Toyota Vios HEV lebih jimat, evolusi baharu sedan

Toyota Vios HEV lebih jimat, evolusi baharu sedan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam pasaran Malaysia, nama Toyota Vios sememangnya cukup sinonim sebagai antara sedan segmen-B paling popular dalam kalangan pengguna tempatan. 

Sejak diperkenalkan sekitar pada 2003 sebagai pengganti Toyota Soluna, model sedan segmen-B ini terus menjadi antara pilihan utama pengguna tempatan kerana terkenal dengan ketahanan, kos penyelenggaraan yang munasabah dan karakter pemanduan yang mudah disesuaikan untuk kegunaan harian. 

 Kini selepas lebih dua dekad berada dalam pasaran, Toyota membawa Vios ke satu fasa baharu menerusi pengenalan versi kenderaan elektrik hibrid (HEV). 

 Ia bukan sahaja menjadi Vios pertama dengan teknologi hibrid, malah turut memainkan peranan penting dalam strategi Toyota Multipathway untuk pasaran Malaysia.

 Pendekatan Toyota Multipathway sebenarnya cukup menarik kerana pengeluar Jepun itu percaya bahawa masa depan mobiliti tidak semestinya bergantung kepada EV sepenuhnya. 

 Sebaliknya, Toyota melihat teknologi seperti HEV, PHEV, EV dan enjin pembakaran dalaman yang lebih efisien masih mempunyai peranan tersendiri bergantung kepada keperluan pengguna dan infrastruktur sesebuah negara. 

 Jadi menerusi Toyota Vios HEV, Toyota cuba menawarkan satu bentuk elektrifikasi yang lebih mudah diterima pengguna biasa tanpa perlu mengubah gaya hidup harian secara drastik. 

 Dalam erti kata lain, pengguna masih boleh menikmati pengalaman menggunakan kereta seperti biasa tanpa perlu risau tentang stesen pengecas atau isu kebimbangan jarak perjalanan seperti EV penuh.

 Rekaan luaran nampak biasa,  tapi lebih premium

Secara keseluruhan, Toyota Vios HEV masih mengekalkan identiti yang hampir sama seperti versi petrol biasa. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Toyota nampaknya mahu memastikan Vios HEV masih kekal biasa kepada pengguna sedia ada. 

Namun begitu, beberapa sentuhan khas diberikan untuk menjadikan versi HEV tampil lebih premium dan eksklusif.  Antara yang paling jelas ialah penggunaan dark chrome trim pada bahagian tingkap dan kemasan gril hadapan yang menggunakan tona gun metallic.

Rim pula menggunakan saiz 16 inci dengan rekaan khas eksklusif untuk versi HEV yang tampil lebih moden dan matang. 

 Selain itu, Toyota turut memberikan perhatian terhadap aspek aerodinamik menerusi penggunaan saluran udara aerodinamik pada bampar hadapan. 

 Ia bukan sekadar kosmetik, tetapi turut membantu aliran udara untuk meningkatkan kestabilan pemanduan selain membantu kecekapan penggunaan bahan api.

Walaupun tidak terlalu agresif seperti GR Sport, penampilan Vios HEV masih berjaya memberikan aura sedan harian yang lebih premium tanpa nampak terlalu berlebihan. 

 Bentuk fastback yang digunakan pada generasi terbaharu ini juga menjadikan Vios nampak lebih rendah, lebih sporty dan lebih moden berbanding generasi sebelumnya.

 Trenkuasa hibrid, lebih berbeza

 Perbezaan paling utama semestinya terletak pada bahagian trenkuasa. 

Toyota Vios HEV menggunakan enjin kod 2NR-VEX, iaitu enjin 1.5-liter empat silinder Dual VVT-i yang digabungkan bersama sistem motor elektrik hybrid Toyota. 

 Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 111 PS, sedikit lebih tinggi berbanding versi petrol biasa. 

Pada masa sama, motor elektrik turut menghasilkan 141 Nm tork yang tersedia lebih awal ketika mula bergerak.

Namun begitu, apa yang paling ketara sebenarnya bukanlah angka kuasa semata-mata, tetapi karakter pemanduan yang jauh lebih lancar. 

 Ketika bergerak dalam bandar atau trafik perlahan, Vios HEV terasa jauh lebih senyap dan lancar berbanding Vios petrol biasa. 

Mod EV juga akan aktif secara automatik ketika situasi trafik padat, pemanduan bandar atau kelajuan rendah. Dalam keadaan tertentu, kereta boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sahaja tanpa bantuan enjin petrol.

Disebabkan itu, pengalaman memandu dalam bandar terasa lebih relaks dan santai. Toyota juga menggunakan transmisi E-CVT khas untuk sistem hybrid. 

 Walaupun ia tidak lagi menggunakan 7-Speed CVT with Sequential Shiftmatic seperti versi petrol biasa, penghantaran kuasa terasa sangat lancar dan lebih sesuai dengan karakter pemanduan harian.

 Penggunaan bahan api, tangki lebih kecil, tapi lebih jimat

 Ya, kapasiti tangki bahan api Vios HEV memang sedikit lebih kecil berbanding versi petrol. Vios HEV menggunakan tangki 36 liter manakala Vios petrol menggunakan tangki 40 liter. 

 Namun begitu, kekurangan kapasiti ini sebenarnya tidak begitu dirasai kerana sistem hibrid membantu memberikan penggunaan bahan api yang jauh lebih efisien.

Sepanjang sesi pandu uji, penulis bergerak dari Lembah Klang menuju ke Pulau Pinang hanya menggunakan satu tangki bahan api dan masih berbaki sekitar dua bar minyak ketika tiba di destinasi.

Itu sendiri sudah cukup menunjukkan bagaimana sistem hybrid Toyota benar-benar memberi kelebihan untuk perjalanan jarak jauh dan penggunaan harian. 

 Toyota sendiri mendakwa penggunaan bahan api sekitar 3.6L/100km berdasarkan ujian NEDC. 

Dalam penggunaan sebenar, angka tersebut memang sukar dicapai jika dipandu secara agresif, tetapi untuk pemanduan harian normal, Vios HEV sememangnya jauh lebih menjimatkan berbanding versi petrol biasa.

 Pemanduan lebih berat, namun stabil

 Sudah tentu apabila sistem hibrid ditambah, berat keseluruhan kereta turut meningkat. Toyota Vios HEV kini mempunyai berat sekitar 1,155 kg, lebih berat berbanding versi petrol biasa. 

 Namun begitu, menariknya posisi bateri hybrid yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang sebenarnya membantu memberikan pusat graviti lebih rendah.

Hasilnya, pemanduan terasa lebih stabil terutamanya ketika memandu di lebuh raya atau melalui selekoh panjang. 

 Walaupun Vios HEV tidak lagi menggunakan 7-Speed CVT with Sequential Shiftmatic untuk memberikan rasa pertukaran gear lebih sporty seperti versi petrol, pengalaman pemanduan masih kekal menyeronokkan terutama ketika melalui laluan luar bandar atau jalan berliku. 

 Sistem E-CVT pada model ini lebih memfokuskan kepada kelancaran penghantaran kuasa dan kecekapan penggunaan bahan api, tetapi talaan casis DNGA baharu masih berjaya memberikan pengendalian yang agak meyakinkan untuk sebuah sedan harian.  

Toyota turut menambah bantuan tambahan pada casis, cermin hadapan penebat bunyi dan bahan penebat bunyi tambahan untuk menghasilkan kabin yang lebih senyap dan refined berbanding Vios petrol biasa. 

 

Ruang dalaman lebih moden

Dari segi praktikaliti, ruang kabin sebenarnya masih mengekalkan penggayaan yang hampir sama seperti Vios biasa. 

Namun ada beberapa penambahbaikan diberikan pada versi HEV termasuk penggunaan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10.1 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.

Pada bahagian kokpit pemandu pula, versi HEV menerima paparan TFT grafik khas yang memaparkan ruang penggunaan sistem hybrid termasuk aliran tenaga, status bateri dan mod EV. 

Tempat duduk juga tampil lebih premium dengan penggunaan balutan kulit selain lampu suasana 64 warna yang membantu menaikkan lagi suasana kabin terutama ketika pemanduan malam.

Secara keseluruhan, kabin Vios HEV terasa lebih matang dan lebih premium berbanding Vios generasi terdahulu, walaupun susun atur asasnya masih mengekalkan konsep yang mudah digunakan untuk pemanduan harian.

 

Praktikaliti

 Untuk ruang but, kapasiti memang sedikit berkurang kepada sekitar 460 liter kerana sebahagian ruang digunakan untuk kedudukan sistem bateri HEV. 

 Namun secara keseluruhan, ia masih cukup praktikal untuk kegunaan harian atau perjalanan jauh keluarga kecil. 

 Toyota juga bijak memastikan sistem hybrid tidak terlalu mengorbankan aspek praktikaliti yang selama ini menjadi kekuatan utama Vios.

 Toyota Vios HEV bukanlah sebuah model yang cuba tampil perubahan besar dari segi reka bentuk atau karakter pemanduan.

 Sebaliknya, kekuatan utamanya terletak pada bagaimana Toyota berjaya menggabungkan teknologi elektrifikasi ke dalam sebuah sedan kompak yang sudah lama dipercayai pengguna Malaysia.

Ia masih mengekalkan praktikaliti, keselesaan dan kemudahan penggunaan seperti Vios biasa, tetapi kini hadir dengan pengalaman pemanduan yang lebih senyap, lebih lancar dan jauh lebih menjimatkan bahan api. 

Dengan harga bermula dari RM103,900 untuk varian HEV dan RM109,900 bagi HEV GR Sport, Vios HEV juga menjadi antara model hybrid Toyota paling mampu milik dalam pasaran Malaysia ketika ini. 

 Untuk pengguna yang masih belum bersedia beralih sepenuhnya kepada EV tetapi mahukan teknologi yang lebih efisien untuk kegunaan harian, Toyota Vios HEV mungkin menjadi antara pilihan paling masuk akal dalam pasaran semasa.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN