PETALING JAYA: Bank mungkin perlu menambah peruntukan jika perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berpanjangan membawa kepada pelarasan dalam andaian nilai boleh diekstrak maksimum (MEV).
Penganalisis AmInvestment Bank Bhd., Kelvin Ong berkata, ketidaktentuan perdagangan yang berterusan dijangka melemahkan sentimen pengguna dan perniagaan.
Katanya, memandangkan peranan China sebagai rakan dagangan utama bagi Malaysia, tarif tinggi yang dikenakan ke atas China oleh AS secara tidak langsung boleh menjejaskan angka perdagangan Malaysia.
“Sehingga akhir 2024, purata kos kredit bersih bank sebanyak 23 mata asas kekal di bawah paras pra pandemik 2019 iaitu 26 mata asas, dengan 2023 hingga 2024 menyaksikan hapus kira secara beransur-ansur tindanan pengurusan berkaitan Covid-19.
“Pembalikan ini berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Singapura,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, jika perang perdagangan berterusan, menaikkan peruntukan mungkin menjadi perlu, yang membawa kepada kos kredit yang lebih tinggi dan menjejaskan pendapatan bank.
“Walaupun peruntukan mungkin meningkat, kos kredit tidak mungkin mencecah paras krisis kewangan global (55 hingga 70 mata asas), kerana kelembapan didorong tarif dengan ruang untuk rundingan.
“Kami mengekalkan pandangan ‘neutral’ terhadap sektor perbankan, menjangkakan pendapatan sederhana disebabkan margin faedah bersih (NIM) yang lebih rendah, cabaran pelaburan dan dagangan serta potensi peningkatan kos kredit.
“Pelarasan awal kami telah menyumbang kepada penurunan tiga hingga empat mata asas dalam NIM,” ujarnya.
Tambahnya, di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran, bank tertumpu domestik iaitu RHB Bank dengan harga sasaran (TP) RM7.58 sesaham dan Hong Leong Bank (TP: RM26.40/saham) adalah pilihan ‘beli’ disebabkan pendedahan antarabangsa yang lebih rendah.
Kelvin berkata, bank serantau seperti CIMB (TP: RM8.10/saham) menawarkan peluang berpotensi sebaik sahaja ketegangan perdagangan reda.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas sebagai langkah kitaran berbalas jika tanda kelembapan pertumbuhan muncul dalam beberapa bulan akan datang.
Ujarnya, aliran ekonomi global yang lebih lemah ditambah dengan persekitaran inflasi yang agak sederhana di Malaysia boleh memberi ruang kepada bank pusat untuk bertindak, jika perlu.
“Kami tidak fikir BNM akan bertindak secara awalan tetapi akan mengambil pendirian tunggu dan lihat sehingga bukti yang lebih kukuh berhubung kelembapan pertumbuhan,” katanya.
Selain itu, HLIB berkata, kedudukan Malaysia sebagai satu daripada negara yang kurang terjejas oleh kenaikan kadar tarif AS mungkin membantu menampan sentimen domestik, khususnya jika rakan serantau mengalami kelembapan yang lebih ketara dan mengamalkan dasar monetari yang lebih ketat.
Namun, pemantauan berterusan terhadap pekerjaan, pelaburan dan permintaan luar akan menjadi kunci untuk menentukan pendirian dasar yang sesuai, kata HLIB.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya ke AS, rakan eksport ketiga terbesar negara merangkumi purata 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2011 hingga 2024.
Eksport utama Malaysia ke AS termasuk mesin elektrik dan mekanikal, alat perubatan, getah, perabot, minyak, plastik, besi dan keluli, aluminium serta produk koko.
Kategori-kategori ini merangkumi 90 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS dengan produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang hampir 70 peratus. – UTUSAN