Ruang kerja bersama ubah landskap pasaran hartanah - Utusan Malaysia

Ruang kerja bersama ubah landskap pasaran hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND penggunaan ­ruang kerja bersama di­jangka te­rus me­ngu­bah lands­kap pa­­sar­an hartanah tempatan, khususnya segmen ruang pejabat.

Hal ini disebabkan oleh pe­ningkatan permintaan terhadap konsep kerja hibrid dan jarak jauh yang mendorong syarikat untuk mencari penyelesaian ruang kerja lebih dinamik, kos efektif dan bersesuaian dengan keperluan operasi semasa.

Perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada permintaan terhadap pejabat tradisional, malah turut mendorong pemaju dan pelabur hartanah untuk menyesuaikan strategi mereka agar lebih sejajar dengan keperluan pasaran semasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, peningkatan pelbagai kos perniagaan seperti sewa, utiliti, kadar upah serta bahan mentah mendorong majikan untuk mencari alternatif bagi mengoptimumkan struktur kos operasi mereka.

“Justeru, pendekatan waktu kerja anjal atau Flexible Wor­king Arrangement (FWA) dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan organisasi, terutamanya dalam usaha menarik minat tenaga kerja muda yang mementingkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Langkah beralih kepada ruang kerja bersama juga berpunca daripada usaha syarikat menguruskan kos tetap seperti sewaan pejabat yang perlu dibayar pada kadar tetap setiap bulan tanpa mengira tahap jualan atau prestasi perniagaan.

“Bagi banyak syarikat, sewaan pejabat adalah antara komponen kos tetap yang besar, sama ada jualan tinggi atau rendah, bayaran sewa tetap perlu dijelaskan. Maka, ruang kerja fleksibel menjadi alternatif yang lebih efisien dari segi kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, konsep ruang kerja bersama dilihat sebagai penyelesaian strategik, terutama untuk syarikat kecil dan sederhana yang mahu mengurangkan beban sewa pejabat, namun dalam masa sama masih memerlukan fasiliti pejabat seperti bilik mesyuarat dan ruang kerja profesional.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, isu keselamatan dan kerahsiaan data perlu diberi perhatian agar tidak berlaku kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan reputasi organisasi, khususnya berkaitan maklumat pelanggan.

Dalam pada itu, katanya, model kerja hibrid dijangka terus mendapat sambutan kerana pertemuan secara fizikal masih relevan bagi tujuan tertentu, seperti mesyuarat penting.

Sementara itu, penganalisis hartanah, Ahyat Ishak berkata, kos penyelenggaraan pejabat tradisional yang tinggi serta perubahan gaya kerja pasca pandemik menjadi antara faktor utama peningkatan permintaan terhadap ruang kerja bersama.

“Ramai pemilik syarikat kini mula menilai semula keperluan mela­bur dalam ruang pejabat fizikal selepas berdepan kesan pandemik Covid-19.

“Ramai yang sebelum ini melabur membina pejabat yang menarik, namun tidak dapat digunakan sepenuhnya sewaktu pandemik. Dari situ, mereka sedar tidak semua perniagaan memerlukan pejabat yang besar dan mahal.

“Bukan sahaja tidak digunakan semasa pandemik, malah pemilik perniagaan turut menyedari terdapat kerja yang boleh dilakukan di luar pejabat. Perkara itu seterusnya membawa perubahan terhadap lokasi kerja dalam kalangan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, konsep itu juga amat sesuai untuk golongan pekerja bebas dan ekonomi digital seperti digital nomad yang boleh bekerja dari mana-mana sahaja.

“Model perniagaan ruang pejabat bersama bukan sahaja membantu syarikat, tetapi turut menyelamatkan banyak hartanah komersial yang kosong.

“Setiap tahun semakin banyak ruang komersial dibina, namun banyak juga yang tidak berpenghuni. Ruang kerja bersama inilah yang membantu memenuhi ruang-ruang tersebut.

“Model ini muncul tepat pada masanya ketika banyak ruang kosong wujud. Permintaan wujud bukan sahaja kerana lebihan ruang, tetapi kerana memang ada keperluan dalam pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahyat berkata, ruang kerja bersama itu tidak mengancam pejabat tradisional, sebaliknya kedua-duanya melayani segmen pasaran berbeza.

“Sama seperti hotel dan inap desa, kedua-duanya ada fungsi tersendiri. Ruang kerja bersama ini sesuai untuk syarikat digital atau usahawan kecil, manakala pejabat tradisional kekal relevan untuk syarikat besar,” jelasnya.

Walaupun begitu, Ahyat percaya ruang kerja bersama bukan sekadar satu trend, tetapi satu keperluan yang akan terus berkembang seiring perubahan gaya kerja dan struktur ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya