Red Hat perkasa transformasi digital melalui inovasi terbuka

Red Hat perkasa transformasi digital melalui inovasi terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era transformasi digital yang semakin pesat, teknologi sumber terbuka, kecerdasan buatan (AI) dan hybrid cloud kini menjadi pemacu utama kepada daya saing organisasi di seluruh dunia.

Sebagai antara peneraju global dalam penyelesaian sumber terbuka perusahaan, Red Hat memainkan peranan penting membantu kerajaan dan syarikat mempercepat inovasi digital secara lebih terbuka, fleksibel dan selamat.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi bersama Pengurus Besar, Rest of South East Asia (ROSEA), Red Hat, Albert Chai, Red Hat mengenai syarikat mengekalkan keseimbangan antara nilai sumber terbuka dan keperluan perusahaan.

Malah, beliau turut berkongsi mengenai masa depan kecerdasan buatan (AI), hybrid cloud (awan hibrid) serta trend transformasi digital yang sedang membentuk landskap teknologi di Malaysia dan Asia Tenggara.

UTUSAN: Red Hat berjaya mengimbangi nilai sumber terbuka dengan keperluan perusahaan. Bagaimana syarikat mengekalkan keseimbangan itu apabila terus berkembang?
ALBERT: Di Red Hat, kami percaya bahawa nilai sumber terbuka dan keperluan perusahaan bukan sahaja serasi, malah saling melengkapi. Berkembang bukan bermaksud meninggalkan akar kami, sebaliknya memperkukuhkan lagi prinsip teras yang membentuk budaya dan kejayaan berterusan kami.

Dengan mengekalkan nilai kolaborasi, ketelusan dan keterangkuman, Red Hat bukan sekadar membangunkan perisian, tetapi juga memupuk komuniti yang memperkasakan inovasi bermakna. Sama ada melalui tanggungjawab bersama, fleksibiliti kreatif atau rasa hormat antara satu sama lain, fokus kami kekal untuk mewujudkan persekitaran terbuka di mana setiap sumbangan membawa impak sebenar.

Bagi kami, ia adalah tentang mencari keseimbangan antara mematuhi paradigma pembangunan sumber terbuka sambil memenuhi keperluan keselamatan, sokongan dan keteguhan bertaraf perusahaan yang diharapkan oleh organisasi.

Walaupun kami terus berkembang, kami kekal komited kepada komuniti upstream kerana di situlah lahirnya idea-idea baharu. Kami memberi dahulu dan bekerjasama secara terbuka untuk membentuk inisiatif yang memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem. Pada masa yang sama, tanggungjawab kami adalah memastikan teknologi tersebut benar-benar bersedia untuk kegunaan perusahaan melalui pensijilan, pengurusan kitar hayat, keselamatan, pematuhan peraturan dan sokongan global.

Pelanggan di Malaysia dan seluruh rantau ini tidak perlu memilih antara fleksibiliti dan kestabilan. Mereka mendapat manfaat daripada inovasi yang dipacu komuniti serta keyakinan bekerja dengan rakan teknologi perusahaan yang dipercayai.

Akhirnya, pertumbuhan hanya mengukuhkan komitmen dua hala kami. Ia tidak mengubah cara kami berfikir dan bertindak. Malah, ia menjadikan kami lebih kukuh dalam memenuhi keperluan perniagaan moden yang semakin kompleks, khususnya dalam bidang AI, hybrid cloud dan keselamatan siber. Kami bukan sekadar menjual perisian, tetapi mengajak pelanggan menyertai budaya pemerkasaan di mana sumbangan mereka turut membentuk masa depan industri.

Apakah prinsip kepimpinan yang membimbing anda ketika mengharungi transformasi digital yang pesat di pelbagai pasaran?

Mengemudi transformasi digital memerlukan kejelasan tujuan, keupayaan menyesuaikan diri dan komitmen kukuh terhadap manusia.

Pertama, saya percaya hasil perniagaan perlu sentiasa menjadi matlamat utama transformasi. Teknologi semata-mata tidak mencipta nilai. Sama ada bekerjasama dengan syarikat, bank atau kerajaan, fokus kami ialah bagaimana inisiatif digital dapat memperkukuh organisasi, mendorong inovasi dan memberi impak nyata.

Kedua, keterbukaan amat penting. Di Red Hat, kami memimpin melalui ketelusan dan kerjasama, baik secara dalaman mahupun bersama pelanggan dan rakan kongsi. Transformasi digital tidak boleh dicapai oleh satu syarikat sahaja. Ia memerlukan ekosistem kukuh, standard terbuka dan keupayaan untuk beroperasi dalam persekitaran hybrid dan multi-cloud.

Ketiga, pelaburan dalam bakat dan budaya sangat penting. Teknologi berubah dengan pantas, tetapi perubahan paling berjaya berlaku apabila individu diberi ruang untuk mencuba, belajar daripada kesilapan dan menyesuaikan diri. Organisasi menjadi lebih berdaya tahan apabila budaya pembelajaran berterusan dan kerjasama rentas fungsi diterapkan.

Akhir sekali, ketangkasan amat penting dalam pasaran pantas seperti Malaysia dan ASEAN. Pemimpin perlu mendengar kehendak pasaran, memahami peraturan dan budaya tempatan serta membuat keputusan pantas tanpa mengabaikan matlamat jangka panjang.

Dalam konteks ini, kepimpinan yang baik ialah keseimbangan antara visi dan pelaksanaan, memberikan hala tuju jelas sambil membolehkan pasukan terus berinovasi.
Bagaimana anda menyelaraskan strategi serantau dengan visi global Red Hat?

Penyelarasan bermula dengan pemahaman jelas bahawa visi global Red Hat, memperkasakan inovasi open hybrid cloud melalui sumber terbuka adalah konsisten di semua pasaran. Peranan saya sebagai General Manager bagi Rest of South East Asia (ROSEA) adalah menterjemahkan visi tersebut mengikut tahap kematangan digital dan keperluan kawal selia setiap negara.
Sebagai contoh, Malaysia dan Thailand mempercepat penggunaan cloud sambil berdepan keperluan ketat berkaitan kedaulatan data. Pasaran lain pula mungkin menghadapi cabaran infrastruktur legasi atau pembangunan bakat digital.

Di Malaysia khususnya, organisasi bergerak pantas ke arah cloud sambil mengurus isu pematuhan, pemilikan data dan pembangunan tenaga kerja. Red Hat menyesuaikan strategi global kami kepada penyelesaian yang relevan dengan keperluan tempatan. Ini termasuk bekerjasama rapat dengan pelanggan, rakan kongsi dan pembuat dasar bagi memastikan platform hybrid cloud dan AI kami memenuhi keperluan perusahaan sambil menyokong agenda digital negara.

Pada masa yang sama, kami memastikan pelan hala tuju teknologi, rangka kerja keselamatan dan kerjasama ekosistem sentiasa selari dengan pasukan global kami. Inovasi sumber terbuka berlaku di seluruh dunia, tetapi nilainya disampaikan secara tempatan.

Matlamat utama adalah mengekalkan keseimbangan antara skala global dan relevansi tempatan. Kami memanfaatkan kepakaran teknikal global serta ekosistem rakan kongsi Red Hat sambil kekal peka terhadap keperluan pasaran tempatan.

Apakah keputusan kepimpinan paling mencabar yang pernah anda hadapi dan apakah pengajaran yang diperoleh?

Salah satu keputusan paling sukar sebagai pemimpin ialah mengurus tempoh perubahan pantas sambil menyeimbangkan keperluan perniagaan jangka pendek dengan matlamat strategik jangka panjang.

Dalam industri teknologi yang berubah pantas, kadangkala kita perlu membuat keputusan sukar berkaitan penggunaan sumber, fokus pasaran atau struktur organisasi untuk memastikan kesiapsiagaan masa depan. Keputusan ini bukan sekadar operasi, tetapi turut memberi kesan kepada manusia, rakan kongsi dan kemajuan syarikat.

Saya belajar bahawa ketelusan amat penting. Pasukan akan terus mempercayai kepimpinan walaupun perubahan sukar berlaku, sekiranya mereka memahami rasional sesuatu keputusan.
Saya juga belajar bahawa mendengar sebelum bertindak amat penting melibatkan pihak berkepentingan lebih awal, sama ada pekerja, pelanggan atau rakan kongsi, sering menghasilkan keputusan yang lebih baik.

Bagaimana anda melihat masa depan sumber terbuka berkembang dalam era AI dan hybrid cloud?

Dalam era AI dan hybrid cloud, sumber terbuka berubah daripada sekadar pilihan teknologi kepada asas utama inovasi. Di Red Hat, kami melihat ini sebagai “gelombang ketiga” sumber terbuka selepas transformasi sistem operasi melalui Linux dan cloud melalui Kubernetes.

Masa depan era ini ditentukan oleh open hybrid AI, di mana AI menjadi mudah alih, telus dan fleksibel seperti aplikasi moden hari ini.

Kami sedang bergerak daripada eksperimen AI yang terasing kepada satu “metal-to-agent stack” yang menyeluruh.

Di Asia Tenggara, di mana tahap kematangan digital berbeza antara negara, integrasi ini amat penting kerana ia menyediakan platform konsisten daripada perkakasan asas seperti GPU dan CPU sehingga kepada AI agents yang memacu logik perniagaan.

AI berkembang terlalu pantas dan merentasi terlalu banyak persekitaran untuk dibangunkan secara silo. Organisasi memerlukan fleksibiliti memilih model terbaik dan menjalankannya di on-premises, “cloud atau edge” tanpa vendor lock-in (cloud atau edge tanpa terikat kepada satu vendor) dan sumber terbuka menyediakan konsistensi dan interoperabiliti tersebut.

Apabila penggunaan AI meningkat, ketelusan, keselamatan dan tadbir urus menjadi keutamaan, terutama dalam industri terkawal. Ekosistem terbuka membolehkan keterlihatan lebih baik terhadap bagaimana sistem dibina dan diurus.

Masa depan sumber terbuka adalah tentang fleksibiliti, kolaborasi dan inovasi bertanggungjawab pada skala besar. Kami percaya garis pemisah antara aplikasi “tradisional” dan aplikasi AI akhirnya akan hilang kerana setiap produk akan menjadi AI-enabled atau AI-assisted.

Apakah yang membezakan pendekatan hybrid cloud Red Hat daripada pesaing?

Di Red Hat, kami percaya kekuatan utama kami ialah pegangan bahawa open hybrid cloud adalah strategi kebebasan jangka panjang, bukan sekadar koleksi produk.
Dengan Red Hat OpenShift sebagai teras, pelanggan boleh membina sekali dan menjalankannya di mana sahaja, sama ada on-premises, public cloud atau edge, tanpa terikat kepada satu vendor tertentu.

Ketika banyak penyedia cuba mengunci pelanggan ke dalam ekosistem mereka, Red Hat bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan pelaburan sedia ada pelanggan dengan inovasi masa depan.

Hari ini, cabaran sebenar bukan sekadar berpindah ke cloud, tetapi bagaimana mengurus segala-galanya secara konsisten daripada pelayan tradisional sehingga AI agents dalam landskap yang semakin kompleks.

Kami juga menekankan automasi, tadbir urus dan keselamatan bertaraf perusahaan terus ke dalam platform. Hybrid cloud tanpa kawalan hanya menambah kerumitan.
Satu lagi perbezaan utama, khususnya di Asia Tenggara, ialah falsafah “bring AI to your data” (Bawa AI kepada data anda). Daripada memaksa pelanggan memindahkan data sensitif ke cloud tertentu, kami membolehkan AI dijalankan di mana data itu berada, sama ada on-premises, edge atau public cloud.

Pendekatan ini penting bagi memenuhi keperluan kedaulatan data dan undang-undang residensi data tempatan.

Bagaimana perusahaan harus melihat tadbir urus dan keselamatan sumber terbuka?

Sumber terbuka bukan bermaksud tiada kawalan. Dalam konteks perusahaan, ia memerlukan tadbir urus yang disengajakan dan rangka kerja tanggungjawab bersama, khususnya apabila sistem AI digunakan dalam persekitaran produksi.

Perubahan minda pertama yang diperlukan ialah memahami bahawa keterbukaan sebenarnya meningkatkan akauntabiliti. Apabila kod, model dan alat bersifat telus, ia boleh diperiksa, diaudit dan ditambah baik oleh komuniti global.

Namun, keterbukaan perlu disertakan dengan tadbir urus berstruktur. Ini termasuk pelaksanaan policy-as-code, automasi semakan pematuhan, dokumentasi tingkah laku model dan keselamatan yang disepadukan ke dalam keseluruhan kitar hayat perisian.

Di Red Hat, kami menekankan keselamatan pada setiap lapisan daripada Red Hat Enterprise Linux sehingga keselamatan kontena dalam OpenShift dan rangka kerja tadbir urus AI.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN