, setiap peserta perlu mengisi borang pendaftaran dengan menyertakan maklumat peribadi sebagai syarat kelayakan. Asas data juga dapat diperincikan merangkumi jantina, pekerjaan, hobi serta pelbagai lagi maklumat diperlukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang gaya hidup, aktiviti serta perkara yang mempengaruhi minat pelanggan.
Setiap maklumat yang diperoleh boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan informasi terkini seperti promosi dan input
produk atau perkhidmatan melalui emel, komunikasi digital atau risalah fizikal kepada pelanggan.
Ia turut membantu dalam membina sentimen pelanggan setia.
ANALITIK LAMAN SESAWANG, E-DAGANG DAN MEDIA SOSIAL
Memanfaatkan potensi digital dengan data analitik bagi mengenal pasti trend pasaran juga menjadi salah satu pilihan
peniaga. Ia dapat membantu membina maklumat terhadap trend pengunjung ke laman sesawang dan e-dagang melalui
plugin percuma hinggalah khidmat terperinci berbayar.
Selain itu, kelebihan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn juga mempunyai data pelanggan berpotensi yang boleh dimanfaatkan melalui periklanan seperti Facebook Ads dan seumpamanya. Peniaga dapat memanfaatkan kos beriklan bukan sekadar menjana pelanggan, tetapi menjadikan setiap komunikasi dan transaksi di media sosial sebagai sumber data baharu dalam meluaskan lagi perhubungan jangka panjang pelanggan.
BUKU LOG MYSEJAHTERA
Ia antara kaedah baharu yang turut dimanfaatkan oleh sebahagian pengusaha runcit dan peniaga mikro. Selain menyediakan kod imbasan QR yang diwajibkan, maklumat yang ditulis oleh sebahagian pelanggan di buku log
masuk juga menjadi antara sumber membina data pelanggan.
Platform komunikasi Whatssap dan Telegram menjadi landasan bagi menyebarkan risalah promosi sebagai salah satu inisiatif pemasaran bersasar kepada pelanggan dan prospek yang pernah berkunjung ke premis. Terdapat juga peniaga yang menawarkan pelanggan mereka menjadi komuniti di Telegram bagi mengikuti informasi dan promosi di samping memperkukuh hubungan pelanggan melalui komunikasi secara santai.
Justeru itu, memastikan tahap kepuasan pelanggan dan membina perhubungan yang baik juga menjadi antara elemen penting dalam asas membina pangkalan data pelanggan. Ia juga menjadi satu inisiatif dalam mendepani cabaran pandemik untuk terus bersaing dan berkembang maju.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.










