BERMULA dengan satu mangkuk mee kicap yang dimasak penuh kasih sayang oleh seorang nenek di Batu Gajah, perniagaan keluarga Mee Kicap Ipoh (MKI) hari ini berkembang pesat sehingga memiliki tiga cawangan di Lembah Klang dengan aspirasi menjadi ikon makanan warisan tempatan.
Diasaskan oleh pasangan suami isteri, Razmi Abd Razak, 63 dan Zubidah Md Yunos, 60, MKI bukan sekadar restoran tetapi sebuah legasi yang mengangkat citarasa tradisional dari Ipoh ke pentas yang lebih moden.
Razmi yang merupakan pesara kerajaan berkata, resipi mee kicap dan mee kari MKI berasal daripada ibunya, Hamisah Abd Mulok atau mesra dipanggil Opah yang mula berniaga secara kecil-kecilan sekitar tahun 1970-an.
Ujarnya, selepas bersara, beliau dan isteri membuat keputusan untuk menghidupkan kembali resipi turun-temurun itu melalui pembukaan restoran MKI yang pertama di Southville City, Bangi pada tahun 2022.
“Opah dulu jual dari rumah dan di kantin Hospital Batu Gajah, guna resipi tradisi keluarga dan sejak dulu lagi orang kampung memang suka rasa mee kicap dia.
“Saya dengan isteri menggunakan wang ganjaran persaraan sebagai modal dan telah melabur sebanyak RM250,000 untuk menjayakan pembukaan cawangan pertama tanpa sebarang pembiayaan hutang.
“Kini, MKI mempunyai tiga cawangan termasuk di Queensville, Bandar Seri Permaisuri yang dibuka pada 2024 dan Bangi Square 3 pada 2025,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Razmi berkata, setiap cawangan MKI kini diuruskan oleh anak-anaknya sebagai pewaris generasi ketiga iaitu Abdul Qaiyyum, 35 dan Qamarull Ashroff, 27 yang tampil dengan semangat keusahawanan baharu.
Generasi ketiga ini turut memperkenalkan pendekatan pemasaran digital dan penghantaran makanan dalam talian bagi memastikan jenama MKI terus relevan dalam pasaran hari ini.
Antara menu popular yang menjadi kegemaran pelanggan ialah Mee Kicap Ipoh, Mee Kari, serta Gulai Ikan Patin Tempoyak Perak selain turut menawarkan variasi nasi dan sajian barat.
Menurut Razmi, kekuatan MKI bukan hanya terletak pada rasa, tetapi juga pengalaman makan yang dibina dalam suasana selesa dan berkonsep kopitiam moden.
“Masa mula berniaga, kami tak nak sekadar buka kedai makan biasa tetapi kami nak bawa satu pengalaman, dari suasana, layanan sampailah kepada kualiti makanan.
“Di Restoran MKI, kami sediakan ruang berhawa dingin, dekorasi dalaman minimalis yang ceria, serta penyajian makanan yang kemas dan bersih,” ujarnya.
Sambutan pelanggan di ketiga-tiga cawangan sangat memberangsangkan, malah restoran mereka juga pernah dikunjungi oleh selebriti terkenal seperti Ajak Shiro, Merqeen dan Datuk AC Mizal.
Lebih membanggakan, kandungan media sosial MKI telah meraih lebih tiga juta tontonan di TikTok, Instagram dan X, menandakan keterujaan pelanggan terhadap jenama ini.
Setiap langkah pembangunan MKI disusun secara profesional, termasuk pengurusan dapur, sistem pesanan dan latihan pekerja yang teratur.
Dengan modal keseluruhan mencecah RM780,000 untuk tiga cawangan, MKI kini berada dalam landasan untuk mencapai pulangan pelaburan (ROI) dalam masa terdekat.
“Kami puas hati sebab walaupun belum capai ROI sepenuhnya, pelanggan semakin ramai dan semua operasi masih guna modal sendiri.
“Melihat kepada sambutan luar biasa, MKI kini dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di lokasi strategik seluruh negara.
“Selain itu, kami juga merancang untuk memperkenalkan model francais bagi membolehkan lebih ramai usahawan tempatan menyertai keluarga MKI.
“Kami percaya makanan tempatan seperti mee kicap ada tempat tersendiri jika dibawa dengan cara yang betul dan konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, Razmi turut menasihati bakal usahawan supaya memulakan perniagaan dengan ilmu, keberanian dan kesabaran, serta tidak sesekali mengabaikan doa dan restu ibu bapa.
Katanya, kejayaan MKI hari ini adalah hasil gabungan warisan, semangat keluarga dan prinsip yang dipegang sejak awal: jujur dalam berniaga dan sentiasa menjaga kualiti.
“Ini bukan sekadar bisnes tetapi ini cara kami bawa semula kenangan zaman Opah ke generasi hari ini,” ujarnya.
Dengan semangat yang kental dan sokongan pelanggan yang semakin meluas, MKI kini bersedia untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju hidangan mee kicap asli dari Ipoh di seluruh negara. – UTUSAN