Gading Kencana terima Anugerah Emas MAESCO

Gading Kencana terima Anugerah Emas MAESCO

gading kencana
IR Guntur Tobeng (tiga dari kanan) menerima Anugerah Emas MAESCO daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Majlis Makan Malam Jubli Perak MAESCO di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) telah menerima Anugerah Emas bagi kategori Inovasi dan kemampanan oleh Persatuan Syarikat Perkhidmatan Tenaga Malaysia (MAESCO)

Anugerah itu disampaikan sempena majlis makan malam jubli perak dan penyampaian anugerah kepada ahli-ahli yang cemerlang.

Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir  itu bertujuan mengiktiraf pelaksanaan projek yang berjaya oleh ahli MAESCO di bawah kategori anugerah yang dikenal pasti di samping menonjolkan sumbangan mereka dalam industri kecekapan tenaga dan kemampanan.

Selain itu, anugerah tersebut juga bertujuan mempamerkan penyelesaian kemampanan yang inovatif dan berimpak tinggi yang diperkenalkan oleh ahli MAESCO yang berasaskan kreativiti, kemajuan teknologi dan nilai praktikal kepada pelanggan dan komuniti.

Pada masa sama ia bagi menghargai dan mempromosikan peranan para ahli dalam memacu agenda kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan Malaysia yang selaras dengan dasar negara seperti Akta  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA).

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntur Tobeng berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan kepada syarikatnya yang telah terlibat dalam industri peralihan tenaga terutama tenaga boleh baharu berasaskan solar sejak hampir 30 tahun.

Katanya, sebagai ahli MAESCO, anugerah itu akan menjadi pendorong kepada mereka untuk terus memupuk penambahbaikan berterusan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan tenaga.

“Dengan adanya anugerah seperti ini ia juga akan membantu meningkatkan kepercayaan pelanggan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam menawarkan perkhidmatan tenaga seperti Gading Kencana.

“Ia juga mempu meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti MAESCO sebagai persatuan industri terkemuka untuk ESCO di Malaysia di samping memperkukuhkan pengiktirafan oleh pelanggan, pengawal selia dan pihak berkepentingan,” katanya.

Guntur juga berkata, anugerah berkenaan sudah tentu memberi inspirasi kepada mereka yang mengutamakan amalan kecekapan tenaga dan kemampanan, di mana mereka berusaha lebih bagi membuktikan keupayaan dalam bidang ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN