OTAi Group sasar buka 500 gerai francais menjelang hujung tahun

OTAi Group sasar buka 500 gerai francais menjelang hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OTAi Group Malaysia (OTAi) menyasarkan membuka 500 lagi gerai francais OTAi di seluruh negara menjelang hujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang perniagaan kepada golongan muda dan komuniti setempat.

Pengasas OTAi Group Malaysia, Dr. Suhaimi Abas berkata, inisiatif tersebut turut menyokong misi jangka panjang syarikat dalam mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda Islam menjelang 2026 serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Sasaran 500 gerai ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka sederhana kami untuk memperluaskan perniagaan yang inklusif dan mampan.

“Sejak Mei 2025, pengurusan baharu melalui Koperasi OTAi Berhad (KOB) telah menyusun strategi pertumbuhan termasuk memperkemas operasi, membina struktur sokongan dan memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya satu usaha untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, memperkasa komuniti dan memperluas impak sosial menerusi model perniagaan koperasi.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 400 gerai OTAi Burger Malaysia telah dibuka, termasuk 36 gerai yang diurus sepenuhnya di bawah Koperasi OTAi Berhad.

“Berdasarkan momentum semasa serta struktur pengurusan baharu yang lebih tersusun, kami optimis mampu mencapai sasaran 500 gerai menjelang hujung tahun ini.

“Antara strategi yang dirangka termasuk penawaran inisiatif Kerjaya Tanpa Modal dan sokongan operasi kepada usahawan baharu menerusi platform koperasi, pembukaan di lokasi strategik seperti kawasan tumpuan ramai, masjid, sekolah, institusi tahfiz dan pusat komuniti, selain pelaksanaan modul latihan berstruktur seperti Program Pengurus Perniagaan Koperasi,” katanya.

Dalam pada itu, antara inisiatif signifikan yang diperkenalkan ialah kerjasama strategik bersama pusat transit gelandangan dan pusat pemulihan akhlak di seluruh Malaysia, bagi menawarkan peluang pekerjaan sebagai krew OTAi Burger di bawah pengurusan KOB.

Pada Jun lalu, OTAi secara rasmi menjenamakan semula cabang koperasinya daripada Koperasi Usahawan Islam Berhad kepada Koperasi OTAi Berhad, susulan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tertutup yang diadakan pada 24 dan 25 Jun 2025.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, langkah strategik itu bertujuan menyelaraskan hala tuju koperasi dengan misi utama OTAi dalam memperkasa komuniti Muslim melalui kepimpinan ekonomi dan pembangunan keusahawanan belia.

“Penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi satu penegasan semula terhadap visi jangka panjang kami untuk melahirkan 10,000 usahawan muda Islam melalui pembangunan perniagaan di peringkat pertengahan dan huluan.

“Dengan Koperasi OTAi Berhad, kami mahu membina jenama yang lebih kukuh dan bersatu, mencerminkan komitmen kami terhadap pemerkasaan ekonomi, nilai Islam dan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” ujarnya.

Tambah beliau, OTAi turut komited dalam melahirkan usahawan-pendidik yang berperanan membimbing serta membentuk generasi baharu pemimpin perniagaan Muslim.

“Koperasi ini menjadi platform terancang bagi pendidikan, bimbingan dan sokongan perniagaan.

“Selain itu, kami juga berhasrat mengembalikan penguasaan ekonomi umat Islam di Malaysia serta mengangkat nama Islam ke peringkat global menerusi kecemerlangan keusahawanan,” katanya.

Penjenamaan semula tersebut telah diluluskan sebulat suara dalam AGM dan berkuat kuasa serta-merta.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN