ISU harta pusaka beku di Malaysia semakin membimbangkan apabila nilainya terus meningkat saban tahun tanpa penyelesaian konkrit yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk mengatasi perkara ini.
Keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan keluarga si mati untuk mengakses harta yang ditinggalkan, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi apabila kekayaan yang sepatutnya dapat digerakkan kekal terbeku dalam sistem.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kegagalan menguruskan dan mengaktifkan harta pusaka bukan sahaja menjejaskan waris, tetapi turut menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Katanya, harta yang tidak boleh dimanfaatkan, menjadikan nilai ekonomi yang sepatutnya beredar dalam pasaran terhenti begitu sahaja.
Beliau berkata, proses pembahagian harta pusaka bagi orang beragama Islam dan bukan Islam di Malaysia menunjukkan ketidakseimbangan dari segi undang-undang dan tatacara.
“Bagi bukan Islam, pentadbiran pusaka lebih tersusun melalui Akta Wasiat 1959 dan Akta Pembahagian 1958. Waris hanya perlu melalui sistem mahkamah sivil untuk mendapatkan Grant of Probate atau surat kuasa mentadbir, bergantung sama ada si mati meninggalkan wasiat atau tidak.
“Pembahagian pula ditentukan secara jelas oleh peruntukan undang-undang persekutuan.
“Sementara itu, pembahagian masyarat Islam pula lebih rumit kerana perlu ke mahkamah syariah untuk merapatkan sijil faraid dan ke mahkamah sivil pula untuk mendapatkan Grant of Probate,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, mahkamah syariah pula tertakluk kepada lokasi harta pusaka si mati dan sekiranya berada di lainlain negeri, maka ia terpaksa diulangi sama ada memohon atau pun menunjukkan kepada mahkamah di negeri yang berlainan.
“Begitu juga dengan pejabat tanah yang berlainan negeri menghadapi masalah terpaksa berulang kali melalui proses yang hampir sama. Ini antara sebab kelewatan memproses harta pusaka yang membeku.
“Masyarakat tidak memahami proses menguruskan harta pusaka kerana tidak mempunyai maklumat yang mencukupi.
“Pertindihan kuasa antara AmanahRaya Berhad, pejabat tanah negeri, mahkamah syariah negeri serta mahkamah sivil sudah menjadi sebahagian dari proses pentadbiran harta pusaka,” ujarnya.
Aimi Zulhazmi berkata, banyak penambahbaikan sebenarnya telah dilakukan oleh mahkamah syariah negeri begitu juga pejabat tanah negeri, misalnya permohonan atas talian membantu mempercepatkan proses pusaka.
“Namun, tiadanya cukai mati yang telah dihapuskan menyebabkan tiada keperluan untuk membuat perancangan harta warisan lebih awal.
“Sementara untuk mengubah hak milik kepada waris pula perlu membayar cukai setem Ad-Volerum, pengecualian hanya kepada hartanah secara hibah kasih sayang (yang masih kurang pendedahan), hartanah yang lain mesti membuktikan ia bukan transaksi jual beli.
“Penggunaan trust atau amanah sukar dilakukan kerana ia perlu membayar cukai atas perpindahan itu kepada syarikat amanah. Sementara itu, pendapatan yang terbit dari aset yang diletakan dalam trust pula dikenakan cukai yang tinggi iaitu 24 peratus,” ujarnya.
Jelasnya, negara seperti United Kingdom (UK) dan Singapura telah lama mengubah sistem percukaian keatas harta pusaka.
“Cukai mati setinggi 40 peratus dikenakan di UK lantas menyebabkan rakyatnya menyusun harta warisan lebih awal sebelum kematian.
“Harta yang dipindahkan ke dalam trust tidak dikenakan cukai, manakala pendapatan dari aset dalam trust pula hanya dikenakan cukai pendapatan individu dan bukannya cukai korporat seperti di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata, pembahagian harta semasa hayat adalah yang terbaik sebenarnya, misalnya penggunaan perancangan harta seperti hibah, yayasan, peramanahan dapat mengelakkan pembekuan harta pusaka.-UTUSAN