Saham sektor tenaga diunjur, mampu lonjak lebih tinggi 

Saham sektor tenaga diunjur, mampu lonjak lebih tinggi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham syarikat-syarikat sektor tenaga diunjur mampu melonjak lebih tinggi dengan didorong faktor permintaan kukuh, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

Firma penyelidikan tersebut berkata, momentum itu dapat dilihat setelah permintaan tenaga mencapai rekod tertinggi sebanyak 21,049MW pada 28 Mei 2025, peningkatan 10.4 peratus tahun ke tahun (YoY).

Katanya, pertumbuhan secara ketara itu mengatasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi pelbagai projek yang berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 3.5 hingga 4.5 peratus.

“Ini turut melepasi ramalan jangka panjang Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 2020, yang mengunjurkan permintaan puncak cuma sebanyak 19.3 MW menjelang 2025,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Firma penyelidikan itu berkata, lonjakan itu dipacu gabungan permintaan organik dan pecutan beban daripada pusat data (DC) dengan penggunaan meningkat kepada 485MW pada Mac 2025, berbanding 148MW setahun sebelumnya.

Sebagai tindak balas, ST memulakan tender untuk kapasiti penjana gas baharu dan sedia ada yang dijadualkan untuk pentauliahan sepanjang 2025 hingga 2029 untuk mengekalkan margin rizab sihat.

HLIB Research menambah, penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) kekal sebagai fokus utama, dengan sasaran nasional ditetapkan pada kapasiti 31% pada akhir 2025 dan 40% menjelang 2035.

“Kami melihat peluang pelaburan berbilang tahun yang menarik dalam ruang infrastruktur tenaga domestik ekoran permintaan semakin meningkat dan senarai bekalan baharu yang kukuh,” katanya.

Secara keseluruhannya, ia percaya permintaan infrastruktur tenaga ditetapkan kepada aliran yang lebih tinggi, disokong antaranya usaha berterusan TNB sendiri untuk meningkatkan daya tahan grid.

Selain itu kata HLIB Research, lonjakan dijana pengembangan berterusan bekalan tenaga negara dan pertumbuhan permintaan elektrik yang kukuh daripada industri intensif tenaga seperti pusat data. 

Justeru, firma penyelidikan berkenaan percaya pemain infrastruktur tenaga tersenarai dengan akses kepada modal dan skala ekonomi berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kitaran naik berbilang tahun.

“Memandangkan banyak projek yang teguh dan keperluan infrastruktur dilihat semakin meningkat, kami percaya sektor ini sebenarnya masih belum lagu mencapai tahap kemuncak kitarannya,” tambahnya.

Berdasarkan perkembangan positif itu, HLIB Research mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor tenaga dan pilihan utama ialah MN Holdings Berhad dan Southern Cable Group Berhad.

Kedua-dua kumpulan berkenaan diberikan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran sesaham masing-masing diunjur tidak berubah kepada sebanyak RM1.88 dan RM1.90.-UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN